Tuesday, June 25, 2013

1000 Tahun Dalam Kubur

altAwan sedikit mendung ketika kaki kecil Yani berlari-lari gembira di atas jalanan menyeberangi kawasan untuk ke tanah perkuburan. Baju merahnya yang besar melambai-lambai di tiup angin. Tangan kanannya memegang ais krim sambil sesekali mengangkatnya ke mulut untuk dijamahi. Sementara tangan kirinya digenggam erat oleh ayahnya.
Yani dan ayahnya memasuki kawasan tanah perkuburan menuju ke pusara neneknya. Kemudian mereka duduk di atas tembok nisan yang bercatatan;
Hjh Aisyah Binti Marlia 19-10-1915 : 20-01-1965
“Nak, ini pusara nenekmu. Mari sayang… kita berdoa untuk nenek.”
Yani melihat wajah ayahnya, lalu meniru gaya tangan ayahnya yang diangkat ke atas dan dia ikut memejamkan mata seperti ayahnya. Dia khusyuk mendengar ayahnya berdoa walaupun dia masih belum mampu memahami sepenuhnya setiap baris doa yang dititipkan.

“Ayah, nenek meninggal semasa umur 50 tahun ya?”
Ayahnya mengangguk dan tersenyum sambil memandang pusara ibunya.
“Hmm, bererti nenek sudah meninggal 48 tahun ya, Yah?” Kata Yani sambil lagak matanya mengira dan jarinya menghitung.
“Ya, nenekmu sudah di dalam kubur selama 48 tahun sayang… “
Yani menoleh kepalanya dan memandang sekelilingnya. Banyak pusara di sana . Di samping pusara neneknya terdapat pusara tua yang sudah berlumut.
Muhammad Zaini 19-02-1882 : 31-01-1910
“Hmm.. Kalau yang itu sudah meninggal 103 tahun yang lalu ya Yah?” jarinya menunjuk nisan bersebelahan pusara neneknya itu.
Sekali lagi ayahnya mengangguk dan tangannya mengusap kepala anak tunggalnya itu.
“Ya nak. Benar katamu sayang. Mengapa?” tanya si ayah sambil menatap mata anaknya yang redup.
“Hmmm, semalam ayah beritahu jika kita meninggal dan banyak dosa. Kita akan diseksa di kubur. Iya kan yah?” kata Yani sambil meminta persetujuan ayahnya.
Ayahnya tersenyum dan menggangguk.
“Benar, lalu?” tanya si ayah meminta penerangan si anak.
“Iya… kalau nenek banyak dosanya, bererti nenek sudah diseksa 48 tahun di kubur ya ayah? Kalau nenek banyak pahalanya, bererti sudah 48 tahun nenek bahagia dikubur. Betul tak ayah?” Mata Yani bersinar ingin tahu.
Ayahnya tersenyum, namun sekilas menampakkan keningnya yang berkerut dan perasaannya yang cemas.
“Iya nak, kamu pintar sayang,” kata ayahnya pendek.
Pulang dari tanah perkuburan, ayah Yani kelihatan gelisah di atas sejadahnya. Dia memikirkan perkara yang telah diperkatakan oleh anak kesayangannya tadi.
“… 48 tahun hingga sekarang… kalau kiamat datang 100 tahun lagi…148 tahun diseksa .. atau bahagia dikubur?” Dia bermonolog sendirian.
Lalu dia tertunduk dan menitiskan air mata.
“Kalau dia meninggal dan banyak dosanya – kiamat masih 1000 tahun lagi, bererti dia akan diseksa 1048 tahun?..’Innalillaahi wa inna ilaihi rooji’un’… “
Air matanya semakin banyak menitis, sanggupkah dia diseksa selama itu.
“Itu kalau benar kiamat lagi 1000 tahun tetapi kalau 2000 tahun lagi? Kalau 3000 tahun lagi? Selama itukah  dia akan diseksa di kubur? Mampukah dia bertahan dengan tiap seksaan? Padahal melihat adegan pukul di salah satu rancangan televisyen pun dia sudah tidak tahan untuk melihatnya?” Jiwanya penuh dengan monolog.
“Ya Allah…”
Dia semakin menunduk. Tangannya diangkat dan air matanya semakin membanjiri pipinya.
“Allahumma as aluka khusnul khootimah.”
“Ya Allah, kurniakanlah aku pengakhiran kehidupan yang baik.”
Berulang kali dibacanya doa itu sehingga suaranya serak dan terhenti sejenak apabila terdengar batuk Yani. Dihampirinya anak kesayangannya yang sudah terlena dan membetulkan selimutnya.
Yani terus tertidur tanpa mengetahui betapa ayahnya amat berterima kasih kepadanya kerana telah menyedarkannya erti sebuah kehidupan dan kehidupan hakiki yang akan datang di hadapannya.
“Ya Allah, letakkanlah dunia ditanganku, jangan Kau letakkan dihatiku…”

