Tuesday, April 30, 2013

Redha Allah Atau Redha Manusia?


baby
Sudah menjadi lumrah apabila manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik. Dari segala aspek hidup, manusia akan menjaga tingkah laku sebaik-baiknya demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat, majlis berbentuk protokol.
Manusia mengaplikasikan peraturan yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Hakiki iaitu Allah SWT. Manusia lupa bahawa mematuhi peraturan sebenarnya yang akan dihitung, ditimbang dan dinilai di akhirat kelak berdasarkan amalan dan tingkah laku sehari-hari adalah 'standard' yang. Dan 'standard' inilah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
Menjaga 'standard' di pejabat
Kebanyakan pekerja sememangnya menjaga nama baik, sama ada nama baik diri, kumpulan mahupun jabatan. Waktu rehat pejabat secara umumnya adalah pada pukul 1 petang hingga 2 petang bagi pekerja awam dan swasta. Kebanyakan pekerja yang sentiasa mengikut peraturan akan keluar rehat pada pukul 1 tepat untuk melepak bersama kawan-kawan dan berborak sehingga hampir pukul 2 petang. Selepas itu, masuk semula ke pejabat pada pukul 2 petang, pekerja tersebut belum lagi solat walaupun waktu solat Zuhur sudah masuk.
'Eh.. dah pukul 2.00 lah. Aku naik pejabat dululah, tunjuk muka dulu, nanti turun ke surau untuk solat'.
 Sampai begitu sekali kah kita menjaga 'standard' di hadapan manusia? Sehinggakan kita mengabaikan tahap 'standard' yang sepatutnya kita jaga di hadapan Allah.
Abdullah bin Mas'ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW:
"Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah SAW: "Solat dengan menjaga waktunya.".
(Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih no.2782]).
Astaghfirullahala'zim.. Kita sanggup melewat-lewatkan solat hanya kerana tidak sanggup mendengar orang mengata kita. Kita sanggup mengabaikan 'pertemuan dengan Kekasih' kita, mengutamakan pertemuan dengan manusia 
Menjaga 'standard' di majlis keramaian
'Nanti aku nak beli baju baru berwarna merah dan hitam sebab konsep tema Makan Malam Tahunan kolej kita adalah warna hitam dan merah kan.."
'Alah..pakai sahaja baju yang kau ada, makan malam tu sekejap sahaja, jangan membazir..'
'Mana boleh, nanti orang akan pandang aku pelik dan mesti orang akan mengutuk aku sebab aku tak ikut tema'.
Betulkah fenomena seperti di atas selalu sahaja terjadi kepada kita? Astaghfirullahala'zim..
Selalu sahaja kita ingin mengejar peraturan yang dicipta manusia sendiri. Jika boleh, sebaik-baiknya kita hendak dilihat mengikut keseragaman dan sempurna di mata manusia. Tetapi kita lupa dan lalai bahawa Allah sudah menetapkan peraturan berpakaian yang sepatutnya bagi kaum Hawa dan Adam. Lantas, kita berlebih-lebihan, tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk asbab ingin lebih mulia di sudut pandangan manusia.
Tidak salah hendak mengikut tema sesuatu majlis selagimana tidak lupa pada peraturan hakiki yang sebenar-benarnya. Namun, hakikatnya ramai manusia lebih memilih untuk menjaga 'standard' di hadapan manusia lain, sehingga tidak hairan lah ada yang lebih selesa berpakaian tidak menutup aurat sebaik-baiknya. Malah ada yang berpakaian tetapi singkat dan jarang. Hanya kerana tidak mahu dikatakan kolot dan tidak mengikut trend dan fesyen.

