Monday, December 16, 2013

Niat Dan Pembinaan Daya Tahan

Niat mempunyai kedudukan yang khusus dalam Islam. Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar memulakan sesuatu amal kebajikan dengan niat. Misalnya, dalam solat kita akan mulakan dengan niat. Dengan niat, barulah sesuatu amal dikira sebagai ibadah yang paling layak diterima oleh Allah s.w.t serta diberi ganjaran.

Tatacara niat dalam Islam dimulakan dengan ‘Nawaitu’ memberikan impak yang besar dalam kehidupan seorang muslim. Ia menggambarkan amalan yang dilakukan berlandaskan kepada perasaan sukarela, meletakan dirinya dalam keadaan pasrah dan bersedia melakukan sesuatu dengan keazaman yang tinggi.
Mulakan-dengan-niatSemangat ini akhirnya akan memberi kekuatun dalaman kepada individu untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan yang mendatang kerana apa yang dilakukan merupakan pilihan terbaik yang telah dibuat. Amalan ini juga dapat mengatur kehidupan yang lebih beerti bagi seorang individu di samping dapat menyuntik semangat dan motivasi yang tinggi bagi mencapai matlamat.

Niat Menguat Daya Fokus

Niat dapat membantu otak membina daya tumpuan. Otak dapat berfungsi secara maksimum apabila individu fokus terhadap apa yang ingin dilakukan. Matlamat merupakan satu inti pati utama dalam niat. Tindakan individu dianggap sebagai amal ibadah apabila matlamat pelaksanaannya ialah ‘kerana Allah’ (lillah). Matlamat yang jelas ini seterusnya memberi kekuatan emosi dan spiritual kepada individu untuk beramal secara bersungguh-sungguh dan istiqamah dengan mengejar matlamat yang satu.
Sekiranya dilihat dalam buku “7 tabiat orang yang amat berkesan” penulisan Stephen R.Covey, tabiat kedua yang diberikan penekanan adalah mulakan dengan mengingat matlamat. Ia adalah memulakan hari ini dengan imej, gambar atau paradigma akhir hayat sebagai rangka rujukan.
Mengingat matlamat bermaksud bermula dengan matlamat yang jelas tentang destinasi yang ingin dituju. Individu yang hidup tanpa matlamat yang jelas ibarat berjalan tanpa arah tujuan. Apabila berada dipersimpangan, buntu membuat pilihan.
Pertimbangkan kata-kata Joseph Addison :
Bila saya perhatikan kubur orang yang terkenal, setiap emosi iri hati lesap daripada hati saya ; bila saya baca kata-kata kenangan orang rupawan, setiap keinginan saya yang tidak berpatutan terus hilang; bila saya menemui kesedihan ibu bapa yang tertulis di batu nisan, hati saya  cair dengan belas kasihan; bila saya lihat kubur ibu bapa sendiri, saya teringat kesia-siaan bersedih untuk mereka yang mesti kita ikut tidak lama lagi; bila saya lihat raja berbaring di sisi mereka yang menggulingkannya, saya ingat pada orang bijak yang kini bersebelahan dengan saingannya, atau orang alim yang memecahbelahkan dunia dengan pertentangan dan pertengakaran mereka, saya bayangkan dengan sedih dan hairan perkelahian, pertelingkahan dan perdebatan manusia. Bila saya baca tarikh di kubur, mereka yang mati semalam, dan mereka yang mati enam ratus tahun sebelum ini, saya ingat pada Hari teragung bila kita semua akan menjadi orang sezaman dan memperlihatkan diri kita serentak.
Kata-kata ini mempunyai maksud yang mendalam bagi individu yang menghayati. Ia menyentuh nilai mendalam, asas individu. Justeru, jadikanlah niat sebagai senjata ampuh untuk membina daya tahan diri dalam menempuh dugaan. Amalan ini perlu diterjemahkan dalam setiap aktiviti yang dilakukan bagi mendapat redha dan pertolongan serta petunjuk Ilahi. Berikut diberikan tip meningkatkan daya tahan.

