Monday, August 05, 2013

Nota Cinta Ramadhan

Fajar kini menginjak empat, 
Dan malam ketiga berpisah,
Sebak, lembut melambai dari hati,
Yang masih kecil dan rebung
Mulut sedang cuba beribadah,
Kumat kamit merendah diri,
Mengunci benih-benih yang menjengah,
Hati, gamaknya sama,
Menutup kecil-kecil buruk sangka,
Teringat, minta dilupakan,
Terpendam, minta didamaikan,
Terlanjur, minta diampunkan
Andainya Ku Bisa Menunggu Fajar di Ufuk Sana
Moga benarlah ia melupus,
Dengan rahmah dan resah taubah,
Indah nian menangis,
Kerna lebihnya gerun tak tercapai,
Cinta Tuhan Maha Memeluk,
Dibanding geletek rasa sang fitrah
Apa juapun terlintas,
Semahunya biarkan hanya Engkau di sini,
Meniup roh-roh mahu berubah, berhijrah,
Cukuplah dua puluh lima yang tergadah,
Tak pernah ampuh tanpa khasyiatullah
Kebil rayu yang sayu,
Tersenyum kerna masih mampu,
Menjaga jiwa segenap anggota,
Namun masihlah terus ia merintih,
Memohon untuk menangis
Moga akhirnya,
Tersadur hati yang bersih,
Putihnya jernih bersama makna-makna Al-Quran,
Untuk pimpin bahagia untuk ke Sana.

Kelebihan Lailatul Qadar



Sekadar Hiasan Semata-mata


Kelebihan Lailatul Qadar itu, keberkatan, kenikmatan, keajaiban dan satu rahmat yang amat besar. Bagi sesiapa yang dibuka pintu hatinya oleh Allah, dengan hanya mempelajari sepatah perkataan dari ilmu ketuhanan, keberkatannya sudah memadai dan menyamai orang yang belajar seribu tahun. Tidak ada kenikmatan yang paling besar dalam kehidupan kita ini, selain dari mengenal dan melihat Allah.
Maksudnya di sini bahawa dengan hanya satu saat dapat melihat wajah Allah, seumpama hidup seribu tahun. Inilah kelebihan Lailatul Qadar, bagi sesiapa yang mengetahui dan mendapatnya. Bagi yang tidak mengerti dan yang buta mata hatinya, tunggulah sahaja di hari 7 likur pada bulan Ramadhan, yang akan datang pada setiap setahun sekali, yang mana penantian itu, tidak akan ada jalan penghujungnya.
Gambaran pada tafsiran ilmu syari’at malam Lailatul Qadar itu, adalah hari dimakbulkan segala doa hambanya. Hari di mana pintu langit akan terbuka luas. Para Malaikat di hari itu, sibuk turun dan naik ke langit bagi menyampaikan permintaan doa hamba.
Pada tafsiran ilmu makrifat pula, hari Lailatul Qadar itu bukannya ada apa-apa kelebihan berbanding dari hari-hari lain. Bukan menjurus kepada makbulnya doa, bukan menjurus kepada diampunkan dosa dan bukannya menjurus kepada kelebihan syafaat. Ianya lebih menjurus kepada perubahan hati. Perubahan dari sifat jahil kembali kepada sifat alim, dari gelap kembali terang, dari hina menjadi mulai dan dari hidup tanpa Allah, kini hidup kita beroleh ilmu mengenal Allah. Dengan ilmu mengenal Allah, itulah pengertian Lailatul Qadar yang sebenar-sebenarnya, menurut suluhan ilmu makrifat.
Yang dengannya tidak lagi bergantung harap kepada syafaat pahala dan tidak lagi bergantung harap kepada doa. Dengannya juga, kita tidak lagi mengharap keajaiban Lailatul Qadar, untuk mengubah nasib kita, melainkan yang kita nampak di hari Lailatul Qadar itulah adalah keajaiban Allah. Keajaiaban kuasa, ketinggian, kebesaran, kesempurnaan, kemuliaan dan keagungan Allah. Keadaan sebeginilah yang akan kita lihat yang akan kita nampak pada Lailatul Qadar sebenar. Bukannya melihat pokok tunduk atau perigi dipenuhi air. Kelebihan sebenar Lailatul Qadar itu, terletak di dalam hati yang mengenal Allah (makrifat kepada Allah Taala).
Bukannya terletak pada melihat keajaiban luar biasa, dengan telaga cetek dipenuhi air, nampak langit terbelah, nampak air berpatah balik mudik ke hulu, melihat cahaya seperti Malaikat sujud dan nampak pokok sujud menyembah bumi. Hanya hati yang lagi bergantung kepada doa dan hati yang tidak terpaut kepada balasan pahala itu lebih berharga dari keajaiban di atas.
Semua itu tidak berharga dan tidak menjadi satu kelebihan, melainkan yang menjadi kebanggaan, keberkatan dan keajaiban yang amat tinggi itu, ada saat mengenal Allah Taala. Inilah kelebihan Lailatul Qadar pada sudut pandangan ilmu makrifat. Bagi sesiapa yang mendapatnya, berbahagia dan beruntunglah di dunia dan di akhirat. Wassalam…

Friday, August 02, 2013

Bila Berlakunya Lailatul Qadar?