Monday, June 24, 2013

Bila Hati Diguris

altKadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya.
Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.
Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.
Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.
Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.
Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai’e.
Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai’e.
Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.
Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.
Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya.”

Wednesday, June 19, 2013

KURSUS PRA PERKAHWINAN SEMPENA PROMOSI KERJA KAHWIN 2013



Kursus Pra Perkahwinan 2013 -

Demonstrasi Sajian Masakan Pengantin bersama pakar/chef dari usahawan perkhidmatan tempahan makanan (katering)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Bersempena dengan Promosi Kerja Kahwin 2013, akan diadakan aktiviti Demonstrasi Sajian Masakan Pengantin bersama pakar/chef dari usahawan perkhidmatan tempahan makanan (katering).
Menerusi aktiviti ini, tuan/puan dapat menonton kaedah masakan pelbagai menu yang menarik dan mendapatkan tips masakan dari para katerer yang mempromosikan perkhidmatan sajian makanan masing-masing. Tuan/puan juga boleh mencuba rasa masakan tersebut.
Sehubungan itu, tuan / puan dijemput menyaksikan demonstrasi tersebut pada:-
Tarikh : 19 Jun 2013 sehingga 1 Julai 2013 (sila rujuk lampiran Jadual Demonstrasi)
Masa : 11.45 pagi - 3.00 petang
Lokasi : Lobi / Ruang Legar Craft Delight
Justeru kakitangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Institut Kraf Negara, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd dijemput memeriahkan acara demonstrasi tersebut.


Semua dijemput hadir.


Jadual Demonstrasi -

PROMOSI KERJA KAHWIN 2013

PROMOSI KERJA KAHWIN 2013


PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA AKAN MENGADAKAN PROMOSI KERJA KAHWIN 2013 PADA 19 JUN HINGGA 1 JULAI 2013 DARI JAM 10 PAGI HINGGA 10.00 MALAM DI KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR, JALAN CONLAY. PELBAGAI AKTIVITI MENARIK DISEDIAKAN SEMPENA PROMOSI INI SEPERTI JUALAN KRAF DAN PERKHIDMATAN PERKAHWINAN, MAJLIS PERSANDINGAN PENGANTIN RAMAI-RAMAI, MANIFESTASI PERKAHWINAN, PAMERAN PRODUK KRAF, DEMONSTRASI DAN INTERAKTIF DAN PELBAGAI AKTIVITI MENARIK LAIN. SEMUA DIJEMPUT HADIR UNTUK MEMERIAHKAN LAGI PROMOSI INI. MASUK ADALAH PERCUMA.

