Thursday, May 30, 2013

Lelaki Boleh, Perempuan Tak Boleh?

alt
"Tak aci! Lelaki boleh. Perempuan tak boleh," keluh seorang remaja puteri apabila dinasihati ibunya agar tidak memakai baju berlengan pendek ketika keluar rumah.
"Mana adil! Orang perempuan boleh enjoy duduk rumah," rungut hati seorang remaja lelaki apabila ayahnya mengajak ke masjid.
Adakah lelaki dan perempuan sama?
APA YANG SAMA? 
Ada yang sama. Ada yang berbeza. Bukan sama secara mutlak. Bukan juga berbeza secara mutlak.
Antara aspek yang sama ialah dari segi nilai kemanusian. Kedua-dua lelaki dan perempuan adalah manusia. Perlu dilayan sebagai seorang manusia.  Bukan dipandang seperti syaitan yang hanya ada keburukan. Atau dipandang seperti malaikat yang perlu sempurna dan tiada dosa.
Seterusnya aspek bertanggung jawab terhadap dosa dan pahala sendiri, sama sahaja antara lelaki dan perempuan. Lelaki yang mencuri perlu dihukum. Begitu juga perempuan yang mencuri. Perempuan yang berzina perlu dihukum. Begitu juga lelaki yang berzina. Kedua-dua lelaki dan perempuan akan balik berjumpa Allah dan disoal amalan masing-masing. Bukan lelaki sahaja yang akan disoal. Bukan juga perempuan sahaja yang akan disumbat ke neraka.
MANA YANG BERBEZA?
Antara aspek yang berbeza pula ialah dari segi beberapa tuntutan peranan. Ada pengkhususan masing-masing. Ada pembahagian tugas oleh Allah SWT. Contohnya, tuntutan berpenampilan. Wanita mesti menampakkan kewanitaannya. Lelaki mesti menampakkan kelelakiannya. Oleh sebab itu, hal berpakaian, berdandan atau menggunakan perhiasan, tidak sama antara lelaki dan perempuan.
Wanita dan lelaki saling memerlukan. Masing-masing ibarat baju dan seluar. Isu-isu wanita perlu diambil berat oleh lelaki seakan-akan mengambil berat terhadap seluarnya sendiri. Isu-isu lelaki perlu diambil berat oleh wanita seakan-akan mengambil berat terhadap bajunya sendiri. Jika konsep dan kedudukan wanita misalnya, tidak dimengerti oleh golongan lelaki, ia akan menatijahkan ketempangan pemahaman dan persepsi. Sukar untuk saling kuat-menguatkan apabila diterjah banyak prasangka tanpa ilmu yang benar.
"Apalah perempuan ini pakai tudung berwarna-warni. Ini tabarruj," sangka lelaki tanpa asas ilmu yang jelas tentang maksud tabarruj. Banyak khilaf mengenainya. Ulama bermanhaj pertengahan mentakrifkan 'tabarruj' ialah sengaja mendedahkan apa yang sepatutnya ditutup.
"Lelaki ini tidak pakai jubah, tidak mengikut sunnah," bisik hati seorang perempuan tanpa asas ilmu yang jelas tentang konsep berpakaian mengikut sunnah. Pakaian yang ditunjukkan oleh sunnah ialah pakaian yang prinsipnya menutup aurat, perlaksanaannya fleksibel mengikut uruf atau adat yang pelbagai.
APABILA SALAH PERSEPSI
Tuduh-menuduh, label-melabel, hukum-menghukum seumpama ini senang disaksikan terutamanya di alam maya. Tidak kira oleh golongan remaja atau dewasa. Semuanya berpunca daripada salah persepsi. Atau menganggap orang lain faham seperti yang kita faham. Apa yang kita faham itu pula boleh jadi banyak tafsiran dan penjelasannya, bukan hanya ada satu maksud sahaja.
Tatkala lelaki dan perempuan saling memiliki persepsi yang berbeza tentang kedudukan, peranan, dan tanggung jawab, mereka jadi sukar serasi dalam pelbagai urusan termasuklah urusan berumah tangga, kegiatan kemasyarakatan, kenegaraan dan pelbagai bentuk dakwah secara umum.
"Anak perempuan perlu duduk rumah saja," tegas seorang ayah.
"Tapi Islam benarkan wanita menuntut ilmu. Saya ingin belajar hingga Ph. D," rayu anak gadis remajanya.
"Anak wajib taatkan ayah!"  Si ayah menzip mulut anak gadis dengan kuasa vetonya.
Persepsi yang benar dan komunikasi berkesan dapat menyelesaiaan masalah seumpama ini. Wacana yang pertengahan sering kali mampu mendamaikan banyak sengketa dalam isu-isu wanita tatkala berhadapan dengan perbezaan pendapat.
Orientasi kemudahan menjadi watak syariat Islam secara keseluruhan. Berbahagialah ayah yang memudahkan anaknya. Berbahagialah anak yang memudahkan ayahnya.
ISU PURDAH
"Sekarang ramai lelaki fasik. Wanita yang tidak pakai purdah sengaja nak pamer-pamerkan kecantikan," lontar satu pendapat.
Pendapat lain pula mengatakan, "Wanita dibolehkan membuka muka dan tapak tangan. Jika ada lelaki tergoda, lelaki itu yang perlu menundukkan pandangannya. Bukan wanita itu yang diwajibkan mengenakan purdah. Kecantikan wanita subjektif. Setiap pandangan mempunyai tafsiran berbeza. Islam menyuruh wanita menutup aurat tapi bukan dengan cara yang boleh menyusahkannya."

