Wednesday, July 31, 2013

AMALAN 10 HARI TERAKHIR RAMADHAN

malam lailatul qadar RISALAH AMALAN 10 HARI TERAKHIR RAMADHAN
بسم الله الرحمن الرحيم

AMALAN UMUM :

a) Sebolehnya beri’tikaf.
b) Mandi antara solat Maghrib dan Isya’.
c) Tidak bersama (jima’) dengan isteri.
d) Makan sedikit waktu iftar .
e) Solat fardhu berjemaah.
f) Solat Rawatib dan Nawafil.
g) Baca Al-Qur’an sebanyak-banyaknya.
h) Bersedekah.
i) Membuat segala amal kebaikan yang termampu termasuk pergi ke majlis ilmu dan muzakarah, menziarahi para alim ulama’ dan orang-orang soleh, khidmat kepada kedua orang tua atau guru/ masyaikh, bersifat ihsan/ belas kasihan kepada semua makhluk dan lain-lain.
j) Usahakan untuk mengkhatam pada setiap hari bermula 20 Ramadhan :
1- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
2- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (1000x)
3- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
4- Surah Al-Ikhlas (100x, atau paling sedikit 25x)
AMALAN KHUSUS:
PAGI:
1- Solat sunat sebelum Subuh, solat fardhu Subuh berjemaah, wirid selepas solat .
2- Al-Wird al-Lathif dan Hizb an-Nawawi.
3- Sebelum naik matahari baca :
i- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
ii- لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ (100x)
iii- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
iv- سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
v- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (100x)
4- Solat sunat Isyraq dan sunat Dhuha.
TENGAHARI:
1- Solat Qabliyyah Zohor, solat fardhu Zohor berjemaah, solat Ba’diyyah Zohor.
2- Ratib al-Aththos.
3- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، اَلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ (25x)
PETANG:
1- Solat Qabliyyah Asar, solat fardhu Asar berjemaah.
2- Hizb al-Bahr.
3- اَللهُ أَكْبَرُ (100x)
MAGHRIB:
1- Berzikir dan berdoa ketika hampir waktu berbuka puasa .
2- Berbuka puasa, solat fardhu Maghrib berjemaah, solat Ba’diyyah Maghrib.
3- Solat sunat Awwabin.
4- Ratib al-Haddad.
ISYA’:
1- Solat Qabliyyah Isya’, solat fardhu Isya’, solat Ba’diyyah Isya’.
2- Solat Tarawih dan Witir.
Amalan pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar :
Bermula pada pukul 12 tengah malam:
1- Mandi, memakai pakaian yang bagus, berhias diri dan berwangi-wangian .
2- Berwudhu’, solat sunat Wudhu’.
3- Solat Hajat mohon agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
4- Membaca Al-Qur’an.
5- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (100x)
6- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
7- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ حَيٌّ دَائِمٌ لاَ يَمُوتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (400x)
8- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيمُ الْحَكِيمُ، سُبْحَانَ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (3x)
9- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
10- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ (200x)
11- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
12- Ayat Al-Kursi. (3x)
13- Solat sunat Tahajjud, Taubah, Hajat, Tasbih, Witir.
14- Al-Wird al-Lathif.
15- Membaca doa khusus .
16- Solat Lailatul Qadar .
17- Paling kurang solat Isya’ berjemaah dan solat Subuh berjemaah .
LAMPIRAN:
(A):
Sebelum berdoa bacalah:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Sebelum berselawat bacalah:
إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sebelum berzikir atau bertasbih, bacalah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ اَمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً
Tujuannya ialah supaya mengingatkan hati agar sentiasa tunduk dan patuh kepada suruhan Allah untuk berdoa, berselawat dan berzikir serta bertasbih kepadanya .
(B):
Usahakan untuk tidak meninggalkan 2 amalan ini selepas salam pada solat Subuh:
1) Membaca sebanyak 10 x dalam keadaan masih duduk Tahiyyat Akhir (sama ada masih duduk Tawarruk atau Iftirasy) dan tidak berkata-kata sehingga selesai bacaan:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Fadhilat:
Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”
2) Membaca sebanyak 7 x sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan:
اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”
Fadhilat:
Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”
Cacatan:
Boleh juga menggunakan shighah (bentuk) jama’ (ramai) umpamanya:
اَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ
“Ya Allah, peliharalah kami dari api neraka”
(C):
Zikir dan doa ketika hampir berbuka puasa:
1- أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ (3x)
2- اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا (3X)
3- يَا كَرِيمُ (1x)
4- Doa:
اَللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لَنَا، وَسَلِّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلاً حَتَّى يَنقَضِيَ وَقَدْ غَفَرْتَ لَنَا وَرَحِمْتَنَا وَعَفَوْتَ عَنَّا، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فِيهِ الْعَافِيَةَ الْحَالَةَ وَالرِّزْقَ الْحَسَنَ وَدِفَاعَ اْلأَسْقَامِ، وَالْعَوْنَ عَلىَ الصَّلاَةِ وَالصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا لَيْلَةَ الْقَدْرِ، وَأَعِنَّا عَلَى الصَّلاَةِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ وَالْعَمَلِ فِيهَا حَتَّى تَرْضَى عَنَّا.
“Ya Allah, selamatkanlah kami untuk Ramadhan dan selamatkanlah Ramadhan untuk kami. Dan selamatkanlah ia untuk kami sehingga ia pergi dalam keadaan Engkau telah mengampuni kami dan merahmati kami. Ya Allah, berikanlah kami di dalamnya keafiatan yang segera, rezeki yang baik, perlindungan daripada penyakit, serta pertolongan untuk melakukan solat, puasa, beribadah pada waktu malam dan membaca Al-Qur’an. Ya Allah, rezekikanlah kami Lailatul Qadar dan bantulah kami untuk bersolat, beribadah pada waktu malam, membaca Al-Quran dan beramal di dalamnya sehingga Engkau redha dengan kami.”
Boleh juga membaca doa dan zikir-zikir lain.
(D):
Walaupun tarikh berlakunya Lailatul Qadar menjadi rahsia Allah, para ulama dan Ahli Sufi telah membuat kaedah dengan harapan berjumpa dengan malam berkat tersebut, mengikut pengalaman masing-masing.
Kaedah:
Di dalam kitab Hasyiah Fath al-Wahhab disebutkan bahawa: Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23. Kaedah ini juga disebut di dalam Al-Barmawi dan Al-Qalyubi (2/26).
Di dalam kitab Al-Jauhar al-Mauhub dan Al-Bujairami ‘ala al-Khathib (2/410), disebutkan bahawa ahli-ahli Sufi termasuklah Syaikh Abu Bakar al-Maghribi, Imam Al-Ghazali dan lain membuat dhobith (kaedah) iaitu jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21 .
Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ mentarjihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam 27 Ramadhan berdasarkan keterangan hadith daripada Ubay bin Ka’ab dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam 27 itu .
Tanda-tanda:
1- Malamnya tenang (tidak bunyi bising/ hiruk pikuk), tidak panas dan tidak sejuk.
2- Cahaya matahari pada paginya kelihatan putih cerah, tidak banyak sinarannya .
3- Anjing tidak menyalak .
(E):
Doa khusus dibaca pada malam Lailatul Qadar:
بسم الله الرحمن الرحيم
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا، عَفْوُكَ يَا عَفُوُّ فِي الْمَحْيَا، وَفِي الْمَمَاتِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقُبُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ النُّشُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ تَطَايُرِ الصُّحُفِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقِيَامَةِ عَفْوَكَ، وَفِي مُنَاقَشَةِ الْحِسَابِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمَمَرِّ عَلَى الصِّرَاطِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمِيزَانِ عَفْوَكَ، وَفِي جَمِيعِ اْلأَحْوَالِ عَفْوَكَ، يَا عَفُوُّ عَفْوَكَ.
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku. Aku memohon keampunanMu, wahai Yang Maha Pengampun, dalam kehidupan, dalam kematian, aku juga memohon keampunanMu, dalam kubur aku juga memohon keampunanMu, ketika dibangkitkan aku juga memohon keampunanMu, ketika diberikan lembaran amal, aku juga memohon keampunanMu, ketika sidang perhitungan amal, aku juga memohon keampunanMu, dalam semua keadaan, aku juga memohon keampunanMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, aku memohon keampunanMu.”
Baca juga doa-doa lain. Boleh juga bermohon dalam Bahasa Melayu kepada yang ada hajat jika tidak boleh berbahasa Arab .
(F):
Solat pada malam berlakunya Lailatul Qadar
Lafaz niat:
أَصَلِّي سَنَّةَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku sembahyang sunat Lailatul Qadar empat rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Pada setiap rakaat, selepas membaca Al-Fatihah, hendaklah membaca Surah At-Takathur sekali dan Surah Al-Ikhlas tiga kali.
Solat pada malam 27 Ramadhan .
Ia dikerjakan sebanyak 12 rakaat. Pada pendapat Al-Faqir, boleh juga dikerjakan dengan dua rakaat dan salam, kemudian meneruskannya sehingga ke dua belas rakaat. Pada rakaat pertama, setelah membaca Surah Al-Fatihah, dibaca Surah Al-Qadar 1x dan Surah Al-Ikhlas 15x untuk setiap 2 rakaat.