Kita berlumba-luma untuk kelihatan anggun dan cantik di hadapan manusia. Tetapi kita selekeh dan comot sekali di hadapan Allah. Tidak sedarkah kita?
Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sesungguhnya kita hendak sahaja mengelakkan orang berprasangka buruk kepada kita, kerana itu dalam segala aspek kita hendak menjaga 'standard' di hadapan manusia, tetapi kita langsung tidak takut dan malu pada pandangan Allah SWT terhadap kita.
Kita lebih mencari kecintaan manusia lain berbanding kecintaan kepada Allah SWT kepada kita.
Kita lebih inginkan kemuliaan manusia daripada kemuliaan Allah SWT kepada kita.
Kita meraih redhanya manusia daripada redhanya Allah SWT sehingga sanggup mengenepikan hak Allah dengan melanggar perintah dan suruhanNya hanya kerana ingin menunaikan haknya manusia. Teringat suatu ketika Mu'awiyah meminta wasiat kepada isteri Baginda SAW iaitu Aisyah r.anha  lalu 'Aisyah menulis seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:-
"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia."
(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).
Justeru, manakah yang lebih baik? Yang lebih mulia? Yang lebih tinggi ? Redhanya manusia atau redhaNya Allah.. Lalu mengapa terlalu menjaga 'Standard' di Hadapan Manusia – Kenapa Tidak Kerana Allah?
Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan menjadi yang terbaik di hadapan Allah.  Jom 'Menjaga 'Standard' di hadapan Allah sebagai langkah ke Syurga'! ^_^ InsyaAllah.

Monday, April 29, 2013

Pintu Taubat : Aku Yang Berdosa


alt
"Pintu Taubat". Pernahkah anda menonton sebuah siri drama di televisyen berbayar yang menyiarkan kisah seorang manusia yang lalai dengan pelukan duniawi dan akhirnya tidak sempat untuk bertaubat atas segala kesalahannya terhadap Maha Pencipta?
Rasa kesal dan sesal tidak lagi berguna jika nyawa betul-betul dihujung tanduk. Apa yang mereka boleh lakukan? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya" 
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)
Gerun bukan? Cuba letakkan diri kita di saat nyawa betul-betul dihujung halkum kita. Tidak terkata dan terbayang dengan apa-apa yang akan berlaku. Saat mati itu adalah rahsia dari Allah, tiada siapa di atas muka bumi ini yang mengetahui saat bila kita akan dipanggil oleh nya hatta seorang ibu yang melahirkan dan menyusukan kita serta membesarkan kita pun tidak dapat meneka saat ajal itu tiba. Mati itu tiada diskriminasi, mahupun dia adalah seorang raja, hartawan, papa kedana, alim, penjenayah pasti akan merasai saat kematian.
Dalam firman Allah SWT mengingatkan kita bahawa;
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat." 
(Surah Ali 'Imran ayat 185)
Jika berbicara mengenai taubat, secara automatik kita akan menyentuh sedikit perihal hidup dan mati. Mereka bertiga seolah-olah mempunyai link yang tersendiri dan unik untuk dikupas. Pasti pernah kita terfikir,
"Bagaimana jika aku mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat dari segala dosa-dosa aku yang lampau?"
"Adakah aku akan mati dengan tenang jika dosa-dosa lalu ibarat menghambat aku sendiri di kari akhirat kelak?
"Dan bilakah waktu Malaikat Izrail itu akan datang untuk mencabut nyawa ku?"
Meremang seketika bulu roma apabila nama Malaikat Izrail disebut. Ibarat ia dekat dan sedang memperhatikan kita. Subhanallah.