Berpurdah itu suatu pakaian yang baik dan menutup aurat. Oleh sebab kita perlu memilih antara yang baik dengan yang terbaik, penulis lebih selesa mengambil pandangan golongan yang mempertimbangkan pelbagai perkembangan realiti zaman ini. Ia sangat berbeza dengan realiti pada zaman kenabian. Contohnya, dulu wanita bermusafir dengan unta tapi hari wanita bermusafir dengan kapal terbang.
Penulis raikan pendapat yang berbeza ini. Mana yang perlu dipilih? Pendapat kedua bagi penulis lebih jelas hujah syar'iyahnya dan lebih realistik. Syariat Islam tidak berorientasikan kesulitan pada konsep dan aplikasinya kerana ia tidak cucuk dengan misi besar kehadiran Islam sebagai rahmat bagi semester alam. Penulis tetap akui, setiap pilihan ini insya-Allah masih tetap dalam daerah pahala.
PILIHLAH PANDANGAN YANG MUDAH
Para ulama Islam sejak dahulu sehingga sekarang mempunyai banyak pandangan terhadap isu-isu lelaki dan perempuan. Kita pula harus memilih. Penulis lebih tenang memilih pendapat yang moderat, sebagaimana orientasi syariat Islam yang menganjurkan umatnya mengambil yang mudah, bukan yang susah.
Firman Allah SWT, "Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan Dia tidak mengkehendaki kesulitan bagimu." (Al-Baqarah: 185).
Allah juga memujuk rasa-rasa hati kita dengan kata-Nya,
"Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan." (Al-Haj: 78).
Ada pendapat yang membincangkan tentang keterlibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan.
"Tempat wanita di rumah. Kami ada dalil al-Quran. Wilayah wanita hanyalah untuk domestik kekeluargaan sahaja. Wanita jangan muncul di media, TV dan radio kerana ia samalah dengan wanita berpeleseran di mana-mana," lontar satu pendapat.
Pendapat ini membuatkan remaja-remaja wanita dan anak-anak gadis di IPT keliru tentang masa depannya. Perlukah kami belajar sehabis baik sedangkan kami hanya perlu menggunakan ilmu rumah tangga sahaja untuk masa depan kami? Perlukah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi?
Mungkin pendapat kedua ini ada jawapannya.
"Wanita sejak zaman Rasul dibolehkan keluar dari rumahnya selama ada keperluan yang makruf dan aman dari fitnah. Kenapa kita bersangka buruk wanita yang muncul dalam media itu sebagai sedang berpeleseran? Padahal kita boleh bersangka baik bahawa dia sedang menunaikan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Dakwah itu luas cara dan medannya, dengan perbuatan, kata-kata, lisan atau tulisan, bahkan dengan gambar, video dan media juga," lontar pendapat yang lain.
Saidina Umar berpesan, "Jangan kamu sangka buruk terhadap kalimat orang Muslim, padahal engkau dapat membawanya kepada makna yang lebih baik lagi."
Jaafar bin Muhammad, "Jika sampai kepadamu sesuatu yang engkau ingkari tentang saudaramu, maka carilah satu uzur baginya, sampai tujuh puluh uzur. Jika tidak, katakan "Barangkali dia punya uzur yang tidak aku ketahui."
KERJAYA DAN KEPIMPINAN WANITA
"Wanita jangan berkerjaya. Wanita jangan menjawat jawatan penting dalam kepimpinan sesuatu organisasi. Wanita hanya perlu jaga anak dan suami, cukuplah. Dia sudah ada tiket ke syurga," lontar satu pendapat.
"Islam tidak menyekat secara mutlak kepimpinan wanita. Siapa cerdik, dialah berhak memimpin, tak kira lelaki atau perempuan. Cuma, jawatan tertinggi dalam negara diberi pada lelaki. Begitu juga jawatan tertinggi dalam sesebuah keluarga, dipikul oleh lelaki. Wanita merupakan separuh daripada anggota masyarakat. Sudah tentu masyarakat sangat perlukan tenaga dan sumbangannya dalam sesuatu kerjaya, asalkan wanita itu tahu batas dan adab," lontar pendapat yang lain.
Nabi memberi petunjuk, "Sebaik-baik urusan agamamu ialah yang paling mudah." (HR. Thabrani).
Aisyah r.ha memberitahu kita, "Tidaklah Rasulullah SAW dihadapkan kepada pilihan antara dua hal, kecuali baginda memilih yang lebih mudah, asalkan bukan dosa." (HR Bukhari Muslim).
Pendapat yang kedua ini bagi penulis lebih releven dengan keperluan pergerakan dakwah kontemporari kerana berubahnya zaman dan kondisi. Ia menuntut penyertaan wanita muslimah dalam pelbagai lapangan yang sesuai dengan fitrahnya.  
Peranannya tidak hanya terbatas dalam domestik keluarga bahkan jika dia ada kepakaran dia boleh terjun dalam aktiviti social kemasyarakatan, ekonomi, politik dan pemerintahan, amar makruf dan nahi mungkar. Bukan untuk menyaingi lelaki tetapi memenuhi keperluan masyarakat.
KESIMPULAN
Cantiknya Allah mengadun kehidupan ini dengan ramuan yang pelbagai.  Ada persamaan. Ada perbezaan. Ada yang disepakati. Ada yang dibenarkan berbeza. Siapa yang lebih berbaik sangka kepada Allah dan orang lain, dialah yang akan lebih bahagia. Insya-Allah.


MAJLIS BACAAN SURAH YASIN & TAHLIL SERTA CERAMAH MOTIVASI DAN PENERAPAN NILAI MURNI

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Makluman kepada semua warga Kraftangan Malaysia

MAJLIS BACAAN SURAH YASIN & TAHLIL SERTA CERAMAH MOTIVASI DAN PENERAPAN NILAI MURNI

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kraftangan Malaysia akan mengadakan
Majlis Bacaan Surah Yasin & Tahlil serta Ceramah seperti mana berikut :


i ) Majlis Bacaan Surah Yasin & Tahlil

Tarikh : 31 Mei 2013 (Jumaat)

Masa : 8.00 pagi hingga 9.00 pagi

* sarapan pagi disediakan


ii) Program Ceramah Motivasi Dan Penerapan Nilai Murni

Masa : 9.30 pagi hingga 11.00 pagi

Penceramah
Jemputan : Encik Abdul Hadi bin Abd Malek, Pegawai YAPEIM

"Keseronokan Bekerja"

Tempat : Dewan Seri Utama 2
Bangunan Seri Utama
Kompleks Kraf Kuala Lumpur



3. Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota kerja adalah dijemput hadir dan kehadiran
tuan/puan dalam menjayakan majlis ini sangatlah dialu-alukan dan dihargai.