Tuesday, July 30, 2013

Sahabat Dunia Akhirat

Memiliki sahabat sejati merupakan satu anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari sudut kebendaan, kecenderungan mahupun tingkah laku. Sama ada kita akan terikut-ikut dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya, dia akan terpengaruh dengan kita.
Secara umumnya, kita melihat orang yang baik akan bersahabat dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.” (Riwayat al-Dailamai)
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.” (Riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
iluvislam, ukhwah, sahabat
Sifat Sahabat yang Mulia
1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik.
Seseorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada.
Tidak menderitakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)
3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.
Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4. Menyebut kebaikan.
Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.
 5. Mudah mengalah.
Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.
6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.
Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.
sahabat, iluvislam, kawan, ukhwah
Sifat Sahabat yang Perlu Dijauhi
1. Mementingkan diri sendiri.
Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri yang kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri kerana tamak kepada kemewahan dan harta dunia.
2. Pengampu.
Setiap perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tida kira sama ada perkara itu betul ataupun salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3. Pemboros dan suka hiburan.
Apabila seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika kita suka berhibur, berkeliaran dan “melepak” pada bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.
4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.
Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran.
Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.
5. Suka berbantah-bantah.
Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.
Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari reda-Nya.Hayatilah Firman Allah ini :
“Pada hari itu (hari akhirat), sahabat-sahabat karib; sebahagian mereka akan menjadi musuh kepada sebahagiaan yang lain, kecuali orang yang bertaqwa.” (Surah al-Zukhruf : 67)

Monday, July 29, 2013

Nikmatnya Perpisahan Insan ‘Bercouple’

“Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa ‘clash’ dengan dia..”
“Kenapa pulak?”
“Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah.”
“Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..”
Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.
Ya.. begitulah.. memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber’couple’, iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.
Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih.
Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber’couple’. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.
Itu barulah ‘saling menyayangi’ namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?
tumblr_mn6uwsupj71qapk2qo1_500
Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber’couple’ itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber’couple’ (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya ‘kehilangan’ atau perpisahan. Kerana ‘kehilangan’ atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.
Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman;
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)
“Biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia.”
Marilah sama-sama kita renungkan… belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita ‘bercouple’ bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.
Jika pasangan kita itu ditakdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun ‘suprise’ yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.
Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SWT. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal.

Amalan Doa Nabi Daud

Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SWT sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.
doa2
“ Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,
Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.”
(Hadis riwayat At-Tarmizi)
Rasulullah SAW bersabda, “Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s.”

Thursday, July 25, 2013

Lapangkan Hatimu Dengan Taubat

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?
Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira.. itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.
Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?
384444_251661714890184_169516276438062_761233_1621754874_n
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah S.A.W bersabda :
“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di Akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke Neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah.

Menangislah Hari Ini

Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di Akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita.
Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba.
Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah S.A.W ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah S.A.W menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah S.A.W pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. [Sulaiman bin al-Ash'ath, Sunan Abi Daud]
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk Syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan.

Jangan Rasa Selamat

Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat.
la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.
tumblr_m44iioNJgx1qf1tsro1_500

Menyingkap Lembaran Sejarah

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini : Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan Syaitan, yang mana Syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka.
Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Luth, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah S.W.T kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
  • Kaum Nabi Nuh
  • Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
  • Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
  • Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
  • Firaun dan pengikutnya.
  • Kaum Nabi Luth.
  • Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
  • Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad S.A.W. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu.
Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa.” (Surah al-An’am 6: 44)

Pendosa Tidak Tenteram Jiwanya

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah:
Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (Surah Thaha: 24)
Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya:
Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.

