Friday, September 27, 2013

PROMOSI HIASAN DALAMAN & SENI TAMAN 2013

Sunnah Dalam Bersahabat

alt
Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam.
Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.
Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar.” [Hadis riwayat al-Baihaqi]
Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya:
“Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu.”
Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman.
Sabda Baginda bermaksud: “Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.” [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]
1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya.”
Sabda Baginda lagi : “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]
 2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubaidah Ibn As-Samit berkata: “Rasulullah S.A.W mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah.” [Hadis riwayat Muslim]
 3) Membantu kawan ketika kesempitan 
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar bertakwa.

Thursday, September 26, 2013

Siapa Kita Tanpa Allah?

alt

Sebenarnya apa yang kita cari dalam hidup ini?
Ada yang menjawab harta, wang ringgit, kebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya.
Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah. Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa… tidak tahu apa puncanya…
Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?
Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung serta sebutlah astaghfirullahal ‘Azim dengan rendah hati…. apa yang sahabat rasa?
Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan? Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.
Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah.
Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah… apa yang sahabat rasa?
Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit…
Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebut astaghfirullahal ‘Azim…
 Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa, seolah-olah sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.
Apakah maksud perasaan itu?
Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri; bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.
Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga? Dia bertanya kepada Allah :
“Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?”
Lantas Allah menjawab, “Kerana rahmat-Ku engkau masuk ke syurga”
Lelaki itu membalas,  ”Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak.” 
Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.
Kadangkala kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh. Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong. Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah. Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabila hati kita diikat pada tali Allah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa…
Siapa kita tanpa Tuhan yang mencipta… di mana kita layaknya jika Allah tiada di hati?

Tuesday, September 24, 2013

Penguat Semangat Untuk Bekerja

altLalalala..Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja…
Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.
Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah ‘goyang kaki’. Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, “kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..”.  Inikah makna sebenar kerja pada kita?
Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, “dah besar nanti anak mama nak jadi apa?”.
Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, “nak jadi cikgu!”. Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.
Niat Kerana Allah Pencetus Semangat
Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, “nak hidup punya pasal..”.
Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An’am ayat 162 di dalam solat,
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam”.
Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah. Sabda Rasul SAW,
“Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis riwayat Abu Ya’la)
Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan ‘gaji buta’ dan ‘curi tulang’ pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.
Dugaan Semasa Bekerja
Kadang-kala timbul masalah tidak ‘sekepala’ dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh ‘ngam’ dengan semua orang disekeliling kita.
Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!
Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak ‘mengulat’ selama satu minit sahaja.
Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah.
Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan.
Kerja Sebagai Ibadah
Jadikanlah Allah sebagai ‘majikan’ tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas.
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.
Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
“Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya.” (al-Jumu’ah: 10)
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Monday, September 23, 2013