Sekian, terima kasih

Wednesday, May 29, 2013

'Gedik Yang Solehah'

alt
Pada hari ini, aku melihat kebanyakan muslimah yang ku kenali sangat goyah imannya. Bagaimana aku ingin menghuraikannya? Insya-Allah aku cuba. Tidak perlu melihat pada yang jauh, cukup pada mereka yang berada di sekitarku. 
Fenomena 'berubah menjadi alim' sudah banyak berlaku. Lebih-lebih lagi aku melihat di laman sosial facebook yang beratus-ratus status dan post mengenai Islam di wall mereka. Terlalu banyak sehingga imanku tercabar. Aku hampir mendakwa mereka semua itu berlakon alim.
Maaf,  aku cuba untuk tidak berprasangka yang tidak baik kepada mereka. Selama ini aku sangat berpegang kepada husnudzon (bersangka baik) dan aku tetap dengan prasangka baik kepada mereka. Moga aku yang menulis ini dijauhkan daripada perasaan ria' dan juga berasa sudah cukup alim.
Melihat kepada sahabat terdekat, perubahan yang amat ketara telah ku perhatikan.  Aku sangat mengenalinya. Dahulu bertudung bawal sekarang sudah bertudung labuh. Dahulu FB nya penuh dengan luahan ketidak puas hatian, sekarang dipenuhi dengan kata-kata dan juga mutiara hikmah.
Sekali lagi iman ku tercabar apabila melihat kata-kata dan mutiara hikmah lebih ke arah mencari suami dan menanti suami yang soleh. Siapa solehah dapat suami soleh. Aku tidak pandai untuk mengarang ayat. Apapun, begitulah maksud yang ku simpulkan dari kebanyakan kata-kata yang tertera di laman terkenal itu.
Aku gembira dengan perubahan drastik itu, tetapi caranya mencabar imanku. Aku tidak layak nak tahu hatinya, berubah kerana apa. Husnodzon hati berbicara. Aku berjaya mengatasi prasangka buruk. Aku harap tulisan ini dapat membetulkan niat aku dan mereka yang ingin rapat dengan Allah.
Aku tidak pernah nafikan janji Allah dalam Alquran yang bermaksud;  
"Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik "
(Surah an-Nur ayat 26)
Aku juga mengalami situasi mempunyai adik-beradik yang mempunyai teman wanita. Memang niatnya untuk memperisterikan teman wanitanya, tetapi caranya membimbangkan. Dia ingin mengubah wanita itu menjadi solehah. Lalu dia meminta teman wanitanya itu memakai tudung labuh dan berjubah, dia sentiasa memberi mesej kepada teman wanitanya untuk solat di awal waktu dan juga bangun tahajud.
Apakah semua itu?

Di suatu sudut yang lain pula, satu comment yang terpampang di wall rakan FB ku. Ku baca dengan teliti dan ingin ku kongsikan bersama kalian.
"Sangat geli melihat ustazah-ustazah berpurdah,bertudung labuh , berjubah tapi asyik post status rindukan 'imam', dan yg berkaitan dengannya. Sebaiknya gunakan imej yang terbaik itu untuk sampaikan nasihat dak dakwah buat panduan muslimah seluruhnya, bimbang orang akan gelar ini adalah contoh ' gedik yang solehah'."
Saat membacanya, apa yang kalian fikirkan? 
Aku cuma ingin berpesan, kepada mereka yang sudah berpunya atau sedang menanti, janganlah kalian berubah mengikut nafsu inginkan imam yang soleh. Dan janganlah kamu berubah kerana taat kepada kekasih hati yang ingin melihat kamu berubah.
Kalian pernah terfikir? Apakah kesudahan jika kamu berubah bukan kerana taat kepada Allah? Jika ditinggalkan oleh imam yang selama ini didamba-dambakan, bagaimana?
Beruntunglah bagi mereka yang memperoleh imam yang benar-benar ditakdirkan oleh Allah untuk dijadikannya sebagai isteri. Tetapi bagaimana yang sebaliknya? berakhir di pertengahan jalan. Takdir Allah, memutuskannya dengan dua cara. Semasa hidup atau mati.
Aku bukan ingin mengatakan aku adalah terbaik, aku pun pernah melakukan kesilapan, aku juga bukan ahli agama. Atas asbab itulah, aku cuba sebatikan kata-kata imam Hassan al-basri dalam hidup.
"Sesungguhnya aku menasihati kamu bukanlah bermakna aku adalah yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Aku menulis bukan juga aku mencemburui sahabat-sahabatku yang lain. Aku akui aku tidak pernah mempunyai teman lelaki, bermesej dengan mereka tanpa bertujuan jauh sekali. Aku mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara tersebut kerana aku takut akan berubah hati kepada Allah.
Aku sedar, aku juga tergolong di kalangan mereka yang mudah terpesona dengan lelaki soleh. Justeru, satu cara aku menjauhi mereka dengan tidak berpersatuan dengan mereka yang nampak soleh dan aku sesekali tidak akan mempunyai teman lelaki kecuali dia yang bernama suami. Moga dengan cara ini aku lebih dekat dan teguh iman kepada Allah.
Mungkin juga ada yang berfikir aku tidak cantik, sebab itu tiada siapa yang minat kepadaku. Apapun yang kalian fikirkan, terserah pada kalian. Sesungguhnya kecantikan ini hanya untuk seorang yang halal untukku. Tiadakan ku kongsi pada mereka yang belum tentu menjadi suamiku.  
Pesan khusus untuk diriku dan sahabat-sahabat muslimah,  taatlah kepada Allah. Jangan lah 'taat' kepada mereka yang bukan bernama suami atau bakal suami sekalipun.Apa sahaja yang diminta oleh mereka, dengan relanya kita memberikannya.
Yakinlah, setiap yang tertutup itu lebih terindah, namun akan lebih indah lagi jika setiap yang ada pada diri itu tertutup rapat tanpa seoarang pun dapat melihatnya/membacanya.