Tips Meningkatkan Daya Tahan

  1. Niat / set target ke arah misi yang ingin dilakukan
  2. Kosongkan minda, perasaan dan fokus kepada target yang ditentukan
  3. Puasa minda, perasaan rohani dan jasmani melainkan kepada perlakuan (amal) yang perlu (pandu dalam track)
  4. Bekerja sebagai satu pasukan (amal jamaiy)
  5. Buat bersungguh-sungguh dan selebihnya serah kepada Alah s.w.t

Friday, December 13, 2013

Berfikiran Positif Dan Optimis

alt

Dunia seakan-akan gelap. Seolahnya tiada lagi cahaya yang menyuluh. Apakah ini pengakhiran yang kita mahukan?
Kejayaan adalah memaksimumkan potensi kita untuk merealisasikan matlamat utama kita dalam perjalanan hidup. Semua insan pernah gagal. Kerana gagal adalah guru.
Apabila kita berusaha untuk mencapai sesuatu, kita berjaya kerana kita tahu cara untuk mencapai matlamat kita. 
Bijak pandai pernah berkata, “Sama ada kita menjadi abu atau menjadi seekor merak, ia terpulang pada diri kita sendiri.”
Sebenarnya, hidup kita bukan sekadar bergantung pada setiap apa yang berlaku pada kita dan sekeliling, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku.
Sayangi diri.
Buatlah sesuatu demi kebaikannya dan yang memberi manfaat buatnya.
Ia bukan bermakna pergi spa 30 hari sebulan, tetapi lebih dari itu.
Kisah Guru Dan Murid
Seorang guru pernah bertanya pada anak muridnya, “Adakah kamu semua menyayangi diri sendiri?”
Dan para murid menjawab, “Ya! Kami sayang diri kami!”
Ujar guru itu, “Bagaimana cara kamu semua menyayangi diri sendiri?”
“Belajar sungguh-sungguh!”
“Jaga hati!”
“Pakai topi keledar!”
Maka kata si guru,
“Benar. Tetapi ia lebih dari itu. Terimalah diri kamu, tiada manusia yang sempurna. Hormatlah maruah kamu, ia tidak pernah meminta untuk diragut melainkan kamu yang membiarkannya. Berikan galakan kepada diri kamu, galakan orang lain tidak cukup buatmu. Rancangkan kejayaan buat diri kamu, jangan biar diri kamu gagal kerana kegagalan yang diterima.”
Boleh menangis, menyesal, menjerit sekuat mungkin kerana meratapi kegagalan yang diterima. Tetapi pada esok hari, kamu harus bangun tidur dengan segar dan hilangkan segala kesedihan.
Kenapa?
Kerana berabad-abad sekalipun tangisan dan kekecewaan ia tidak akan merubah apa-apa. Ambil separuh untuk dijadikan iktibar dan ambil separuh untuk dijadikan pendorong.
Kisah Lelaki dan Jadual Penerbangannya
Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, “Bagus!”
Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya lelaki itu marah.
“Mereka mengambil berat akan keselamatan kita. Bukankah ia bagus?”
“Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan sekarang kita sedang mengejar masa!”
“Bagus!”
Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.
“Kenapa bagus?”.
“Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu.”
Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu. Seraya berkata, “Hebat!”
Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa positif dan optimis!
Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi “Menuju Kejayaan.”
“Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah.”

Wednesday, December 11, 2013

Aku Dah Penat Berdoa!

Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?
“Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!”

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.
Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran: 
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Surah al-Baqarah:ayat 216)
Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?
Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.
Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.
Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?
Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!
Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada’ dan qadar Allah.
Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali Imran: ayat 139)
Wallahu’alam.
never_give_up

Tuesday, December 10, 2013

Takdir Itu KetentuanNya

Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitulmuslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tetapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara iaitu takdir Allah SWT kerana sesungguhnya perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia itu sendiri.