Saya punya satu kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Dan cerita ini merupakan sumber inspirasi saya untuk terus menulis artikel ini. Kisah ini bermula dengan seorang pelajar universiti yang biasa sahaja. Tahun pertama, dialah Imam pertama saya ketika saya ingin mengerjakan solat Zohor di surau asrama. Gaya, penampilan dan tutur kata tidak banyak berbeza dengan pelajar lain.
Penampilannya tampak seperti orang Bandar mungkin Kuala Lumpur, Johor Baharu atau Penang. Selepas beberapa semester, dia sudah tidak kelihatan di surau itu lagi. Dan akhirnya saya terserempak dengannya ketika kuliah tamat. Rambutnya kelihatan perang dan nampak lebih bergaya. Saya mula untuk menilai yang dia bukanlah seorang yang betul-betul mendalami ajaran Islam. Dan kini, solat maghrib di surau yang sama, dialah Imam yang mengetuai Jemaah dalam solat tersebut. Dia kembali kepada fitrah yang dulu saya pernah jumpa. Saya gembira dan dari situ, saya fikir jika dia boleh berubah kepada yang lebih baik, kenapa tidak saya? kita?
Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk kita sebagai umatnya. Jangan kita sesekali berputus asa dengan Rahmat dari Allah yang menciptakan kita. Firman Allah dalam Surah az-Zumar ayat ke 53,
"Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Itulah yang saya ingin sampaikan bahawa Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas untuk hambanya. Ayat diatas tiada sebarang syak wasangka dan keraguan untuk kita terus istiqamah memohon ampun dariNya dan meninggalkan segala kemungkaran yang telah kita lakukan. Dialah jua Yang Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.
Tertarik saya dengan satu perkara yang membezakan kita (umat Nabi Muhammad) dengan umat-umat nabi terdahulu. Disebutkan bahawa Nabii Adam A.S telah berkata,
"Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak akan diberikan kepadaku:
1. Taubatku hanya diterima di Kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad SAW diterima disebarang tempat oleh Allah SWT
2. Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah SWT, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Nabi Muhammas SAW membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah SWT memberikan mereka pakaian.
3. Ketika aku berbuat derhaka kepadaNya, maka Allah SWT telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Nabi Muhammad SAW berbuat derhaka, Allah SWT tidak memisahkan mereka.
4. Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Nabi Muhammad SAW derhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W."
Hanya syukur yang dapat kita luahkan betapa kasihnya Allah SWT terhadap kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW . Namun sayang, masih lagi ada manusia yang celik tetapi hakikatnya mereka buta. Hati mereka buta untuk melihat kasih sayang dari Allah SWT itu.
Berbalik kepada cerita saya tadi, dia sangat beruntung kerana telah dibukakan hati nya untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kisahnya perlu diambil pengajaran kepada diri saya sendiri untuk teurs istiqamah dalam melawan segala godaan syaitan dan hawa nafsu.
Kita manusia biasa yang sering kali melakukan kesilapan dan kesalahan. Jika kita seorang yang peka dan mengetahui akan segala kesalahan yang dilakukan itu adalah salah dan melawan tuntutan dari Allah. Alhamdulilah, kita punya peluang untuk berubah kepada yang lebih baik. Kini ramai remaja mahupun dewasa sebenarnya hilang arah hidup mereka dan tidak pernah ingat akan tuntutan Allah dan laranganNya kepada kita. Mereka terus berbuat dosa dan kemungkaran. Dimana iman yang senipis kulit bawang ketika itu? Adakah terus lesap dan menghilang begitu sahaja?

Sebagai kata penutup, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri terlebih dahulu dan pembaca sekalian agar kita sentiasa ingat bahawa dosa yang kita lakukan merupakan saham kita yang akan dibawa ke sana. Ia sama juga dengan segala kebaikan dan pahala kita akan turut dibawa ke sana. Bagaimana jika timbangan amalan dosa/buruk melebihi daripada amalan baik/pahala? Pada saat itu, rayuan untuk kembali ke dunia tidak akan dilayan sama sekali.
Justeru sebelum terlambat, bersegeralah kita untuk memohon ampun dan bertaubat dengan segala dosa, kemungkaran dan kelalaian kita yang lalu supaya Allah dapat mengampunnya sebelum hembusan nafas kita yang terakhir. Renungkanlah  sepotong ayat Al-Quran, Surah Ali-'Imran ayat 135-136 untuk kita muhasabah dan hayati.
"Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal"
Wallah Anta A'lam

Thursday, April 25, 2013

Promosi Bazar Kraf Cawangan Kelantan

Promosi Bazar Kraf di Pusat Jualan Kraf Batu 2, Bunut Payong akan diadakan pada 27 April 2013. Selain jualan produk kraf aktiviti menarik menanti anda, antaranya Interaktif Kraf Batik & Seramik dan Pertandingan Seni Suara Burung Candik turut diadakan. Pakat-pakat adik kakok maghi belako...

Aurat Lelaki Yang Jarang Dibincangkan


baby
Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.
Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.
Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?
Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.
Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.
Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.
Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?
Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.
Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.
Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.
Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.
Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas.
Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.
Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?
Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.
Dalam hal ini, alangkah baiknya bagi negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat itu menjadi model menganjurkan sukan yang mempunyai konsep pakaian sukan Islam. Jika mereka berjaya, pasti dunia akan melihat dan lambat laun mereka akan mencontohinya.