Mengikut sesetengah golongan masyarakat, ada yang mengatakan bahawa berlakunya Lailatul Qadar itu pada malam 27 Ramadhan, ada pula yang mengatakan 10 malam terakhir Ramadhan.
Mengikut pandangan ilmu Makrifat, bila masa, bila tarikh, di mana tempat dan kepada siapa ianya berlaku, sedikit pun tidak menarik perhatian dan menjadi keutamaannya.  Sesungguhnya Lailatul Qadar itu, boleh berlaku pada bila-bila masa, pada sebarang tempat dan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Tidak semestinya pada tanggal-tanggal seperti tersebut. Apabila sampai masa dan ketikanya, hati seseorang itu akan dibuka Allah untuk menerima kesedaran yang luar biasa (Lailatul Qadar), ianya tidak kira tarikh atau hari bulan. Ianya ditentukan bilamana kita mengenal Allah, tidak kiralah melalui apa cara sekalipun.
Masa dan tarikh berlakunya Lailatul Qadar itu, apabila bertukarnya hati seorang yang jahil, kepada seorang yang berilmu mengenal Allah, itulah yang dikatakan mana dan tarikhnya Lailatul Qadar. Inilah yang dikatakan hari keberkatan dan hari yang diperingati (Lailatul Qadar). Bagi ahli Makrifat tidak ada hati yang lebih berkat dan lebih diperingati selain dari masa, tarikh dan hari mereka dapat mencapai tahap mengenal  Allah s.w.t. Inilah dikatakan hari barakah, hari yang diperingati, hari terang benderang seumpama hari seribu bulan. Itulah hari Lailatul Qadar yang sebenar, menurut suluhan dan tafsiran makna ilmu Makrifat.
Malam Lailatul Qadar itu akan muncul bukan sahaja pada waktu bulan Ramadhan, bukan hanya tertuju kepada malam 7 likur atau malam 27 Ramadhan atau malam 17 Ramadhan sahaja, tetapi Lailatul Qadar itu, akan berlaku pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah s.w.t. Tidak kira siang atau malam, tidak kira bulan atau tahun. Tertakluk kepada Allah Yang Maha Berkuasa kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Thursday, August 01, 2013

PROGRAM TAZKIRAH RAMADHAN 1434H/2013M, SOLAT SUNAT TASBIH DAN KHATAM AL-QURAN

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته  
  
Makluman kepada semua warga Kraftangan Malaysia

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.  

2.      Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Program Tazkirah Ramadhan 1434H/2013M, Solat Sunat Tasbih dan Khatam Al-Quran seperti mana berikut : 

     
           Tarikh            :   2 Ogos 2013 (Jumaat)  

           Masa             :    9.00 pagi hingga 11.00 pagi

           Penceramah 
           Jemputan      :   Ustaz Abd. Fatah bin Yusof, JAWI

                                       "Meniti Hari-Hari Terakhir Ramadhan"

           Tempat          :   Dewan Seri Utama    
                                        Bangunan Seri Utama  
                                        Kompleks Kraf Kuala Lumpur

3.    Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota kerja adalah dijemput hadir dan kehadiran tuan/puan dalam menjayakan program ini sangatlah dialu-alukan dan dihargai. 

Sekian, terima kasih  

Gelagat Masyarakat Dalam Mencari Lailatul Qadar


lailatul qadar Gelagat Masyarakat Dalam Mencari Lailatul Qadar
Daripada cerita-cerita yang pernah kita dengar, yang menceritakan tentang Lailatul Qadar. Berapa ramaikah yang telah mendapat Lailatul Qadar? tambahan pula di zaman serba moden sekarang ni. Untuk mendapatkan Lailatul Qadar, ada yang mengambil kaedah berjaga pada malam 7 likur atau pada tanggal27 Ramadhan. Tidak kurang pula, ada yang berjaga dari awal Ramadhan sampailaj ke akhir Ramadhan, tetapi hasilnya Lailatul Qadar itu, tidak juga ditemui dan tidak juga muncul-muncul.
Di surau dan di masjid-masjid ada saja orang yang berjaga, ada saja orang yang membaca Al-Quran, ada yang sembahyang tahjud, ada yang berzikir dan bermacam-macam ibadah semata-mata untuk menunggu malam Lailatul Qadar. Ada yang menggunakan kaedah pasang lampu dan pasang pelita keliling rumah, agar kedatangan Lailatul Qadar itu akan dapat dilihat dan dipandang mata.
Ada yang bersengkang mata demi menunggu Lailatul Qadar. Ada pula yang bergilir-berjaga malam, semata-mata untuk menunggu kedatangan Lailatul Qadar, tapi Lailatul Qadar tidak kunjung tiba juga. Kenapa? cuba tanya diri kita sendiri. Tambahan pula zaman sekarang ini, pernahkah kita dengar orang yang mendapat Lailatul Qadar dengan cara itu?.
Inilah antara gambaran gelagat masyrakat kita yang buta hati. Mereka hanya tahu bahawa Lailatul Qadar itu hanya dalam bulan Ramadhan dan boleh mendatangkan keajaiban kepada kita. Pokok akan tunduk, seolah-olah rukuk, air perigi dari asalnya kering akan menjadi penuh, air menjadi beku seperti air batu, melihat langit terbelah dan sebagainya. Ini sahaja yang kita tahu tentang Lailatul Qadar. Itulah makanya ramai di kalangan kita berebut-rebut untuk mendapatkan Lailatul Qadar dengan cara memasang pelita diperkarangan rumah dan berjaga malam bagi menunggu tibanya Lailatul Qadar.
Sedangkan Lailatul Qadar yang sebenar-benarnya itu, ada di dalam diri kita masing-masing. Iaitu disaat kita mengenal Allah Taala, yang mengubah diri kita dari asalnya bersifat jahil, ianya akan bertukar dan berubah menjadi bersifat alim, setelah kita mengenal Allah.
Apabila kita tahu yang diri kita ini jahil, sementara masih di dunia, hidup dan bernyawa, marilah kita sama-sama merebut peluang ini, bagi yang mencari Lailatul Qadar di dalam diri kita sendiri, Insya Allah dengan cara itu, kita akan mendapat mengenal Allah melaluinya.

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.