Yang pernah melakukan kesilapan, aku berdoa kalian akan benar-benar berubah kerana taat kepada Allah. Aku sangat gembira jika Muslimah itu berubah kerana taat kepada Allah. Itu aku lebih utamakan.
"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat."
(Surah ali Imran ayat 132)
Aku harap tulisan ini dapat menjawab soalan sahabatku yang bertanya tentang keikhlasan mereka yang ingin berubah. Dahulu aku menjawab pertanyaan sahabatku dengan lisan. 
"siapa kita untuk mengukur niat seseorang, insyaAllah jika benar dia tidak ikhlas Allah akan betulkan, jika sebaliknya kita yang berdosa menuduhnya."
Aku terdiam dan menamatkan jawapan setakat itu. Aku harap inisiatif menulis coretan ini dapat menjawab persoalan sahabat-sahabat di luar sana agar Allah mengampuni dosa kita semua jika kita tersalah menduga yang tidak baik lebih-lebih lagi keikhlasan seseorang.

Tuesday, May 28, 2013

Hakikat Sebuah Doa

alt
Setiap manusia dilahirkan mempunyai masalah. Pelbagai persoalan muncul di depan mata, seakan tiada habisnya. Lebih daripada itu, masalah itu semakin menenggelamkan manusia pada penderitaan yang tidak berkesudahan.
Ramai di antara mereka yang berputus asa. Perintah solat mula ditinggalkan, bersedekah apatah lagi. Bahkan ironinya, ada yang pergi ke tok bomoh, mencuri, menjual diri dan pelbagai bentuk kejahatan lain yang dianggap sebagai solusi untuk menyelesaikan krisis yang melanda diri mereka.
Hidup pun tiada terasa indahnya lagi. Lihat ke kanan masalah, ke kiri masalah, atas dan bawah pun masalah yang seakan-akan datang menghimpit seluruh jiwa dan raga.
Lalu apa yang patut kita lakukan ketika ini? Adakah kita hanya bersembunyi di balik masalah ini? Menjerumuskan diri pada bentuk maksiat yang menjanjikan keuntungan besar dalam masa singkat? Minum minuman keras yang dapat melupakan masalah kita dalam masa sementara? Atau bunuh diri agar masalah yang dihadapi selesai setelah kita mati?
Semua perkara di atas amat mudah terlintas dalam fikiran manusia kerana pada prinsipnya manusia sangat mudah berputus asa. Alangkah meruginya kita kalau fikiran-fikiran seumpama ini kita ikuti.
Koreksi Diri Sentiasa
Di saat manusia ditimpa pelbagai musibah dan masalah, tindakan bijak yang perlu kita lakukan adalah memuhasabah hubungan kita dengan Allah swt. Salah satu bentuk komunikasi yang perlu kita lakukan adalah berdoa.
Doa hakikatnya adalah penuntun kita untuk melakukan perubahan diri. Hidup kita bukanlah sestatis laut mati. Ia sentiasa bergerak dan berubah dari masa ke semasa. Banyak cabaran yang perlu kita hadapi setiap hari. Melalui musibah inilah, Allah akan melihat siapa hamba-Nya yang sebenarnya. Siapakah hamba-Nya yang bagus kualiti peribadinya? Siapakah hamba-Nya yang mahu melakukan perubahan? Dan perubahan inilah yang menjadi esensi dari doa yang kita panjatkan.
Ibnu Ata'illah menukilkan sesuatu yang amat berharga dalam kitabnya al-Hikam :
"Bagaimana engkau menginginkan sesuatu yang luar biasa padahal engkau sendiri tidak merubah dirimu dari kebiasaanmu? Kita banyak meminta dan banyak berharap kepada Allah swt, tetapi kerana sibuk meminta terkadang membuat kita tidak sempat menilai diri sendiri. Padahal kalau kita meminta dan akibatnya kita merubah diri sendiri, Allah akan memberikan apa yang kita minta kerana sebenarnya doa itu adalah pengiring agar kita dapat merubah diri kita. Jika kita tidak pernah mahu merubah diri kita menjadi lebih baik, tentu ada yang salah dengan permintaan kita."

Berdoa berjuta sekalipun, kalau kita tidak melakukan perubahan diri, ianya tidak akan berubah kerana sememangnya itulah ketetapan-Nya. Kekuatan seseorang untuk merubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang. Jika hidup selalu ditimpa musibah, hutang tidak pernah terlansaikan, pelajaran pun tidak dapat diikuti dengan baik, jelas itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan diri kita.
Adakah semua ini kerana Allah tidak memakbulkan doa kita? Cubalah kita muhasabah diri. Tinggalkan kebiasaan-kebiasaan buruk yang selama ini sebati dengan diri kita. Tingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita. Jika dulu kita orang yang panas baran, cubalah perbaiki sifat ini dengan mengingat-ingat akibat yang akan berlaku jika kita selalu marah kepada orang lain hatta masalah sekecil manapun.
Firman Allah dalam surah al-Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga dia sendiri yang merubahnya"
Allah sendiri telah menjamin akan mengabulkan doa setiap hamba-Nya sebagaimana termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
Oleh itu kita kena muhasabah diri. Lihatlah kekurangan yang ada pada diri kita. Jika kita inginkan kejayaan dalam peperiksaan, tapi tidak meningkatkan usaha dalam mengulang kaji pelajaran, jangan salahkan sesiapapun jika kita gagal kelak.
Doa yang kita panjatkan kepada Allah swt ibarat tanaman. Kekuatan kita untuk mahu berubah adalah benihnya. Manakala doa itu sendiri adalah bajanya. Baja akan membuat benih tumbuh, berbuah banyak dan berdaun lebat. Akan tetapi, jika kita hanya menebar baja tanpa sedikitpun benih yang kita tanam, apa yang akan tumbuh?
Jika doa semakin bagus, ini menunjukkan bahawa perubahan telah terjadi dalam diri kita secara perlahan-lahan. Jika kita meminta tiada henti, dalam masa yang sama kita pun bermaksiat, jangan salahkan siapapun kerana doa seperti ini ibarat gema kosong yang hanya memantulkan suara sahaja.
Demikianlah formulanya yang sangat sederhana. Siapapun yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah, jangan perhatikan apa yang kita minta, tetapi perhatikanlah apa yang dapat kita rubah dari diri kita sendiri. Misalnya, hidup kita sentiasa ditimpa masalah, hutang keliling pinggang dan sebelumnya jarang ke masjid dan mengikuti tazkirah agama. Mulailah dari sekarang, jika terlintas dalam fikiran kita
"Takkan lah saya ke masjid supaya Allah langsaikan hutang saya?". Cuba alihkan fikiran seumpama ini