Wednesday, April 24, 2013

Aku Ingin Menjadi Baik


alt
"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Tuesday, April 23, 2013

Mata Kasar, Mata Nafsu, Mata Iman


alt
Bayangkan tatkala kita sedang merenung wajah seorang tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.
MATA KASAR
Apabila kita sekadar melihat dengan mata kasar, tidak akan memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil berlalu.
MATA NAFSU
Apabila kita sekadar melihat dengan mata nafsu, kita akan terfikir untuk tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox, cucuk vitamin c , pembedahan plastik dan sebagainya.
Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.
MATA IMAN
Apabila kita melihat mereka dengan mata iman, kita akan melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman.
Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan kita menangis. Menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini?
Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti. Syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini, balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi... nauzubillah... apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi?
Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu?
Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?
Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, iaitu:
  • Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
  • Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.
  • Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.
  • Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.
  • Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.
  • Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.
  • Dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. 
  • Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.
Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan, maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. InsyaAllah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita.
Rasullah s.a.w. yang maksum pun beristighfar paling kurang 100 kali sehari; jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar. Jika kita lalai dari beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam. Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta.
Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati tersebut. Akibatnya, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi.
  • Dunia ini sementara adalah pasti.
  • Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.
  • Akhirat itu pasti.
  • Syurga dan neraka itu pasti.
Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu? Renung-renungkan.

Monday, April 22, 2013

Emosi Dikendur, Kasih Sayang Disalur


alt
Para anbiya', mereka adalah golongan manusia yang paling berat ujiannya melalui jalan dakwah. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu untuk kita menanggungnya, apatah lagi dengan ujian ke atas para anbiya'.
Sesungguhnya ujian di jalan dakwah memang panjang dan amat berat. Justeru, senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan hanyalah sabar.
Namun sabar yang bagaimana yang kita maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Itulah sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Bagaimana caranya? Di sini kita akan teroka
Mengenali manusia.
Manusia merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal. Inilah realiti manusia.
Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini adalah sifat lupa diri. Pernah kah kita mendengar ada sebahagian daripada rakan-rakan kita mengadu,
"Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak salah sendiri?"
  Ada juga daie yang berkata kepada mad'unya,
"Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang betul!"
 Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.
Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan, kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain, kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan lebih mendalam dan sabar.
Bagaimana pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah. Apa kaitannya?

Mengendur emosi
Emosi lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada sifat ego (sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras. Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah yang merosak diri.
Perhatikan,  saat anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi kebencian, emosi memainkan peranannya. Ya, itulah emosi. Begitu juga manusia yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri, sindrom 'tidak kisah' dan 'tidak peduli' mula timbul.
Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan, kita melihat ada manusia yang tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya. Kerana mereka sedang beremosi.
Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Pastinya tidak.
Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.
Kasih sayang disalur
Emosi yang dikendur dengan emosi yang ditahan (diempang) mempunyai jurang perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini,
"Aku sudah puas menahan sabar dengan kau."
 Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung berapi setelah diempang begitu lama.
Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang pasti kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan dan musibah.
Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini,
"Manusia tidak kisah apa yang kamu tahu, dia hanya kisah apakah kamu sayang".

Mungkin kisah sahabat nabi, Abu Darda RA ini mampu menerangkan lebih lagi;