Jodoh Itu Rahsia Allah

Janji Allah itu pasti. Dia akan berikan apa yang kita minta tepat pada masanya.
Pada satu petang, aku kesunyian tinggal seorang diri di dalam rumah. Ku capai laptop dan online facebook. Ada seseorang yang seperti pernah aku jumpa sebelum ini ingin berkenalan denganku. Setelah lama ku renung nampak  seperti kawan lama sekolahku. Lalu aku ‘approve’ dia sebagai kawan.
Tak lama kemudian dia menyapa di ruangan chat. Memandangkan  sendirian aku melayan ‘kawan lama’ itu berbual. Apabila tiba waktu maghrib dia meminta izin untuk solat dahulu. Dalam hatiku terdetik, bagusnya ‘kawanku’ ini. Usai solat kami sambung berbual. Dengan perencanaan Allah, kami ada ‘reunion’ dua hari selepas berbual di fb. Entah kenapa hatiku teruja untuk pergi ke ‘reunion’ sedangkan waktu itu kawan yang menguruskan ‘reunion’ bukanlah kawan rapatku. Aku sms beberapa kenalan rapat mengajak pergi ke ‘reunion’tapi tiada seorang pun yang bersetuju. Masing-masing ada urusan petang itu. Dengan perasaan hampa, aku tidur.
Dalam hatiku tertanya-tanya kenapa aku begitu teringin pergi ‘reunion’ seperti ada magnet yang menarik. Lewat petang itu, aku terima sms yang mengajak aku pergi ke ‘reunion’. Dengan perasaan gembira aku bersiap ala kadar untuk berjumpa kawan lama di warung ABC. Kawan-kawanku sibuk menceritakan persiapan mereka untuk mendirikan rumahtangga, aku diam seribu bahasa. Aku tiada perancangan untuk berkahwin apatah lagi teman istimewa pun aku tiada.
IN29_FB_152800f
Hampir waktu maghrib aku tiba di rumah. Malam itu aku online fb seperti biasa. ‘Kawan lama’ tegur aku dan bertanya kenapa diam sahaja ketika ‘reunion’ tadi. Setelah berbual, dia bertanya akan statusku…. dengan tenang aku menjawab masih ‘single’.
‘Kawan lama’ terus melamar aku untuk menjadi teman istimewanya. Aku terkesima. Berbekalkan gerak hati, aku bersetuju dengan syarat dia boleh terima diriku seadanya dan tidak berjumpa berdua-duaan. Aku teringat kata-kata seorang senior dalam usrah ketika zaman belajar dahulu agar jaga batas pergaulan ketika couplekerana ia akan mencorakkan sedikit sebanyak akhlak anak kita nanti. Seseorang itu dibentuk dan dididik sejak zaman percintaan ibu bapanya lagi.
‘Kawan lama’ juga bersetuju dengan syarat yang telah aku berikan..
Sebelum tidur, aku terfikir betulkah tindakan yang aku lakukan ini? Dengan doa istikharah aku mohon diberikan petunjuk. Keesokkan harinya aku bangun tidur dan hatiku tenang. Kukira inilah jawapan Allah.
Aku minta pada ‘kawan lama’ supaya minta izin ibu bapanya sebelum meneruskan niat  untuk mengenaliku lebih dalam… begitu juga dengan diriku. Setelah kedua belah pihak memberi restu kami teruskan proses perkenalan ini. Semuanya berjalan dengan lancar.
No dating’ walaupun rumah kami hanya dua minit. Tapi aku tidak kenal di mana sebenarnya rumah ‘kawan lama’ aku walaupun kami sekampung. Aku berkongsi mutiara kata dan email-email menarik untuk kami jadikan motivasi dan panduan dalam hidup.
Hampir setahun berkenalan, kami mengambil keputusan untuk mengakhiri perkenalan ini dengan ikatan yang sah. Aku tidak impikan majlis pertunangan, cukup sekadar ibunya menghantar sebentuk cincin sebagai tanda. Dalam tempoh 4 bulan bertunang, kami diuji.
Tanggal 2 Jun kami sah sebagai suami dan isteri. Paling tidak disangka, rumah yang pernah aku tumpang untuk reverse kereta dulu adalah rumah suamiku. Waktu reverse kereta hatiku terdetik kalaulah rumah ini buat kenduri mesti senang kerana kawasannya yang lapang.
Kini dia menjadi suamiku dan kami dikurniakan seorang puteri penyeri rumahtangga kami. Alhamdulillah kami bahagia meskipun diuji dengan tinggal berasingan dan hanya berjumpa di hujung minggu.
‘Kawan lama’ ini sebenarnya adalah rakan sekelas sejak  darjah 1.
zaman sekolah rendah4

Allah Maha Besar, ‘kawan lama’ ingat aku disebabkan pernah dimarahi ketika darjah 1 dulu.  Bila aku fikir kembali, begitu cantik aturan Allah. Kita merancang, Dia juga merancang tetapi yang terbaik itu dari Dia.
Ada rahsia di sebalik rahsia yang tidak kita ketahui. Berdoa dan bergantung haraplah kepada Allah kerana Dia Lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya dan bilakah masa yang sesuai.