"Mengapa saya harus malu diundang oleh Allah ke rumah-Nya? Mudah-mudahan setelah hutang saya langsai, saya akan lebih rajin lagi ke masjid."
Doa Tidak Dimakbulkan
Kadang kita berburuk sangka dengan Allah tanpa kita menyedarinya. Sudah banyak kali kita berdoa. Tapi mengapa doa kita tidak kunjung dimakbulkan. Tak kan Allah tidak dengar doa kita sedangkan Allah Maha Mendengar. Mungkin ada yang salah dengan doa kita.
Doa kita tidak akan dimakbulkan jika minda kita tidak percaya apa yang kita minta. Doa kita tidak akan dimakbulkan jika hati kita tidak rasa apa yang kita minta. Doa kita tidak akan dimakbulkan jika komitmen kita tidak dijalankan dengan sepenuhnya.
Apa yang kita minta, apa yang kita fikir, apa yang kita rasa, dan apa tindakan yang kita lakukan, disitulah kunci makbul. Itulah sunnatullah. Ada sebab, ada akibatnya.
Jika kita minta dengan jelas, seiring dengan apa yang kita rasa, apa yang kita fikirkan, dan komitmen dengan tindakan yang kita lakukan, ianya akan membuka pintu rezeki atau peluang seperti yang kita kehendaki. Kadang-kadang peluang itu datang daripada sumber yang tidak disangka-sangka.
"Dan dia memberi rezeki kepadanya dari arah yang dia tidak menjangkakan. Dan sesiapa mempercayakan (tawakkal) kepada Allah, Dia akan mencukupnya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan ukuran bagi segala sesuatu."
(Surah at-Talaq ayat  2-3)
Teringat pada satu kisah penduduk Basra yang pada masa itu sedang dilanda masalah sosial. Kebetulan mereka didatangi oleh ulama besar yang bernama Ibrahim bin Adham. Penduduk Basra pun mengadukan nasibnya kepada Ibrahim bin Adham.
"Wahai Abu Ishak (gelaran Ibrahim bin Adham), Allah berfirman dalam al-Qur'an agar kami berdoa. Kami penduduk Basra sudah bertahun-tahun berdoa, tetapi mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah?".
Ibrahim bin Adham menjawab, "Wahai penduduk Basra, kerana hati kalian telah mati dalam sepuluh perkara. Bagaimana mungkin doa kalian akan dimakbulkan oleh Allah?".
1. Kalian mengakui kekuasaan Allah, tetapi kalian tidak memenuhi hak-hak-Nya.
2. Setiap hari kalian membaca al-Qur'an, tetapi kalian tidak mengamalkan isinya.
3. Kalian selalu mengaku cinta kepada Rasul, tetapi kalian meninggalkan sunnahnya.
4. Setiap hari kalian membaca ta'awuz, berlindung kepada Allah dari syaitan yang kalian sebut sebagai musuh, tetapi setiap hari pula kalian memberi makan syaitan dan mengikut langkahnya.
5. Kalian selalu mengatakan ingin masuk syurga, tetapi perbuatan kalian justeru bertentangan dengan keinginan itu.
6. Kalian takut masuk neraka, tetapi kalian justeru mencampakkan diri kalian sendiri ke dalamnya.
7. Kalian mengakui bahawa maut adalah satu kepastian, tetapi pada kenyataannya kalian tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
8. Kalian sibuk mencari-cari kesalahan orang lain, tetapi terhadap kesalahan sendiri kalian tidak mampu melihatnya.
9. Setiap saat kalian menikmati kurniaan Allah, tetapi kalian lupa mensyukurinya.
10. Kalian sering menguburkan jenazah saudara kalian, tetapi kalian tidak mengambil pelajaran daripadanya.
"Wahai penduduk Basra, ingatlah sabda Rasulullah saw, "Berdoalah kepada Allah, tetapi kalian harus yakin akan dimakbulkan. Kalian harus tahu bahawa Allah tidak berkenan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan main-main".
Usaha Dan Doa
Usaha tanpa doa adalah kesombongan dan doa tanpa usaha adalah kebohongan. Doa dan usaha adalah dua hal yang tidak mungkin dipisahkan. Kita tidak boleh hanya berdoa sahaja tanpa melakukan usaha semaksimal mungkin untuk mencapai tujuan kita. Kita juga tidak boleh hanya berusaha sahaja tanpa berdoa dan mengabaikan Allah sebagai penentu sama ada usaha kita berjaya atau tidak.
Sesetengah manusia terlalu sombong, tidak mahu berdoa. Seolah-olah ia dapat menghasilkan sesuatu tanpa pertolongan daripada Allah swt.