Abu Darda RA telah menjadi hakim di Damaskus. Beliau telah menangani pelbagai jenayah. Satu hari beliau mengumumkan hukuman yang dijatuhkan terhadap seorang penjenayah dan kes itu dikira selesai. Bagaimanapun beliau terdengar seseorang yang mencerca orang yang bersalah itu. Kerana mendengar cercaan itu, beliau bertanya kepada orang yang mencerca itu:
"Apakah yang engkau akan buat apabila melihat seseorang jatuh ke dalam lubang yang dalam?"
"Aku akan hulurkan tali untuk selamatkan dia"
"Oleh itu mengapa engkau tidak berusaha untuk menyelamatkan lelaki ini yang jatuh ke dalam lubang kemaksiatan?"
"Apakah engkau tidak membenci pelaku dosa ini?"
Abu Darda menjawab dengan sungguh berakhlak, "Aku bukan musuh dirinya tetapi dosanya"
Allah,  menjadi matlamat yang luhur
Matlamat dakwah adalah menyeru manusia mentauhidkan Allah. Itulah perkara utama yang harus ditekankan iaitu tauhid. Ramai orang hanya berpegang Islam tanpa tauhid hakiki. Sedangkan orang yang benar-benar memegang tauhid telah memasuki Islam secara menyeluruh. Dan disebabkan Allah menjadi matlamat yang luhur, suka saya berkongsikan kata-kata yang saya dapat daripada saudara saya yang mengikuti Jemaah Tabligh.
Kita sering menyangka dakwah adalah menyeru manusia lain kepada Allah dan membetulkan diri mereka. Sedangkan dakwah adalah seruan kepada diri kita sendiri agar menuju Tauhid kepada Allah kerana apabila kita berusaha menyeru orang lain, secara tidak langsung kita akan bersungguh memperbaiki diri agar usaha ini diredhai Allah dan diterima orang ramai. Usaha kita bukan usaha memperbaiki masyarakat, tetapi usaha mengembalikan tauhid ke atas dunia ini. Usaha atas iman dan usaha ini tidak dapat dilakukan tanpa kebenaran hati dan niat.
Cukup menyedarkan hati dan sanubari. Apabila kita hendak menasihati orang lain kita harus menasihati diri kita sendiri. Bagaimana kita mampu memberi manfaat terhadap orang lain sedang diri kita tidak mendapat manfaat. Takutlah peringatan Allah tentang kebencianNya terhadap orang yang menasihat orang lain tetapi melupakan dirinya. Bersabarlah dalam berdakwah dan jangan bersikap gopoh.

Kesimpulan
Erti hidup pada memberi. Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah apabila diri tidak mampu menyayangi. Jangan sedih apabila tidak dihargai, sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain. Apa yang paling utama, bersabarlah setiap kali ujian menimpa. Bersikap positif lah setiap kali teruji dan fikirkanlah "
"Lebih baik siapa kita di depan Allah daripada siapa kita di depan manusia."

Friday, April 19, 2013

Hari Jumaat Hari Istimewa


alt
Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
KEUTAMAAN HARI JUMAAT
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hari paling baik dimana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaatt, pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi, pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya."
1. Hari yang paling mulia dan merupakan penghulu dari hari-hari
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." (Hadis Riwayat Ahmad)
2. Waktu yang mustajab untuk berdo'a
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyebut hari jumaat lalu beliau Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu yang jika seseorang muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah Ta'ala, nescaya permintaannya akan dikabulkan." Lalu beliau memberi isyarat dengan tangannya yang menunjukkan sedikitnya waktu itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun mengenai penentuan waktu, para ulama berselisih pendapat. Di antara pendapat-pendapat tersebut ada 2 pendapat yang paling kuat:
i. Waktu itu dimulai dari duduknya imam sampai pelaksanaan solat jumaat
Dari Abu Burdah bin Abi Musa Al-Asy'ari r.a. bahawa 'Abdullah bin 'Umar r.a. berkata padanya, "Apakah engkau telah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis dari Rasulullah sehubungan dengan waktu ijaabah pada hari jumaat?" Lalu Abu Burdah mengatakan, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'iaitu waktu antara duduknya imam sampai solat dilaksanakan.'" (Hadis Riwayat Muslim)
Imam Nawawi rahimahullah menguatkan pendapat di atas. Sedangkan Imam As-Suyuthi rahimahullah menentukan waktu yang dimaksud adalah ketika solat didirikan.
ii. Batas akhir dari waktu tersebut hingga setelah Asar
Dari Jabir bin 'Abdillah rr.a., dari Nabi s.a.w. bersabda, "Hari Jumaat itu dua belas jam. Tidak ada seorang muslim pun yang memohon sesuatu kepada Allah dalam waktu tersebut melainkan akan dikabulkan oleh Allah. Maka peganglah erat-erat (ingatlah bahawa) akhir dari waktu tersebut jatuh setelah 'asar." (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Dan yang menguatkan pendapat kedua ini adalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah, beliau mengatakan bahawa, "ini adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan generasi salaf dan banyak sekali hadis-hadis mengenainya."
3. Dosa-dosanya diampuni antara jumaat tersebut dengan jumaat sebelumnya
Dari Salman Al-Farisi r.a. mengatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau mengoleskan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia mendirikan solat yang sesuai dengan tuntunannya, lalu diam mendengarkan (dengan saksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (dosa-dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya." (Hadis Riwayat Bukhari)