Hati Yang Bercahaya

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui selepas Ramadhan nanti, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (Akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

MAJLIS BACAAN SURAH YASIN & TAHLIL SERTA CERAMAH AGAMA RAMADHAN 1434H/2013M


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته 
  
Makluman kepada semua warga Kraftangan Malaysia

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.  

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kraftangan Malaysia akan mengadakan
Majlis Bacaan Surah Yasin & Tahlil serta Ceramah Agama Ramadhan 1434H/2013M seperti mana berikut : 

           i ) Majlis Bacaan Surah Yasin & Tahlil 

           Tarikh           :   26 Julai 2013 (Jumaat)  

           Masa             :   8.00 pagi hingga 9.00 pagi

 
         ii) Program Ceramah Agama Bulan Ramadhan 1434H/2013M 

            Masa              :   9.00 pagi hingga 10.30 pagi 

           Penceramah 
           Jemputan      :    Ustaz Azhar bin Tuarno, Imam 
                                          Masjid Negara

                                       "Al-Quran Bukan Sekadar Bacaan" 

                                        (sempena Nuzul Al-Quran)

           Tempat          :   Dewan Seri Utama   
                                        Bangunan Seri Utama 
                                        Kompleks Kraf Kuala Lumpur 

Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota kerja adalah dijemput hadir dan kehadiran 
tuan/puan dalam menjayakan majlis ini sangatlah dialu-alukan dan dihargai. 

Sekian, terima kasih  

Tuesday, July 23, 2013

Bercinta Dengan Rasulullah SAW

altPepatah Melayu ada menyebut – “Tak kenal maka tak Cinta”. Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma’rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan ’Ya Ayyhuhannas’ ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyah tersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada Tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain – telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal AllahBaru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslimmelakukan ibadah jika mereka belum mengenal Allah. Apabila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitu melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah saw.. Bagaimanakah agaknya cara untuk menzahirkan perasaan cinta kepada Baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah saw..
Mengenal Rasulullah saw., antara lain bermaksud kita tahu apa yang Baginda suka dan apa yang Baginda benci atau apa yang Baginda suruh dan apa yang Baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang Baginda suka atau masih membuat perkara yang Baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan Baginda saw..
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah saw.. Tidak sempurna cinta kita kepada Baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah Baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai Baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran Baginda?
Jika Rasulullah saw. tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain – kerana setiap anak Adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah saw. menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati Baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika Baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil – iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi  jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan – lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah saw. tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan Baginda. Sesungguhnya, kasihkan Baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji Baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan Baginda kepada kita semua, iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali ‘menghargai’ rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah saw.. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama Baginda, para anbiya’, solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.

Monday, July 22, 2013

Air Mata Ramadan

altTidak ku duga…
Engkau kian menghampiri saat kepulanganmu
Sedang aku baru mulai menghitung ibadah
Rupanya terlalu tipis ibadah yang ku gubah
Saat ini baru ku sedari kenikmatanmu
Saat ini baru ku sedari keindahanmu
Duhai Ramadhan…
Ku akui imanku terlalu halus umpama zarah-zarah yang berterbangan
Ku tahu kedatanganmu terlalu pantas seumpama sambaran kilat
Namun ku tetap terus leka dengan mainan khayalan benakku
Tanpa memikirkan untuk mengatur cara mendakapmu seeratnya
Aku lupa denganmu aku bisa melawan amarah yang menyinga
Daripadamu juga berusaha mendidik rembatan nafsu bisuku
Dan daripadamu juga aku mengenal kondisi diriku yang sebenarnya
Kini baru aku mulai bersungguh menggapaimu
PadaNya ku sujud meratib memohon berjuta keampunan
Atas segala titik dosa yang pernah ku pahatkan padaNya
Air mataku lencun membasahi hamparan sujudku
Mangalir deras menyucikan lorong-lorong kelam dosa
Menyuburkan kebun hati yang tandus baja ketenanganNya
Mutiara jernih itu amat bernilai maharnya bagiku
Kerana ia penawar utama buat sanubari ini
Aku bersyukur di kelewatan keinsafan ini
Engkau suntikkan sinar cahaya kesedaran
Akan ku berusaha meraih fasa ketiga yang Engkau titipkan
Setelah fasa pertama dan kedua yang telah ku abaikan
Ya Allah…
Berilah daku peluang untukku mengkoreksi diri
Walau ku tahu RamadanMu akan berlalu pergi
Berilah ruang dan peluang ku mengecap sekelumit berkat darinya
Aku juga hambaMu yang amat mendambakan malam Al-Qadr
Temukanlah aku dengannya agar ianya bakal menjadi bekal bagiku nanti
Ya Ilahi…
Akan ku pelihara air mata Ramadan ini hingga ke akhirnya
Takkan ku biarkan air mata ini menitis untuk perkara yang sia-sia
Titipkanlah walau secangkir cuma belas EhsanMu kepadaku
Agar ku bisa mewarnai kehidupanku dengan keimanan padaMu
Agar ku bisa pulang dengan penuh rasa kehambaan padaMU