Thursday, September 12, 2013

Solat Tapi Hidup Tidak Bahagia

altAssalamualaikum w.b.t. Apa khabar sahabat semua? Semoga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.
Sudahkah kita benar-benar menghadapkan diri dan kehidupan kita sepenuhnya kepada Allah? Berapa peratus? Seratus peratus? Lima puluh peratus? Atau baru sepuluh peratus?
Tahukah anda bagaimana mahu mengukur tahap anda menghadap kepada Allah? 
Mudah saja. Lihat sejauh mana anda menghadapkan diri kepada Allah sewaktu solat. Berapa peratuskan solat anda itu benar-benar sedar kepada Allah dan betul-betul menghadap kepada-Nya dan bukan menghadap kepada yang selain-Nya seperti kerja yang belum disiapkan, ikan di kuali atau kunci yang hilang.
Sebaik anda mengangkat takbiratul ihram, perhatikan kesedaran anda. Anda boleh berada dalam dua kesedaran, pertama kesedaran kepada Allah dan merasa dilihat Allah atau kesedaran nafs iaitu perkara-perkara berkaitan dunia dan hawa nafsu. Sekiranya kesedaran anda kepada Allah hanya sekitar sepuluh peratus sahaja dari keseluruhan solat itu, maka begitu jugalah sepuluh peratus sahaja anda menghadapkan diri dan kehidupan kepada Allah. Itulah cara mengukurnya kerana solat menggambarkan diri dan kehidupan anda.
Bayangkan di dalam sebuah kelas, sekiranya terdapat pelajar yang bercakap semasa guru bercakap, itu menunjukkan sikapnya yang sama di luar kelas iaitu tidak menghormati orang lain. Sikap kita di dalam solat sama dengan sikap kita di luar solat. Justeru, inilah rahsianya untuk kita mengubah sikap dan kehidupan kita kepada yang lebih baik. Iaitu dengan membaiki solat kita. Inilah latihan yang Allah sediakan.
Solat adalah suatu perbuatan yang dibuat berulang-ulang kali. Setiap perbuatan yang dibuat berulang kali akan menjadi perilaku atau sikap seseorang yang melakukan perbuatan itu. Justeru Allah mewajibkan hamba-Nya untuk solat dengan khusyuk iaitu dengan menghadapkan dirinya dengan penuh kepada Allah ketika solat. Inilah yang terungkap dalam Doa pembuka solat iaitu Doa Iftitah, “Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku ke wajah Allah yang menciptakan langit dan bumi” dan kalimah seterusnya “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”.
Bayangkan sekiranya seseorang itu menghayati apa yang dibacanya dalam doa Iftitah ini, iaitu dengan melakukan apa yang dibaca bukan sekadar membaca tanpa sedar, pastinya ia akan berubah menjadi perilaku. Bagaimana dia benar-benar menghadapkan wajahnya kepada Allah ketika dia membaca doa Iftitah pastinya dia terlatih untuk menghadapkan diri dan kehidupannya hanya untuk Allah. Inilah rahsia solat yang khusyuk. Apabila seseorang berjaya untuk solat dengan khusyuk maka dia juga berjaya menghadapkan diri dan kehidupannya kepada Allah di luar solat. Dia juga akan berjaya mencegah perbuatan keji dan mungkar kerana dia sentiasa sedar akan Allah setiap waktu dan ketika. Firman Allah; “.. Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar”
Ramai umat Islam hari ini mempunyai masalah untuk solat dengan khusyuk. Apakah dan dimana puncanya masalah ini?
Pertamanya kerana tidak adanya ilmu bagaimana kaedahnya untuk khusyuk di dalam solat. Dari kecil, kita diajar dengan lengkap rukun-rukun dan sunat-sunat solat, kita diajar apa yang membatalkan solat tapi jarang sekali yang mengajar bagaimana untuk khusyuk dengan solat. Justeru, ilmu untuk solat dengan khusyuk tersangatlah penting agar solat kita menjadi solat yang khusyuk dan menghadapkan diri kepada Allah. Barulah hidup kita akan betul menghadap kepada Allah dan tidak selain-Nya. Dengan itu benarlah kalimah syahadah yang kita ucapkan bahawa tidak ada Tuhan lain yang kita hadapkan wajah kita selain Allah; tidak menghadap kepada wang dan harta, tidak menghadap kepada pangkat dan kemasyhuran yang dengan itu kita telah mensyirikkan Allah.
Keduanya, setelah kita belajar solat dengan khusyuk, mengapa kita masih mempunyai masalah untuk khusyuk? Ini adalah kerana dalam diri kita ada nafs (hawa nafsu) yang sering mengajak kepada kejahatan. Diri kita masih mempunyai banyak keinginan yang berkaitan dengan dunia.
Justeru ketika kita mahu menghadapkan diri kepada Allah di dalam solat, keinginan-keinginan dunia dari hawa nafsu akan menarik kesedaran terhadap Allah dan membawa kita kesedaran dunia dan isinya. Justeru solat kita menjadi tidak khusyuk kerana jiwa tidak menghadap kepada Allah tetapi kepada selain-Nya. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?
Allah sudah menyiapkan senjata untuk kita menawan hawa nafsu kita agar dia menjadi lemah dan tidak mampu untuk menarik perhatian kita dari Allah. Senjata itu adalah Puasa.