Sesetengah manusia terlalu sombong, tidak mahu berdoa. Seolah-olah ia dapat beribadah tanpa pertolongan daripada Allah swt.
Sesetengah manusia terlalu sombong, jarang berdoa. Seolah-olah kekuatan manusiawinyalah yang dapat mewujudkan seluruh asanya tanpa pertolongan daripada Allah swt.
Dan rabbmu berfirman yang bermaksud:
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."
(Surah al-Mukmin ayat 60)
Al-Syaukani rahimahullah berkata, "Ayat ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa doa adalah ibadah dan bahawa meninggalkan doa kepada Rabb Yang Maha Suci adalah sebuah kesombongan. Tidak ada kesombongan yang lebih buruk daripada kesombongan seperti ini. Bagaimana mungkin seorang hamba dapat berlaku sombong, tidak berdoa kepada Zat yang merupakan Penciptanya, Pemberi rezeki kepadanya, Yang mengadakannya dari tiada dan Pencipta alam semesta ini, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan, Yang memberi ganjaran dan Yang memberi balasan. Maka tidak diragukan lagi bahawa kesombongan ini adalah bahagian dari kegilaan dan kekufuran terhadap nikmat Allah swt."
 Dengan berdoa bererti kita merendahkan diri kepada Allah swt. Ia merupakan sesuatu yang paling mulia di sisi Allah SWT dibandingkan yang lainnya. Allah swt sangat suka kepada hamba-Nya yang merendah diri kepada-Nya dan menunjukkan bahawa hanya Allahlah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Pengatur, Yang Maha Pencipta, tiada sekutu bagi-Nya.
Doa Mendekat Diri Kepada Allah
Allah sentiasa inginkan hamba-Nya dekat dengan-Nya. Pelbagai cara disediakan oleh Allah untuk mendekatkan hamba-Nya dengan-Nya. Antaranya dengan mendatangkan musibah. Tidak ada sedikitpun maksud Allah untuk menzalimi hamba-Nya kerana Maha Suci Dia dari sifat zalim.
Jangan berburuk sangka dengan Allah bahawa setiap musibah yang didatangkan kepada kita menunjukkan Allah sedang marah dan menzalimi kita. Ketika berdoa, yang paling utama adalah bukanlah dimakbulkannya doa kita atau hilangnya derita yang kita alami, tapi adalah meningkatnya kedekatan kita kepada Allah.
Betapa banyak orang yang hidup dengan limpahan harta kekayaan, jawatan yang tinggi, pujian dan penghargaan terus datang mewarnai kehidupannya. Namun semua itu tidak menjanjikan kebahagiaan kepadanya. Itu kerana dia mendapatkannya tanpa doa.
Berbeza halnya dengan orang yang mengenal Allah dalam setiap langkah kehidupannya. Itulah kekayaan yang hakiki.
Jadi hakikat doa adalah bagaimana dengan doa itu kita semakin dekat dengannya. Refleksi dari doa ini nampak pada akhlak yang tercermin dalam kehidupan harian kita yang menjadikan kita lebih baik di masa hadapan.
Ingatlah Allah itu Maha Memberi. Dia tidak lupa untuk memberi. Kita tidak minta diberi makanan, tapi Dia tidak lupa untuk memberi makanan kepada kita. Kita tidak minta diberi pakaian, tapi Dia tidak lupa untuk memberi pakaian kepada kita.
Ibnu Ata'illah menyatakan: "Bukan tujuan utama itu hanya sekadar berdoa. Tapi tujuan yang utama adalah agar engkau mengetahui adab terhadap Tuhanmu."

Wednesday, May 15, 2013

Kepentingan Ilmu Dalam Berbicara


alt
Dalam menghadapi liku liku hidup, kita pasti sesat dalam mencari laluan kehidupan, jika sekiranya kita tidak mempunyai ilmu, bak kata pepatah "ilmu penyuluh hidup" atau "ilmu penyeri hidup". Ilmu perlu dicari dan diteroka untuk kebaikan diri dan juga manusia sejagat. Ilmu juga adalah pemangkin kepada kehidupan.
Mencari ilmu dunia dan akhirat bukan lah senang, untuk dapat ilmu yang baik, ada banyak cabaran dan juga dugaan. Ilmu yang tidak baik senang untuk diperolehi. Namun kedua-duanya dapat dikategorikan sebagai ilmu dan mencari ilmu itu adalah satu kewajipan kepada setiap manusia.
Allah berfirman, ertinya;
"Dan janganlah engkau ikuti apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang-nya, sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati semuanya itu akan di tanya"
(Surah al-Isra' ayat 36)
Ayat di atas menerangkan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang apa yang dibincangkan usah la berbicara kecuali ada pandangan. Pandangan di sini bermaksud, kita mendapat persefahaman tentang apa yang dibicarakan. Namun pandangan tersebut mestilah betul dan mengikut fakta.
Dan sabda Nabi :
"Barang siapa berbicara tentang al Qur'an dengan akal nya atau tidak dengan ilmu, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di neraka"
(Hadist seperti ini ada dari 2 jalan, yaitu Ibnu Abas dan Jundub. Lihat Tafsir Qur'an yang diberi mukaddimah oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Arnauth hal. 6, Tafsir Ibnu Katsir dalam Mukaddimah hal. 13, Jami' As-Shahih Sunan Tirmidzi jilid 5 hal.183 no. 2950 dan Tuhfatul Ahwadzi jilid 8 hal. 277)
Berwaspadalah ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Sekiranya ilmu yang disampaikan itu adalah salah dan boleh membawa kepada fitnah, besar dosanya buat kita. Zaman sekarang, ramai di antara kita yang sudah mula mengenali "Freedom of Speech", di mana, kita bebas untuk bersuara tidak kira usia, pangkat dan juga ilmu di dada. Apa yang tersirat di dalam hati, dapat kita luahkan begitu sahaja tanpa mengenal baik buruknya.

Sentiasa beringat tentang ilmu yang diperolehi, mungkin ilmu itu bakal berguna pada kita kelak, namun oleh kerana sudah merasa ilmu itu sudah cukup, kita mampu untuk memberi hujah dan nasihat kepada mereka yang dianggap kurang ilmu.
Ilmu datangnya dari pembelajaran dan juga pengalaman. pengalaman akan mengajar kita erti kesabaran. Ada yang mengata kesabaran dalam menuntut ilmu selalunya akan mendapat keredhaanNya. Namun, kita perlu tahu, ilmu itu adakah baik atau sebaliknya?
Orang-Orang salaf berkata : "Waspadalah terhadap cubaan orang berilmu yang buruk (ibadahnya) dan ahli ibadah yang bodoh." (Al-wala'wal bara' hal. 230)
Ramai di antara kita sudah terpedaya dengan kata-kata yang tak diteraskan dengan ilmu yang baik. Sama samalah kita momohon supaya dihindari perkara sebegini. Sentiasa bermunajat dan beristighfar kepadaNya supaya ilmu yang diperoleh tidaklah menyebabkan pengamal itu merana.
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang bermanfaat dan amal yang diterima" (Hisnul Muslim, hal. 44 no. 73).
Allah mengingatkan kita di dalam kitabNya yang bermaksud; 
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya"
(Surah al-Baqarah ayat 42)
Setiap ilmu yang dianugerahkan kepada kita, akan ada masanya ilmu itu akan diduga oleh Allah kepada kita. Namun, setiap manusia juga dikurniakan akal olehNya untuk berfikir sama ada ilmu itu baik atau buruk baginya. Jika ia buruk, bersamalah kita untuk meninggalkannya. Jika ilmu itu baik, sama-samalah kita untuk berkongsi dengan semua.
"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"
(Surah al-Baqarah ayat 208)
Walaubagaimanapun, setiap ilmu itu ada batasnya. Ilmu itu akan mengikut keimanan seseorang untuk menterjemahkan ia sebagai pengangan hidup. Adakala ilmu yang diperoleh terlalu tinggi, sehingga mengakibatkan dirinya tidak dapat menanggung segala dugaan yang menimpanya.
Oleh itu, beramal lah dengan ilmu itu sebaik baiknya. Lengkapkan diri dengan kekuatan iman yang kuat supaya dapat menjadi kulit kepada ilmu yang menjadi manisan di dalamnya.