Friday, July 19, 2013

Rindu Padamu

altDi keheningan malam ini, entah keberapa kali aku terjaga dari lena yang seketika. Entah  mengapa hatiku dipagut kehibaan. Kehibaan yang sangat mencengkam sanubari. Jauh di sudut hatiku, berbaur kesedihan yang teramat. Tidak dapat diungkap perasaan ini dengan kata-kata. Walau seindah mana kata-kata masih tetap tak dapat digambarkan apa yang aku rasakan. Diriku sebenarnya merinduimu ya Rasulullah. Ya, teramat merinduimu.
Setiap detik ku teringatkan dirimu. Mendengar alunan selawat oleh kumpulan Hijjaz yang menjadi santapan halwa olehku di Laptop, membuatkan hati bertambah di pagut rindu padamu. Setiap kali mata singgah pada Surah Muhammad, mengalir air mataku.
Lagi bertambah hiba apabila terkenangkan saat dirimu berhadapan dengan sakaratulmaut, terngiang-ngiang katamu, “Ummati… ummati… ummati…” Ya Rasulullah, andai dirimu masih hidup, pasti dirimu kecewa, bersedih dengan keadaan umatmu zaman ini. Setiap kali teringatkan dirimu pasti deraian air mata yang menemani malamku kerana mengenangkan perjuanganmu Ya Rasulullah.
Ya Rasulullah, aku tidak tahu di mana harus ku salurkan rindu ini selain mengadu pada Sang Pencipta Cinta. Lantas, ku titipkan kalam bisu ini khas buatmu, supaya aku bisa berkongsi dengan mereka di luar sana, menyatakan betapa diriku ini ingin berjumpa denganmu. Tidak melampau untuk ku katakan bahawa aku punya mimpi.
Ya, aku menyimpan sebuah harapan besar ya Rasulullah.
Kelak, ketika di Yaumul akhir.
Engkau ibaratnya adalah seorang idola, superstar yang berdiri di atas kemegahan sebuah panggung. Sedangkan aku, dengan segala kekerdilanku berada di antara deretan para penonton dan aku akan memanggil engkau jauh di sudut sana, di antara jutaan lautan manusia.
Aku akan berteriak: Ya Rasulullah, Ya Rasulullah!!!
Aku berharap. Aku sungguh berharap.
Engkau akan menoleh ke arahku, dan berkata “Itu umatku!” “Itu umatku!”
Mungkin tidak tergambar betapa gembiranya perasaan ku pada waktu itu, tatkala melihat wajahmu. Sungguh aku ingin ya Rasulullah.
Aku ingin menjadi sebahagian dari barisan panjang umat yang mendapatkan syafaatmu.
Aku ingin menjadi sebahagian dari umat yang tersenyum berdiri di belakangmu,
Namun, adakah aku layak ya Rasulullah?
Layakkah aku melihat wajahmu?
Atau pantaskah aku melihat senyumanmu?
Sedangkan aku ini bukan siapa,
Yang hanya insan lemah, penuh dengan keluh kesah.
Ya Rasulullah,
Walau aku tahu aku tidak layak, namun dengan bertatih aku tetap ingin menitipkan rindu ini untukmu.
Ya Rasulullah,
Walau aku tahu ini tidak mudah, namun dengan segala kelemahanku aku akan mengikuti jalan juangmu. Yang aku tahu memang penuh liku likunya.
Ya Rasulullah,
Walau aku tahu ini akan sulit, namun aku ingin turut menjadi pembela-pembela Allah dan Rasulku. Aku ingin menjadi seorang mujahidah di jalan ini, tidak gentar dan tidak lemah
Ya Rasulullah,
Saksikanlah aku yang akan tertatih untuk mempertahankan istiqamahku,
Demi cintaku pada Allah, demi cintaku padamu Ya Rasul.
Ya Rasulullah,
Aku teringin sekali berbicara denganmu tentang kisah-kisah perjuanganmu dalam menegakkan kalimah Allah.
Aku ingin berkongsi suka, duka, airmata dan luka yang dirimu alami sepanjang 23 tahun taklifatmu sebagai Rasul.
Tidak tegar aku melihat betapa susahnya kamu berjuang di medan dakwah ini. Tidak sanggup aku mendengar celaan kaum musyrikin menghina perjuanganmu Ya Rasulullah.
Pedih perasaanku mendengar dirimu luka dilempar batu semasa berdakwah di Taif. Aku ingin berbicara kisah yang aku tahu ini kepadamu.
Aku ingin melafaz rindu ini kepadamu. Bahawa aku sangat mencintaimu.
Ya Rasulullah,
Bumi Madinah ingin sekaliku jejak. Ingin sekali ku rasai deruan angin di bumi bertuah itu. Tatkala dirimu dan para sahabat berjuang berhabis habisan, mempertahankan Islam tercinta. Ku ingin melewati medan syuhada dan perjuanganmu di sana.
Moga Allah memberi rezeki untuk itu dan perkenankan permintaanku.
Rindu kami padamu Ya Rasul,
Rindu tiada terperi,
Berabad jarak darimu ya Rasul, serasa dikau di sini.
Salam Bahagia Bagimu, Ya Rasullullah.