AMALAN-AMALAN HARI JUMAAT
1. Membaca surah al-Sajdah dan al-Insan dalam solat subuh
Dari Abu Hurairah r.a., katanya :
"Nabi s.a.w. ketika solat Subuh membaca: "ALIF LAAM MIIM TANZIIL AS-Sajadah (Surah As-Sajadah), dan 'HAL ATAA 'ALAL INSAANI HIINUM MINAD DAHRI (Surah Al-Insaan)." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Memperbanyakkan selawat
Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Perbanyaklah selawat kepadaku setiap hari Jumaat kerana selawat umatku akan dipersembahkan untukku pada hari Jumaat, maka barangsiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dia akan paling dekat darjatnya denganku." (Hadis Riwayat Baihaqi dengan sanad shahih)
3. Membaca surat Al Kahfi
Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, akan diberikan cahaya baginya diantara dua jumaat." (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Baihaqi dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani)
4. Memperbanyak do'a 
5. Amalan-amalan solat jumaat (bagi laki-laki)
  • Mandi, bersiwak, dan memakai wangi-wangian.
  • Bergerak awal ke masjid.
  • Diam mendengarkan khatib berkhutbah. 
  • Memakai pakaian yang terbaik. 
  • Melakukan solat sunnah selama imam belum naik ke atas mimbar.
Manfaatkan kelebihan hari Jumaat ini dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut dalam hadis-hadis di atas.
Semoga Allah merahmati dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.
Allah s.w.t berfirman :
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Imran:31)
Jom amalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w.! ^_^

Thursday, April 18, 2013

Tiada Yang Kekal Melainkan Allah S.W.T


alt
Hari semakin senja, burung-burung berterbangan pulang ke sarang dihiasi dengan alam yang penuh kedamaian. Subhanallah, kerana kita masih dapat menjalani kehidupan pada hari ini. Masing-masingnya mempunyai kenangan manis untuk disimpan sebagai kenangan. Masa terus berlalu seperti desiran angin yang menghembus ke pantai.
Dalam keriuhan pasti ada kesunyian kerana manusia kadangkalanya memerlukan ketenangan untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta, di samping menyelongkar apakah rahsia dan hikmah disebalik kejadianNya. Sememangnya sesuatu yang indah itu sentiasa pudar dipandangan mata kerana manusia lebih gemar akan perhiasan dunia yang sebenarnya tidak mampu menyinari cahaya di alam kubur kelak.
Diri tidak pernah keseorangan
Tatkala diri keseorangan pasti kita berfikir pelbagai perkara sehingga imaginasi kita terbawa-bawa ke alam itu. Apa yang kita fikirkan sebenarnya? Adakah fantasi itu membawa kebaikan untuk kita atau menjarakkan lagi hubungan kita kepada Allah. Kadangkala terlalu memikirkan perkara tersebut menyebabkan hati murung dalam kesedihan. Menangis seperti kehilangan akal seketika. Sedangkan perkara yang kita fikirkan itu bukanlah suatu yang tragis untu ditangisi.
Bukankah dalam keseorangan itu Allah sentiasa bersama kita?
Allah Maha Mengetahui apa yang terdetik di dalam hati. Serahkan segala urusan kita kepada Allah kerana apa yang baik dan buruk sesuatu perkara itu adalah bergantung bagaimana kita bertindak dan mengkoordinasikan niat kita berlandaskan hukum yang telah disyariatkan. Allah adalah saksi utama di sepanjang kehidupan kita.
Lupakah kita dengan kewujudanNya sebagaimana adanya kita di dunia ini?
Lumrahnya, kita merasa amat malu apabila berhadapan dengan manusia dari perbuatan negatif sehingga segala "pekung di dada". Terbongkar segala keaiban yang tersembunyi dalam diri kita sendiri. Namun, kita  sering terlepas pandang bahawa sekujur tubuh ini sebenarnya sentiasa berhadapan dengan Allah tidak kira di manapun kita berada. Segala tindak tanduk kita diperlihatkan oleh Allah SWT.