Sebaik mana pun perancangan seseorang, namun perancangan Allah jualah yang lebih baik dan terbaik pada setiap keadaan dan waktu. Apa yang pasti, setiap perancangan dan ketentuanNya itu pastilah yang terindah walaupun di mata kasar seorang manusia, seribu manikam menikam sukmanya.
Dalam meniti usia senja, perancangan demi perancangan di bina dan di susun serapinya. Pada usia muda, pelajaran menjadi keutamaan. Namun dalam masa yang sama, tuntutan fitrah untuk membina hubungan halal turut meraih tempat dalam perancangan kita. Kita mula mengatur langkah dengan mencari bagi si teruna dan menanti bagi si puteri. Ada  yang menanti dalam diam, dan ada juga yang sama-sama menongkah zaman. Menjadi ‘berani’ ke hadapan namun tetap berada di dalam jagaan ‘malu’ dan ‘rapinya’ seorang wanita. Lantas, orang tengah menjadi pengantara.
bunga daun kecil
Di saat kita mengatur langkah, merancang untuk menuju ke fasa yang penuh cabaran dan mehnah, adakah impian untuk membina baitulmuslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitulmuslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu menikah di jalan dakwah?
Takdir yang bakal tiba segalanya berada digenggamanNya. Kita hanya mampu bertanya namun, jawapannya akan terjawab tatkala kita sudah pun berada di’dalamnya’ – alam berumahtangga.
Terdapat beberapa kisah benar wanita solehah yang ingin ana kongsikan bersama-sama untuk dijadikan sebagai satu motivasi supaya akhowat tetap teguh sebagai seorang Da’ie di jalanNya. InsyaAllah.
Kisah 1
Kagum sungguh dengan ukhti yang seorang ini. Sebelum ukhti ini berubah, dia pernah bercouple dengan seorang akhi. Dahulu kedua-duanya masih lagi di jalan kejahilan. Dan selepas Allah memberikan hidayah kepada ukhti ini terlebih dahulu dia terus-terusan bermujahadah di jalan Allah.
Bertahun-tahun lamanya ukhti ini bermujahadah. Manakala akhi ini pula terus-terusan cuba untuk menganggu ukhti tersebut dan ingin mendapatkn kepastian mengapa dia ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya akhi ini pun mengalah dan dia pula diberikan hidayah oleh Allah. Masing-masing mula menyepi dan mantap di jalan dakwah.
Selepas bertahun-tahun menyepi akhi ini mula mencari ukhti tersebut di facebook. Dan selepas ukhti ini melakukan istikharah, yakin dengan ketentuan yang diberikan olehNya, ukhti tersebut terus memulakan langkah perkenalan untuk ke langkah seterusnya. Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima walimatulurus daripada mereka berdua. Bersyukur ke hadarat Illahi kerana usaha mereka mujahadah bertahun-tahun lamanya akhirnya berbaloi juga. Allahuakbar.
Kisah 2
Seorang muslimah, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah. Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama. Silapnya di mana? Wallahua’lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.
Kisah 3
Sudah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah yang didamba peribadinya.
Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitulmuslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini.
Saat ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata,
“kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu ‘ikhwah’ sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Itu prinsip akak.”
Kisah 4
Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan mantap agamanya. Dan keduanya bertunang. Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui ibu usrahnya.
Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah. Dan kini, alhamdulillah ukhti itu tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik.
Demikianlah takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan. Adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan? Atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian? Atau sebuah baitulmuslim untuk sama-sama berjuang di jalan dakwah?
Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~
Wallahua’lam.