Hawa Nafsu kita berasal dari dorongan jasad kita. Puasa melemahkan jasad dan secara otomatisnya melemahkan dorongan untuk membesarkan hawa nafsu. Justeru latihan 30 hari di bulan Ramadhan adalah senjata yang sangat hebat untuk menawan hawa nafsu itu. Bayangkan setiap hari kita melemahkan jasad dan dorongannya. InsyaAllah di akhir bulan Ramadhan, kita akan berjaya menawan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan itu dan akhirnya berjaya solat dengan khusyuk dan menghadapkan secara penuh kepada Allah. Justeru kembalilah kita kepada Allah dalam keadaan suci dan itulah sebab kita sering mendengar ungkapan “kembalilah ke fitrah yang suci” di bulan Ramadhan.
Allah memberikan kita senjata yang kedua untuk benar-benar menawan hawa nafsu kita. Senjata yang kedua adalah zakat. Di dalam bulan Ramadhan kita digalakkan berzakat atau bersedekah. Memberi yang digalakkan Allah adalah memberi sesuatu yang dicintai. Contohnya seorang yang mempunyai banyak kambing, haruslah memilih kambing yang terbaik untuk disedekahkan. Mengeluarkan atau memberi harta yang dicintai ini akan membebaskan kita dari ikatan kecintaan harta dan dunia yang sering menarik kesedaran kita dari kesedaran ke Allah kepada kesedaran dunia dan isinya. Justeru dengan senjata yang kedua ini, kita akan lebih mudah untuk solat dengan khusyuk.
Apa jadi selepas bulan Ramadhan? Senjata sudah tidak digunakan lagi?
Pastinya kita memerlukan senjata ini setiap waktu dan ketika kerana kita harus menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah setiap bulan dan bukan hanya di bulan Ramadhan. Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Justeru sebaiknya cubalah berpuasa enam hari berturut-turut agar dapat manfaat seperti bulan Ramadhan di mana kita benar-benar memerangi hawa nafsu yang cuba membesar dengan ‘open house’ di bulan Syawal. Jangan lupa untuk menggunakan juga senjata yang kedua iaitu zakat atau sedekah ketika kita berpuasa enam itu.
Apa yang berlaku selepas puasa enam? Rasulullah mengajar kita untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Puasa itu senjata yang tidak harus ditinggalkan. Justeru untuk memastikan kita mampu untuk sentiasa solat dengan khusyuk di mana kesedaran kita ke Allah berjaya dipertahankan (kerana hawa nafsu yang menarik kesedaran itu sudah berjaya dilemahkan dan ditawan) maka kita harus sentiasa menggunakan senjata Puasa ini secara berterusan.
Jangan lupa juga untuk keluarkan zakat atau bersedekah apabila melakukan Puasa Sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah kita dapat menghidupkan suasana Ramadhan setiap minggu; Isnin, Khamis berpuasa, Jumaat kita raya (ada khutbah Jumaat) dan jangan lupa bila ke Masjid untuk solat berjamaah, hulurkan wang yang kita cintai untuk jalan Allah atau kepada sesiapa yang memerlukan. Justeru orang Islam itu bersedekah setiap minggu.
Inilah rahsia hebat yang sering kita terlepas pandang. Solat, Puasa dan Zakat hanya jadi rutin beragama yang dilaksanakan tanpa memahaminya. Justeru di bulan Ramadhan yang sewajarnya bulan menawan hawa nafsu jadi bulan yang paling kuat membesarkan hawa nafsu, hawa nafsu makan semasa berbuka, hawa nafsu menukar perabot rumah, memberi emas, membeli langsir dan sebagainya. Jadilah Puasa kita itu hanya sekadar lapar dan dahaga yang disebutkan oleh Rasululah.
Dengan Ilmu solat dengan khusyuk dan dua senjata hebat, Puasa dan Zakat, insyaAllah kita akan mampu Solat dengan benar-benar menghadapkan wajah kita kepada Allah sepenuhnya. Justeru, begitulah juga kita di luar solat, insyaAllah benar-benar mampu menghadapkan diri dan kehidupan kita kepada Allah dan menjadikan hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Inilah erti Kalimah Syahadah yang kita sebutkan. Barulah kita dikatakan telah menyempurnakan Syahadah kita.
Rumusannya, Solat adalah cermin diri dan kehidupan kita. Bagaimana kita solat, itulah diri dan kehidupan kita. Itulah sebab kenapa Solat adalah soalan yang pertama ditanya oleh Allah bila kita kembali menghadap-Nya satu hari nanti. Baik solat kita, baiklah kehidupan kita dan masuklah kita ke Syurga yang disediakan untuk orang-orang yang menjaga solatnya.
Belajarlah Solat dengan Khusyuk, rajinlah berpuasa dan lepaskanlah ikatan kecintaan kepada dunia dengan sering bersedekah dan berinfaq di jalan-Nya. Semoga kita dipanggil pulang oleh Allah sebagai jiwa yang tenang dan berjaya memasuki Wilayah Nafsul Mutmainnah yang didiami oleh ruh para kekasih Allah. Amin Ya Allah.
Firmah Allah yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan puas lagi diredhaiNya, Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Balad: 27-30)