Aib yang tersembunyi
Sesungguhnya Allah bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sedikit pun tidak pernah memperlihatkan aib hambanya di khayalak ramai. Sekiranya Allah bertindak sedemikian, mana mungkin kita boleh menyembunyikan diri ini. Pasti segala aktiviti kita akan tergendala. Ketenangan diri seakan tercabut dari kehidupan kita. 
Namun, kita sendirilah yang membuka keaiban diri kita sendiri. Lantaran terlalu cepat menghukum dan berburuk sangka, lantas emosi dan nafsu mendahului akal fikir kita. Pada kita tindakan kita adalah benar dan sepatutnya diiyakan, sedangkan ianya sebenarnya membuka aib kita sendiri. Kita tidak sedar hakikat merasa diri di pihak yang benar dan hanya akan tersedar saat aib diri telah pun menular dan di jaja ramai.
Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat bahawa apabila kita keseorangan "kuasai akal" daripada memikirkan hal-hal yang tidak berfaedah kerana apabila fikiran mula dikuasai oleh syaitan, maka sukar untuk kita kembali ke alam nyata "Ibarat bergelumang dengan dosa yang dicipta oleh fantasi kita sendiri".
Harga sebuah kesilapan
Manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan, malah ia sentiasa berlaku. Namun, mereka takut untuk kembali ke pangkal jalan kerana merasakan diri mereka tidak layak untuk mendapat tempat disisi Allah SWT. Apabila berlaku sedemikian, mereka tidak mencuba untuk berubah kearah kebaikan.
Sebagai seorang hamba Allah yang sentiasa diduga dengan karenah manusia dan rencana dunia anggaplah semua ini sebagai satu tiket untuk kita memperolehi hidayahNya dalam keadaan sedemikian. Kadangkala kita terpaksa melalui perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada diri kita, mungkin ini adalah cara untuk Allah mengubah diri kita ke jalan yang lebih baik.
Manusia yang Allah ciptakan mempunyai hati yang sangat sensitif apabila disentuh dengan pelbagai rasa. Sehingga kita lihat manusia itu pada asalnya sangat buruk dari segi akhlak dan tingkahlakunya tetapi apabila Allah menyuntik titisan hidayah didalam hatinya. Tiada yang mustahil bagiNya bahawa hamba tersebut akan berubah menjadi lebih baik dari manusia seperti yang sedia ada.
Janganlah sesekali kita memperlekehkan tahap keimanan seseorang, kerana iman yang diberi olehNya amat mudah luntur. Mungkin hari ini kita beriman kepada Allah tetapi hari esok Allah memberi ujian yang lebih hebat dari apa yang kita sangkakan.

Bersangka baik kepada ALLAH SWT
Dalam putaran hidup, kita lihat ramai manusia menyalahkan takdir daripada merenung kesalahan diri sendiri. Sedangkan kesalahan itu realiti dihadapan mata tetapi kita tidak ingin mengaku perbuatan yang dilakukan. Sifat sombong pada hati yang enggan mengaku kesilapan sentiasa menebal dan sukar untuk dilembutkan.
Benar, jika kita lihat hamba itu cukup pakej dengan iman, imej muslim dan muslimah yang diselubungi pada dirinya, namun ia tidak mampu mengubah hatinya dari membuat pelbagai persepsi negatif. Tidak semestinya orang yang tinggi ilmunya sentiasa bersangka baik dengan apa yang difikirkan. Walaupun, sentiasa bersikap terbuka tetapi tidak bersangka baik pada Allah membuatkan nikmat yang berikan hanyalah sia-sia belaka. Apa gunanya menjadi manusia jika hidup tidak belajar untuk mensyukuri.
Seandainya, seorang hamba itu  bersangka buruk kepada tuhannya, tidak mustahil Allah akan mengambil kembali dari apa yang Dia berikan kepadanya. Sedarlah wahai insan, apa yang ada pada diri ini semuanya bersifat sementara.
"Tiada yang kekal melainkan Allah SWT".

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.