Tuesday, May 14, 2013

Benarkah Dosa Mengumpat Itu Lebih Besar Daripada Berzina??? Benarkah Ada Hukum Harus Dalam Mengumpat???

Assalamualaikum, ketika ingin menulis artikel ini saya berasa berat hati ingin menulisnya kerana ditakuti ada sekolompok golongan yang sensitif namu saya terpaksa menyuarakan kebenaran dari sudut pandangan fiqh Al-Aulawiyyat. Kita melihat masyarakat kita menjadikan isu tidak bertudung atau buka tudung sebagai suatu isu besar dalam agama sehingga meletakkannya lebih teruk dari perkara lain yang seharusnya kita letakkan lebih teruk dari itu. Adalah disepakati oleh sebahagian besar fuqaha (walaupun ada yang membangkangnya seperti pengasas kitab agung Al-Maqassid Assyariah iaitu ibn Asyur RH) bahawa rambut termasuk dalam aurat yang wajib ditutup. Namun, tidak terdapat hadith atau ayat Quran mencela atau melaknat wanita yang tidak bertudung tetapi lebih kepada arahan wajib sahaja dan tidak diterangkan tentang kadar dosanya. Saya ingin bertanya kepada pembaca, dosa tidak bertudung dengan berzina yang mana lebih besar? Sudah tentu 100% akan menjawab berzina dosanya lebih besar dari tidak bertudung. 

Baik, jika semua bersepakat berzina lebih besar dosanya dari tidak bertudung, apakah dosa yang lebih besar dari berzina tetapi menjadi asam garam biasa dalam masyarakat termasuk dilakukan oleh mereka yang bertudung ataupun bertudung labuh? Mari kita merenungi hadith berikut: Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad) Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya "" (Surah al-Hujurat, ayat 12). Rasulullah Bersabda "Tidak akan masuk syurga Al-Nammam (kaki umpat)" (Riwayat Muslim) Ingin saya bertanya semua, jika mengumpat itu lebih besar dari berzina, maka adakah mengumpat itu jauh lebih berdosa dari tidak bertudung bagi wanita? Sudah pasti jawapannya YA tanpa khilaf. MENGUMPAT ADALAH SUATU YANG SANGAT ZALIM KERANA ORANG YANG DIKATA ITU TIDAK BOLEH MEMPERTAHANKAN DIRI KERANA TIDAK TAHU DIA DIUMPAT. MAKA WAJARLAH HADITH DALAM RIWAYAT MUSLIM MEMBERI AMARAN TIDAK MASUK SYURGA BAGI KAKI UMPAT. 

Namun mengapa Isu tidak bertudung itu dibincang melebihi isu keharaman mengumpat sehingga isu mengumpat diabaikan? Sesetengah manusia apabila ditanya mengapa dia mengata? Dia menjawab: saya katakan hal yang betul bukannya fitnah. Kita jawab kembali agar dia membuka kamus dan mencari maksud mengumpat itu. Mengumpat bermaksud menceritakan keburukan yang dilakukan oleh saudara kita dan mengumpat bererti menceritakan keburukannya yang kita ketahui. Sesetangah manusia menjawab: itu untuk pengajaran bagi yang mendengarnya. 

Kita menjawab bahawa kekejian manusia lain boleh disingkap hanya jika keburukan itu melibatkan orang ketiga dan memudaratkan orang lain seperti mencuri, merompak, membuat kisah tipu secara terbuka. Jadi saya berasa sangat aneh mengapa mengumpat menjadi kebiasaan malahan hal tidak bertudung menjadi topik lebih utama. Ada juga golongan pelampau yang menyebut: "setiap helai rambut tu satu dosa Allah kira" Demi Allah ini adalah dakwaan bohong kerana tidak ada satu hadith pun menyebutnya. Saya menyetujui ia haram didedahkan tetapi mendakwa sehelai rambut 1 dosa adalah satu pembohongan kepada syariat kerana tidak disebut oleh Allah dan Rasul. 

Adakah kita ingin mengambil alih hal mengira dosa? Oleh itu marilah kita mengukur taraf keharaman dan taraf besarnya dosa itu berdasarkan Qalam Allah dan Sabda Rasulullah bukannya berdasarkan fikiran manusia dan emosi sendiri. Baik buruk itu ditentukan oleh dalil bukannya emosi manusia. Contohnya dari segi hukum halal menyetubuhi hamba sahaya seberapa ramai pun tanpa nikah dan halal mengambil harta rampasan perang dan menjadikan tawanan perang sebagai hamba dan halal disetubuhi. 

Adakah itu baik pada pemikiran manusia? Jadi ukurlah sesuatu itu berdasar pada Quran dan hadith bukan syok sendiri. Tidaklah saya menyeru supaya isu tudung itu dipinggirkan tetapi meletakkan sesuatu yang lebih besar menjadi kecil adalah tidak wajar. 

Marilah sama-sama kita lihat Hukum-hukum mengumpat dan perkara yang menjadikan mengumpat itu harus...jangan terkejut jika saya katakan mengumpat itu juga ada yang harus...