Tuesday, September 10, 2013

Mati Itu Pasti


Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan. (Surah Yunus, 10:56)
Usia adalah nikmat yang akan ditanya oleh Allah SWT. Semakin bertambah usia kita, ertinya semakin banyak persoalan yang perlu dijawab di hadapan-Nya.
Setiap tahun, kita melihat kumpulan jemaah haji yang pergi dan pulang dari Tanah Suci. Kita berkata Alhamdulillah, sebaik jemaah haji yang berangkat meniggalkan tanah air itu selama pulang semula di kampung halaman. Namun, sedarkah kita bahawa akan tiba suatu saat nanti dimana kita pula dihantar pergi dan tidak akan kembali?
Bila sudah sampai masa kita, nyawa pasti tercabut. Kuburlah destinasi kita yang seterusnya, sementara menanti saat dipanggil ke Hari Akhirat. Semuanya akan kekal di sana tanpa dapat pulang semula. Oleh itu, beringat-ingatlah sebelum tiba masanya kita tidak akan dibenarkan pulang lagi.
Itulah saat kematian.
Ya, itulah kematian. Kita sering berhadapan dengan saat kematian ahli keluarga, kenalan atau sahbat handai. Sedarkah kita… hari ini kita solatkan jenazah orang, tapi suatu hari nanti, akan tiba masanya, orang lain pula yang akan solatkan jenazah kita.
Seringkali kita mendengar apabila berlaku kematian, ia disebut sebagai ‘tamatlah riwayat’. Sebenarnya riwayat si mati tidak tamat. Tapi baru sahaja bermula episod baru iaitu Alam Barzakh; yang akan menjadi tempat tinggal sementara kita yang seterusnya. Elok amalan kita, eloklah tempat tinggal kita. Begitu juga sebaliknya.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).
Bila kita mati, tiada apa yang akan kita bawa selain tiga amalan ini. Ketika itu, tidak mampu lagi melakukan apa-apa kerana sudah terlambat untuk kita. Menangis, menangis, meraung, tertunduk menyesal pun tiada guna kerana kita sudah diberi masa yang cukup panjang.
Setiap saat, setiap nafas, semua akan disoal oleh Allah swt. Tapi masa itu lah yang selalu kita bazirkan.
MATI
Marilah berpegang pada tali Allah sedaya upaya kita.
Jika pergi ke tempat yang tidak pernah pergi, kita akan cuba usahakan untuk mengekori kereta yang dipandu oleh pemandu yang biasa ke tempat tersebut. Andai terpisah jauh sehingga bayangnya tidak kelihatan lagi, sudah tentu kita berasa runsing kerana bimbang tersesat jalan. Demikian juga dengan perjalanan kita ke akhirat. Hendaklah kita mengekori rapat panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu al-Qur’an. Jika kita jauh daripada al-Qur’an, sepatutnya kita berasa risau dan gundah gulana. Apakah akan sampai kita ke akhirat nanti dengan selamat?
Apabila tiba saat kematian dan kita pula dalam perjalanan menuju ke kampung akhirat, ketika itu sudah tiada guna sebarang milik kita ini. Usah ditanya lagi, apa milik kita? Semuanya tidak akan dapat membantu kecuali amalan. Tidak kira apa tafar kita; jawatan, pangkat dan kebesaran telah tiada gunanya. Justeru, kita perlu segera jadikan amalan kerja di dunia ini menjadi pahala di sisi Allah kelak.
Hargailah denyut nafas yang dipinjam-Nya. Sesungguhnya, nyawa yang dianugerahkan umpama bateri pada sebuah kereta. Tanpa bateri, kereta tidak akan dapat dihidupkan. Ada bateri yang menunjukkan tanda untuk rosak. Ada juga yang tiba-tiba sahaja rosak. Begitulah nyawa kita; adakala tanpa tanda, kita dipanggil Ilahi.
Hidup ini pasangannya adalah mati. Sepeti pagi pasangannya adalah petang. Dunia pasangannya akhirat. Pasangan Syurga adalah Neraka. Kesemua ciptaan Allah mempunyai pasangan. Yang tiada pasangan hanya Allah sahaja.
Sedarlah… kita semua adalah tetamu. Apabila disebut sebagai tetamu, ertinya kita menumpang sesuatu yang bukan milik kita. Maka kita tidak boleh memandai-mandi melakukan apa yang kita mahu.
Jika kita bertamu ke rumah orang, kita seharusnya menjaga perilaku kita di tempat yang bukan milik kita.  Begitu juga kita sebagai tetamu Allah di muka bumi ini. Sampai masa kita akan kembali juga kepada-Nya, kepada Dia Maha Pencipta.
Bumi ini juga bukan hak kita dan bukan ciptaan kita. Kita keluar dari perut ibu, tengok-tengok bumi sudah ada. Begitu juga ayah kita, ibu kita dan datuk nenek kita. Segala yang ada di bumi ini sudah ada saat mata kita tercelik kerana  hatta sebutir beras pun tidak dibuat oleh manusia. Semuanya adalah ciptaa Allah. Ertinya, kita hidup di bumi ini, makan tanaman yang dicipta-Nya, hirup udara-Nya, maka adakah munasabah kita mahu melawan-Nya?
Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk metaati-Nya.
Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat dikandung badan.
Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju bertemu Ilahi.