Tuesday, June 04, 2013

Solatku Tidak Mencegah Mungkar

alt
" Sejahat-jahat aku pun aku semayang jugak"
" Sekurang-kurangnya aku solat biar pun tak pakai tudung. Tudung je tak pakai.. bukan ada apa"
" ala... dating pun tak boleh ke? Bukannya kami berpegang tangan pun. Time solat, kami pi solat... "
Seringkali juga saya mendengar ungkapan ini dari kawan-kawan. Juga sering terngiang di kepala pesanan seorang ustaz ketika masih menuntut di Kolej dahulu, jangan sesekali meninggalkan solat tidak kiralah apa sekalipun perbuatan kita. Bagaimana malas pun jangan sesekali meninggalkan solat.
Perkara solat sering kali ditekankan kepentingannya dalam ceramah-ceramah , penulisan dan sebagainya kerana masyarakat islam menyedari penekanan yang diberikan oleh agama terhadap solat. Sesungguhnya solat itu adalah amalan pertama yang akan dipersoalkan kelak. 
Beberapa bulan yang lepas, jatung saya tersentap mendengar cerita seorang sahabat yang menceritakan kepada saya akan perilakunya dalam keadaan senyum dan gembira. Dia memang dikenali sebagai seorang yang bersosial, suka pergi ke club, melakukan seks bebas dan macam-macam lagi.
Namun, sepermerhatian saya sejak mengenalinya, solat tidak pernah ditinggalkannya. Tiap kali waktu solat dia sering mengingatkan kawan-kawan lain bahawa solat telah masuk waktunya. Saya sendiri sangat kagum kepadanya, di sebalik kemungkaran yang meliputi batang tubuhnya, namun jika bab solat tidak pernah dikomprominya.
Dia memang kerap bertukar-tukar pasangan, bukan pasangan untuk 'bercouple' seperti remaja biasa, tetapi pasangan seks bebas memenuhi tuntutan hawa nafsu rakusnya. Pada hari itu dia bercerita panjang dengan saya,
" Aku pernah jumpa perempuan nih, tapi dia cakap dia nih jenis yang tak beragama sangat walaupun islam. Aku tak suka laa perempuan macam tuh. So aku tinggalkan jer laa perempuan tuh." Katanya kepada saya menceritakan tentang seorang gadis yang tidak mempedulikan soal-soal tuntutan agama.
Saat seronok berborak dengannya, dia menceritakan pula tentang keseronokkannya berkenalan dengan seorang gadis secara rambang dan akhirnya mereka terpikat dan terjatuh ke lembah hina yang gelap. Mereka hanya berkenalan di kelab malam dan sudah dibawa pulang tidur di atas katil.
"Aku suka perempuan nih sebab lepas kitaorang buat 'kerja', pagi tuh dia siap kejut aku bangun subuh. Sweet tak dia. Dia jenis yang faham la aku nih jenis jaga solat.. " Katanya kepadaku sambil senyum meleret dibibir tanpa ada sebarang rasa penyesalan yang terdetik dihatinya.
Hatiku terasa panas dan tersentap sungguh mendengar ucapan itu. Entah dimana silapnya. Dia kemudian menyambung lagi.
"Aku cakap kat dia, bulan puasa nanti kita tak leh buat 'projek' sebab aku kena puasa time bulan Ramadhan ". Ucapnya selamba.
Berpinar mata dan kepalaku saat mendengar ungkapannya. Sungguh aku hanya mampu berdoa agar Allah mengampuni dosa ku dan dia, dan memberikan hidayah kepadanya serta orang di sekelilingnya untuk berubah.