Hukum Mengumpat
Apakah yang dimaksudkan dengan mengumpat?
Maksud mengumpat dapatlah didefinisikan sebagai bercerita tentang perihal keburukan dan kelemahan seseorang kepada orang lain di mana akan diumpat merasa marah dan benci dengan perkara yang didengari tentang dirinya. Bercerita tentang keburukan dan kelemahan seseorang samalah juga seperti membuka aib seseorang itu kepada orang lain.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
" mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya."
(Hadis Riwayat Muslim)
 Dan hukumnya adalah haram di sisi Allah SWT. 
Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
"Wahai orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan ( supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang ) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari - cari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? ( Jika demikian keadaan mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. ( Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut ) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani "
(Surah al-Hujurat atat 12) ?
Sesungguhnya pengharaman mengumpat itu jelas di dalam Al-Quran kerana ianya boleh menjatuhkan maruah seseorang (orang yang diumpat) di samping boleh membawa kepada kemudharatan yang besar iaitu boleh membawa kepada bahaya fitnah dan merupakan suatu pembohongan sekiranya perkara yang menjadi umpatan itu sedikit pun tidak ada kebenarannya atau tidak ada pada orang yang diumpat. 
Bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
" sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah ( penghormatan ) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa - apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya "
(Hadis Riwayat Bukhari) ?
Sabda bagindaa lagi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ­radhiyallahu 'anhu;
"Rasulullah bertanya, "Adakah kamu tahu apa itu ghibah?", mereka berkata : Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata : "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya". Dikatakan : Beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata : "Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya"
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Keharusan Mengumpat
Walaupun pada asal hukum mengumpat adalah haram, namun ianya juga menjadi harus bagi kita dalam keadaan yang tertentu. Di dalam kitab Riyadus Solihin iaitu karangan kitab oleh Imam Nawawi, terdapat 6 keuzuran yang diharuskan padanya mengumpat.
1- Kes Penganiayaan.
Apabila seseorang dizalimi sebagai contohnya seorang isteri yang dizalimi oleh suaminya, maka menjadi keharusan kepada si isteri untuk menceritakan keaiban dan keburukan yang dilakukan oleh suaminya ke atas dirinya kepada pihak pemerintah. Hal ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan sebagai bukti bahawa kezaliman itu memang berlaku
2- Mohon Bantuan Mencegah Kemungkaran.
Apabila di dapati berlakunya kemungkaran, kemudian melaporkannya kepada pihak yang berkuasa dengan tujuan/ niat untuk mencegah kemungkaran yang ada, maka diharuskan untuk orang yang mengadu menceritakan kemungkaran yang dilakukan. Sebagai contoh dia mengatakan " Si polan telah melakukan maksiat begitu begini, maka tegahlah dia agar tidak berlaku kemudaratan yang berpanjangan".
3- Minta Fatwa.
Diharuskan juga menceritakan keaiban orang dengan tujuan meminta fatwa sepertimana Hindun meminta fatwa kepada Rasulullah SAW perihal suaminya yang kedekut. 
4- Mengajak Muslimin Agar Bersikap Berhati-hati.
Tujuan menceritakan keburukan orang yang tertentu adalah semata-mata untuk kemaslahatan orang lain agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya contohnya seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.
5- Jika Melakukan Maksiat dan Bid'ah Secara Terang-terangan.
Jika seseorang itu melakukan maksita dan bid'ah secara terang-terangan, maka menjadi harus hukum mengumpat tentangnya. Dengan syarat diniatkan keharusan mengumpat itu agar tidak mudah tertipu dan supaya kaum muslimin yang lain sentiasa berwaspada dengannya. Walau bagaimana pun tidak boleh menceritakan keburukannya yang tersembunyi.
6- Sebagai Tanda Pengenalan.
Dibolehkan dengan syarat tidak bertujuan untuk menghina dan merendahkan orang yang dinyatakan seperti mila jongang, mamat tempang. Andaikata hanya dengan gelaran-gelaran tersebut menjadikan orang lebih mengenalinya, maka diharuskan menceritakan kekurangannya. 

Kesimpulannya, walaupun terdapat beberapa situasi yang dibolehkan mengumpat, namun perlulah kita ingat ianya juga bersandarkan kepada niat kita. Sekirannya niat kita lebih cenderung kepada menceritakan keaiban dan kekurangan orang lain, boleh jadi ianya jatuh kepada mengumpat. Dan ketahuilah sesungguhnya mengumpat itu adalah haram dan setiap yang haram itu padanya dosa.
Jauhilah mengumpat wahai umat Islam, kerana realitinya kita hanyalah hamba yang lemah untuk lari daripada melakukan perbuatan terkutuk itu. Jangan sampai amalan kita terlepas kepada orang yang diumpat. Tidak  pernah merugi bagi mereka yang menutup keaiban orang lain. Cukuplah sekadar mendengar jika memang keadaan tidak mengizinkan untuk kita lari dari tempat mengumpat itu.
Sesiapa yang memelihara lidahnya ( tidak menceritakan keburukan orang lain ), Allah akan menutup kecelaannya di akhirat nanti, Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan lindungi daripada seksaanNya. Bersama - samalah kita hindari perbuatan mengumpat ini dari masa ke semasa kerana
Rasulullah pernah bersabda :
"Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya ! Janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan janganlah kamu mengintip - intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan Dia akan mendedahkannya, meskipun berada dalam rumah sendiri "
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al - Tarmizi)
Wallahu Anta A'lam

Wednesday, May 08, 2013

Sabar Dan Mendoakan Kebaikan


alt
Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Beliau langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan", yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Setelah kejadian tersebut berlaku dan wali Allah itu pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu :
"Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau."
Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya kepada Ibrahim bin Adham :
"Kenapa memaafkanku wahai tuan?"
Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham :
"Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau."
Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.
Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.
Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia seperti contoh yang ditunjukkan oleh para solihin terdahulu.
Wallahu'alam.

Tuesday, May 07, 2013

Mencari Jalan Kembali


alt
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." - Al-Maidah: Ayat 35
Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan.
Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah.
Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.
Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.
Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.
Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan.
Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.
Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan.
Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar.
Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material.
Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai.
Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.
Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.
Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah.
Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah.
Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.
Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.
Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54
Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya.
Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.
Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita.
Maka kita tak jadi kembali.
Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.
Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53
Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?
Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.
Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.
Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.