Monday, September 09, 2013

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?

alt
Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?
Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”
Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Thursday, September 05, 2013

PROGRAM SOLAT HAJAT, BACAAN YASIN & TAZKIRAH SERTA TAKLIMAT SKIM SIMPANAN & PERLINDUNGAN CUEPACS

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته  
  
Makluman kepada semua warga Kraftangan Malaysia
Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. 

2.      Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Program Solat Hajat, Bacaan Yasin & Tazkirah serta Taklimat Skim Simpanan & Perlindungan CUEPACS seperti mana berikut :   

      
           Tarikh            :    6 September 2013 (Jumaat)  

           Masa              :    8.00 pagi hingga 11.00 pagi

           Tempat          :     Dewan Seri Utama    
                                          Bangunan Seri Utama  
                                          Kompleks Kraf Kuala Lumpur


3.    Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota kerja adalah dijemput hadir dan kehadiran tuan/puan dalam menjayakan program ini sangatlah dialu-alukan dan dihargai. 

Sekian, terima kasih  

Sejukkan Dengan Wuduk

alt

“Rasulullah SAW pernah menjelaskan orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk. Dia boleh mengalihkan situasi marah itu kepada satu keadaan yang lebih baik.”
Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Antaranya jika seseorang yang sedang marah itu dalam keadaan berdiri, adalah lebih baik dia duduk.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Dua perkara kelebihan wuduk, pertamanya membersihkan diri daripada kekotoran hati dan keduanya secara fizikal menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.
Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)
Di samping mampu menahan sifat marah, seseorang itu juga perlu bersedia memaafkan pihak yang membuatkan mereka marah. Memaafkan kesalahan orang lain digalakkan bagi mengekalkan silaturahim dan keharmonian. Malah, sifat pemaaf meletakkan seseorang itu di tempat yang tinggi.

Wednesday, September 04, 2013

Kehendak Manusia Atau Kehendak Allah?