Jika anda amati bait-bait kisah di atas, pasti anda sedar, bahawa sahabat saya adalah seorang yang menjaga solat dan puasanya, namun kehidupannya tidak mencerminkan nilaian solat dan puasanya. Entah dimana silapnya. Aku sendiri tidak pasti. Puas aku memikirkannya.
Sungguh syaitan telah memperdayakannya. Mengaburkan matanya dengan perkataan 'solat'. Sehingga wanita penzina mengejutkannya untuk solat subuh, dirasakan sebagai sebuah cinta tiada taranya. Sedangkan itulah perangkap cinta syaitan yang menjerat kelemahannya dengan perkataan 'solat'. Mencari wanita penzina yang menghormati 'solat'nya. Sungguh aku bingung memikirkannya.
Ku selak kembali ayat Al-Quran
Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut ayat 45)
Aku pasti sudah seringkali kita mendengar ayat ini dibacakan. Namun persoalannya mengapakah solat kita tidak mencegah mungkar? Mengapa orang yang bersolat 5 kali sehari dan berpuasa di bulan Ramadhan terjatuh ke lembah zina.
Berkali-kali kita mendengar tentang bentuk solat yang mencegah mungkar itu adalah solat yang khusyu'. Namun persoalannya, untuk kita yang masih belum mencapai tahap kekhusyukan para nabi, sahabat, tabi'in dan para solihin, apakah solat itu langsung tiada nilainya kepada diri kita walaupun 5 kali sehari ruku' sujud kita menunaikan kewajipan solat?
Maka, adakah dengan alasan solat kita masih belum khusyu' dan sempurna kita bebas melakukan maksiat kepada Allah walaupun kita bersolat?
Ku cuba ingat kembali huraian dan ulasan seorang ustaz di Radio IKIM.fm berkenaan solat yang mencegah mungkar. Aku sungguh sukakan ulasan ustaz kerana ianya lebih berbentuk praktikal. Huraiannya berbeza dengan apa yang sering ku dengar. Ustaz membincangkan tetang bagaimana solat itu mencegah dari kita melalukan kemungkaran adalah, dengan kita sentiasa mengingati bahawa kita adalah golongan yang solat.
Saya ulang dirangkap baru, dengan mengingati bahawa kita adalah golongan yang solat.
Dengan sentiasa ingat bahawa kita ini golongan yang solat, maka tiap kali kita hendak melakukan maksiat maka berpesanlah kepada diri kita, bahawa aku ini tergolong dalam orang-orang yang bersolat, Maka apakah selayaknya aku melakukan maksiat kepada Allah? Apakah solatku tiada nilaian langsung sehingga aku terheret untuk melakukan maksiat?
Konsep mengingati bahawa kita golongan yang bersolat ini sama sepertimana kita berpuasa. Apabila kita berpuasa, kita sedaya upaya mencegah diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sehingga terbenam matahari. Kelaparan mengingatkan kita bahawa kita adalah golongan yang berpuasa.
Seperti kisah sahabat saya tadi, sedari awal memberi pesanan kepada teman wanitanya bahawa mereka tidak boleh melakukan hubungan seks pada bulan Ramadhan kerana dia berpuasa. Itulah bentuk peringatan yang diberikan kepada diri sendiri, 'bahawa aku sedang berpuasa, tidak boleh melakukan seks di siang hari'
Begitu jugalah solat. Solat itu 5 waktu sehari. Kita hanya melihat solat itu hanya pada waktunya. Selepas kita solat, maka kita sudah tidak berada dalam 'waktu' solat itu. Sedangkan waktu-waktu solat berturutan antara satu sama lain, makanya, solat tiada 'waktu berbuka' sepertimana puasa mempunyai waktu untuk berbuka.
Sebenarnya kita sentiasa berada dalam waktu dan keadaan solat. Maka, lebih mudah untuk kita mengingatkan diri bahawa aku ini dari golongan yang bersolat yang mana sentiasa mengingatkan kita untuk mencegah diri kita dari kemungkaran.
Ingatlah di antara dua waktu solat itu, bahawa kita adalah golongan bersolat, apakah layak untuk kita yang baru sahaja bersolat sebentar tadi untuk melakukan maksiat, yang mana kemudiannya di waktu solat seterusnya kita akan kembali menemui Allah, adakah juga dalam keadaan penuh dengan maksiat?

Maka tiap kali kita terasa ingin melakukan maksiat kepada Allah, pesankan pada diri bahwa kita dari golongan yang bersolat, dan jadikanlah solat itu ada nilaian yang tinggi untuk mencegah kemungkaran. Ia akan menjadi motivasi untuk kita berusaha sedaya upaya meninggalkan maksiat.  Dan akan menjadi khabar gembira kepada diri kita dengan sentiasa mengingatkan bahawa diri ini adalah tergolong dalam golongan yang bersolat.
Namun, tidak pernah dinafikan, bahawa kesempurnaan solat itulah yang sebenarnya mencegah kita dari kemungkaran. Kekhusyukan solat kita kan menghindarkan diri dari kemaksiatan. Justeru itu juga, seharusnya kita mestilah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti solat dan berusaha dari masa ke semasa untuk menyempurnakan solat dan kekhusukan kita.
Semoga dengan mendidik hati dan mengingatkan diri bahawa kita adalah golongan yang bersolat membawa kita kepada langkah pertama di dalam membina rasa khusyu' di dalam solat. 
Sesungguhnya "Pencegahan itu datangnya dari Allah", yang mana hati kita diibaratkan berada di dua jari Allah yang mampu dibolak balik kan dengan mudah mengikut kehendak-Nya. Maka sentiasalah berdoa moga diberi ketetapan hati dan iman.
Wallahu Anta A'lam

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.