Thursday, July 18, 2013

Mata Lalat Dan Mata Lebah

“Janganlah jadi seperti lalat yang hanya nampak benda-benda busuk dan kotor sahaja, tapi jadilah seperti lebah yang selalu nampak benda-benda cantik dan wangi.” – Ustaz Kazim Elias
Lalat merayau-rayau mencari sesuatu untuk disantap, tidak kira apa yang terdedah di situlah lalat datang bertandang. Najis, makanan basi, mahupun ikan busuk semuanya lalat hinggap. Apa yang penting dapat makanan.
Lebah merayau-rayau di sebalik pepohonan mencari bunga-bunga segar yang kembang segar di waktu pagi.
“Cantik sungguh bunga matahari, bunga ros dan macam-macam bunga lagi yang dihinggapnya. Ah, mencari madu rupanya.”
Sudahlah hinggap di tempat yang cantik, dapat manisan pula. Indahnya kehidupan si lebah.
bees1
Pernahkah kita fikir kenapa Allah ciptakan kedua-dua makhluk ini?
Keduanya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang boleh dianggap unik. Jika mata kita diumpamakan seperti mata lalat dan mata lebah, maka yang mana satu jadi pilihan sahabat sekalian?
Pastinya lebah, bukan?
Orang yang tidak baik dan berhati busuk, matanya samalah seperti mata lalat. Sentiasa mencari benda-benda yang buruk, negatif dan tidak sedap dipandang mata. Ada saja yang tak kena pada pandangannya.
Manakala orang yang baik dan optimis, pastinya umpama lebah. Sentiasa mencari kebaikan dalam hidupnya. Walaupun sesuatu perkara tidak baik yang jelas pada pandangan matanya namun pastinya ia akan tetap jadi baik dengan sifat khusnuzon yang ada padanya. Pendek kata semua perkara nampak baik dan indah.
optimis
Mari jadikan mata zahir dan mata hati kita seperti lebah yang melihat semua benda yang baik-baik sahaja. Semua akan nampak baik jika kita khusnuzon (bersangka baik). Setiap kejadian yang baik mahu pun buruk ada sebabnya yang tersendiri.
Salam Ramadhan mubarak. Semoga apa yang kita lalui pada Ramadhan kali ini adalah suatu yang lebih baik dan menjadi yang terbaik yang pernah kita lalui.
Yang baik datang dari Allah s.w.t dan yang buruk semestinya datang dari kekhilafan kita sendiri.

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.