Monday, December 09, 2013

Fitrah Sebuah Kehidupan

Perpisahan.
Apa yang istimewanya perpisahan ini sampaikan terlalu banyak orang bercakap tentangnya? Di mana lebihnya perpisahan ini sehingga banyak airmata gugur kerananya?
Bukankah pertama kali kita dipertemukan oleh Allah swt, kita telah tahu kita akan berpisah? Bahkan sebelum bertemu lagi kita sudah tahu akan fitrah ini. Tapi mengapa?
Mari semua. Mari bayang wajah-wajah orang-orang yang paling kita sayang dan cinta. Senaikan nama-nama mereka si atas satu kertas, dan simpan dalam dompet supaya senang dibawa kemana-mana. Lihat. Nescaya sampai satu ketika, kertas itu akan dilupakan kewujudannya.
Bila diingati semula nanti, hati mungkin akan terusik dek kenangan. Kenangan tentang airmata yang pernah tumpah, tentang senyum yang pernah terukir, tentang cinta yang pernah ada.
Bila diingat semula nanti, kertas itu sudah menjadi rapuh, kekuningan, hampur koyak, dan hati kita tak akan lagi berfikir tentang isinya. Cuma yang harus kita fikirkan – apa kesannya untuk perjalanan hidup kita? Untuk Dunia dan Akhirat kita? Sedikit sekali. Atau mungkin memang tiada…
Resam air.
Di dunia, air bersifat lembut dan menyenangkan. Bila ia mengena tubuh kita, saat kita bangun dari lena dan bersuci, ternyata ia melegakan. Tubuh jadi segar dan hati jadi bersemangat untuk memulakan hidup yang baru.
Di dunia juga, bila kita diuji dengan kesedihan, kita seperti seorang yang terjaga dari tidur. Tubuh yang tidak bermaya, semangat yang pudar, seakan dikejut oleh luahan airmata. Terasa lega bila dapat melepaskan sesuatu yang terpendam tanpa perlu berkata-kata.
Ada orang mengambil semangat dari airmata. Fitrah.
Tidakkan Rasulullah saw mengalirkan airmata di saat kematian kematian anak, isteri, dan bapa saudara Baginda? Fitrah.
Manusia diciptakan lemah dan pelupa, jadi kita selalu berdosa. Atas dasar ini, para ulama tidak malu untuk hidup dengan airmata. Airmata yang mengalir kena pada tempat, tepat pada ayat, lantas membuatkan mereka kuat.
Kita bukan Nabi untuk jadi manusia sempurna. Kita tidak terpelihara dari dosa. Kita tak kuat untuk mengaku begitu tabah dan ego untuk tidak menangis. Kita hanya pendatang biasa yang singgah sebentar di Dunia. Dalam perjalanan ini, kita mungkin bertem dengan pelbagai ragam. Akan ada rasa sayang di setiap tempat yang kita ukirkan. Pada beberapa benda yang berharga menurut pandangan kita, kita akan tumpahkan cinta padanya.antara benda berharga itu adalah manusia.
Klau dilihat dari sudut dunia, semakin kita beri semakin kita akan kekurangan. Seperti gelas yang diminum airnya, ruang-ruang kosong di dalam gelas itu juga akan kurang. Sebelum kita menumpahkan air mata, fikirkan apa urusan kita – Dunia dan Akhirat.
Adakah di Akhirat, ia akan kekal dengan sifat airnya yang tenang dan memadamkan? Mampukah air mata tadi memadamkan api-api neraka jika ia bukan tumpah untuknya? Air hanya berguna jika disimbah untuk memadamkan api.Bukan di semua tempat air memadam dan menenangkan. Ada ketika, air tidak boleh memadamkan bahkan api semakin lahap dan lahab (menjulang). Orang yang terluka dan cedera juga tak boleh terkena air.
Syariat memahami. Lalu memberi kelonggaran untuk menggunakan debu sebagai ganti. Dari sudut mana debu itu nampak bersih, apatahlagi membersihkan? Jauh lagi menghembuskan ketenangan. Lalu untuk apa?
Hikmah Yang Tersirat.
Sepertimana kita tak tahu hakikat debu itu sehingga boleh menggantikan air, kita juga takkan tahu banyak benda. Kita bahkan tak ada kekuatan untuk memahami keperluan diri. Lalu bila Allah sempurnakan sesuatu untuk kita, tak perlu kita membantah.
Mungkin antara hikmahnya, Allah swt ingin kita jadi seorang hamba yang mengaku hamba. Bila disuruh buat, kita mesti taat! Ketahui, dan percaya bahawa kehidupan ini urusan Allah swt.
Perpisahan ini, walau menyedihkan, walau menumpahkan air mata, sama-sama kita berpesan. Jangan sampai kita jadi seperti si jahil yang cuba mempersoal;
“Untuk apa pertemuan, kalau kita ditakdirkan untuk berpisah”

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.