Saya cuma ingin berkongsi pendapat tentang keutamaan hidup kita. Bagi saya dalam apa pun keputusan hidup kita, kita perlu membuat keutamaan berdasarkan apa yang kita fahami dalam hidup. Dan pilihan itu adalah berdasarkan apa yang kita fahami tentang tujuan hidup.
Antara dua pilihan atau lebih dari dua pilihan, pilihan yang mana lebih menguntungkan untuk membawa kita ke kehidupan yang lebih baik. Bagi kita ummat Islam tentunya berkaitan dengan hidup di akhirat kelak. Maka jika menyentuh tentang kehidupan akhirat tentunya kita mahukan syurga dan jika kita mahukan syurga, pastinya kita hanya mahukan REDHA ALLAH SWT.
Sebenarnya pilihan ini dibuat berdasarkan apa yang telah kita lalui. Pengalaman. Kemudian lihat pula sejauh mana ilmu kita boleh menilai pilihan itu. Kita perlu faham kenapa seseorang penjenayah memilih untuk membuat jenayah. Apakah mereka tidak tahu jenayah adalah satu kesalahan dan dosa? Tapi mereka tetap mahu lakukannya. Ini sangat berkait dengan cara kehidupan mereka. Siapa mereka berkawan dan apa yang mereke telah lalui? Dan semua itu adalah di luar pengetahuan saya.
tumblr_ly8v78g5lz1r3rdlao1_500
Jadi dalam pilihan kita, apa jenis pilihan pun, kita perlu utamakan pilihan yang mendapat redha dari Allah. Pilihan yang tidak melanggar apa yang ditegah-Nya. Pilihan yang menjadikan kita lebih dekat dengannya.Selain dari itu adalah pilihan yang salah.
Dalam membuat pilihan sama ada untuk menjaga hati manusia atau menjaga Allah, tentulah kita perlu menjaga Allah.. walaupun terpaksa menyakitkan hati manusia. Tentulah agama melarang kita menyakiti sesama insan, tetapi yang manakah lebih penting? Redha Allah atau kesenangan hati manusia?
Dalam ketaatan kepada Ibu bapa, agama meletakkan sempadan dalam mentaati ibu bapa. Ketaatan yang boleh menyebabkan kita melanggar perintah Allah adalah dilarang. Maka seorang anak boleh ingkar jika ibu bapa mereka menyuruh melakukan kemungkaran. Seoarang anak wajib menolak permintaan yang melanggar perintah Allah secara baik dan sedaya upaya memperbetulkan keadaan itu, malah jika keadaan masih lagi di luar kawalannya, ambillah keputusan untuk tinggal berjauhan dan mohonlah pertolongan Allah. Allah pasti membantu hamba-Nya selalu mengutamakan perintah-Nya.
Jika seorang lelaki mengajak seorang wanita bercinta seperti yaang berlaku dalam kisah muda-mudi hari ini, wanita itu akhirnya termakan pujukan si lelaki kerana kasihan dan mahu menjaga hatinya. Adakah pilihan wanita itu betul? Adakah pilihan wanita itu selari dengan apa yang Allah mahu?
Akhirnya melahirkan perasaan yang lebih mendalam hingga boleh menjadikan wanita itu melanggar banyak lagi perintah. Adat orang bercinta berdua-duaan, samada secara realiti atau maya. Lumrah nafsu si lelaki akan meminta lebih lagi sebagai ‘bukti’ cinta. Si wanita akan menurut dengan alasan ingin menjaga hati. Namun jelas melanggar apa yang Allah mahu.
Tindakan wanita itu mungkin betul jika si lelaki benar-benar mahu mengahwininya pada masa terdekat. Jika tidak, hubungan cinta yang terlalu lama hanya membawa kemungkaran demi kemungkaran dan fitnah yang tidak akan disedari oleh si pelaku. Ini hanya disedari setelah perkara buruk berlaku. Ketika itu penyesalan adalah sia-sia.
Sememangnya banyak pilihan yang berlaku dalam hidup ini membuatkan kita buntu dan keliru dengan kepelbagaiannya. Namun jika kita membuat pilihan yang mengutamakan redha Allah, maka kita tidak mungkin rugi, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Banyak pilihan yang menyebabkan kita menyesal di kemudian hari dan sebenarnya kita telah menyedarinya ketika pilihan itu dibuat. Kerana kita berharap pilihan akibat pilihan itu adalah berlainan. Sebenarnya tidak.
Kita boleh membuat pilihan, tetapi tidak boleh memilih akibat pilihan itu.
Kita semua memahami hakikat ini jika kita berpijak di bumi nyata.
tumblr_lm8cs33gqr1qjgjigo1_400

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YABG KE-56



Pihak pengurusan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-56 kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia pada 31 Ogos 2013 (Sabtu) bersamaan 24 Syawal 1434H. Semoga kita sama-sama menghayati jasa dan pengorbanan para pejuang negara untuk mendapatkan kemerdekaan yang kita kecapi hingga ke hari ini.

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.