Tuesday, February 26, 2013

Kelebihan Memberi Salam





Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Manusia yang terdekat dengan Allah SWT ialah mereka yang memulakan memberi salam.” (HR. Ahmad, Abu Daud)

Nabi SAW ditanya apakah amalan yang terbaik dalam Islam. Baginda bersabda: “Memberi makan kepada yang lapar dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali dan yang tidak kamu kenali.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pernah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu mengucapkan kepadanya ‘Assalaamu’alaikum’. Salamnya dijawab dan dia pun duduk, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sepuluh’. Sebentar kemudian, datang pula lelaki lain kepadanya lalu mengucapkan, ‘Assalaamu’alaikum warahmatullah’. Rasulullah SAW menjawab salamnya itu sementara dia duduk, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Dua puluh’. Akhirnya, datang seorang lelaki sambil mengucapkan ‘Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh’, lalu Rasullullah SAW menjawab salamnya, maka dia pun duduk. Rasulullah SAW bersabda: ‘Tiga puluh kebajikan (pahala). (HR Abu Daud dan At Tirmidzi)

Marilah kita hidupkan semula amalan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya yang mulia. Sebarkanlah salam. Seperti pesanan Rasulullah SAW: “Kamu tidak akan masuk Syurga selagi kamu tidak beriman, dan belumlah kamu beriman selagi kamu tidak menyayangi sesama sendiri. Apakah kamu ingin tahu sesuatu perkara yang dapat membuat kamu menyayangi sesama sendiri ? Sebarkanlah salam.” (HR. Muslim, Ahmad dan At Tirmidzi)



 Allah Taala cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Monday, February 25, 2013

TIDUR MALAM SUJUD DAN QIAM


وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً

" Dan orang-orang yang bermalam dalam keadaan sujud dan berdiri (beribadat kepada Allah)".
(Surah Al-Furqan: Ayat 64)

Menjadi salah satu ciri hamba Allah yang istemewa dan dinamakan Hamba Ar-Rahman, ialah tidur di malam hari dalam keadaan sujud dan berdiri kerana beribadat kepada Allah. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan tidur dalam keadaan sujud dan berdiri untuk beribadat kepada Allah SWT? Siapa yang begitu sabar untuk sujud dan qiam sepanjang malam? Kalaupun ada yang boleh melakukannya, tetapi berapa lama? Mungkin semalam atau dua malam sahaja. Justeru, tidur dalam keadaan sujud dan qiam tersebut bukanlah secara fizikalnya seseorang itu tidur dalam sujud dan qiam. 

Ibn Abbas menyebutkan:

 
من صلى ركعتين أو أكثر بعد العشاء فقد بات لله ساجدا وقائما

" Siapa yang solat dua rakaat atau lebih selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam keadaan sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)

 Al-Kalbi pula menambah:

من أقام ركعتين بعد المغرب وأربعا بعد العشاء فقد بات ساجدا وقائما

" Siapa yang solat sunat dua rakaat selepas  solat fardhu Maghrib dan enpat rakaat selepas solat fardhu Insya', maka sesungguhnya dia tidur malam itu dalam sujud dan qiam".
(Tafsir Al-Qurtubi)


Sungguhpun fadhilat bermalam dalam keadaan sujud dan qiam boleh didapati dengan mudah hanya melakukan solat sunat selpas maghrib dan insya, terdapat kelebihan yang amat besar jika seseorang itu bangun beribadat pada sebagaian akhir dari malamnya. Ia menjadi amalan Rasulullah SAW dan para salafus soleh.

Allah berfirman:

كانوا قليلاً من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون

" Mereka adalah orang yang tidur hanya sedikirt daripada malam mereka. Pada waktu sahur mereka bangun memohon keampunan dari Tuhan".
(Surah Adzariyat: Ayat 17-18)

Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bangun sedikit daripada malam yang menghampiri penghujungnya untuk beribadat kepada Allah SWT. Itulah da'bas solihin yang perlu dilazimi oleh mereka yang mencari redha ilahi. Terlebih penting bagi para pejuang yang mengaku memperjuangkan agama Allah SWT kerana ia juga menjadi faktor mempercepatkan kemenangan. 

Tetapi...kalau subuh tidak kelihatan di mana-mana masjid dan surau, usah berbicara mengenai bangun malam!

Wednesday, February 20, 2013

Wahai Allah...permudahkan kami ke syurga


Sebuah Hadis riwayat Abu Abd Rahman Abdullah bin Mas’ud menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوماً نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الملك فينفخ فيه الروح، ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه، وأجله، وعمله، وشقي أو سعيد، فوالذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها، وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها إلا ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
(Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Wahai diri...janganlah merasa selamat dengan amal yang dibuat. Belum tentu kamu akan ke syurga!Kamu sudah ditentukan ke syurga atau ke neraka. Kamu hanya sedang menjalani satu jalan yang sedang dipermudahkan untukmu. Jika kamu sedang menjalani jalan orang baik-baik, yang melayakkanmu ke syurga, bersyukurlah dan kekal istiqamahlah. Alangkah takutnya jika kesudahanmu adalah noktah seorang ahli neraka.Janganlah pula kamu mencela dan menghina seorang yang sedang menjalani jalan ahli neraka, mana tahu kesudahannya dia akan menemui noktah ahli syurga. Lantas dia tergolong kalangan ahli syurga!
Sungguh...telah banyak terjadi dalam sejarah. Seorang yang dilihat beramal ahli syurga, rupanya dia ahli neraka. Kisah seorang 'abid Bani Israil bernama Barsisa adalah contoh masa lampau yang sangat tepat menjelaskan hakikat ini. Seorang yang beramal dengan amal ahli syurga, tetapi akhirnya menempah jalan ke neraka!
Sungguh...telah banyak pula terjadi dalam sejarah. Seorang yang dilihat beramal dengan  amal ahli neraka, rupanya dia ahli syurga. Kisah seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang  dan ingin bertaubat dan menggenapkannya menjadi 100 dengan membunuh orang yang menjawab bahawa tiada jalan taubat baginya adalah satu misal paling tepat menunjukkan bagaimana orang yang beramal dengan amal ahli neraka mencapai syurga akhirnya.
Subhanallah!
Siapalah yang boleh menyelamatkan kita kecuali Allah...
Dahulu...bukan alang kepalang baiknya si fulan. Solatnya,qiamullailnya,  zikirnya, semangat perjuangannya dan semuanya yang tercerna dalam dirinya, menampaknya bahawa sif ulan itu ahli syurgalah. Tapi...kini, ke mana semuanya? Mengapa dia berubah? Tidahkah dia takut bahawa maut datang menyambarnya di saat dia terumbang ambing dan meninggalkan istiqamah amal terdahulunya?
Sesungguhnya khatimah adalah penentu! Istaqamahlah adalah penawarnya.
Lain pula si fulan yang satu itu. Dulunya dia hidup bergelumang lagha. Solatnya...entah di mana. Ke masjid dan surau tak pernah menjengah muka. Perjuangan Islam tiada dalam kamus hidupnya. Baginya, perjuangan perut itulah yang utama. Ketika itu, ramai mata yang melihat mengatakan, itulah warganegara neraka. Tiba-tiba, di saat usia mencecah senja dan kematian makin hampir, dia menemui jalan kembali. Kemuddian dia mati atas jalan barunya yang sungguh membahagiakan. 
Dialah orang yang diberi keberuntungan!
Oh diriku...di mana nasibku akhirnya? Apakah kesudahanku akhirnya?Sungguh aku tidak tahu apa yang tertulis dalam catatan azali tentang aku. Aku amat jahil dan mustahil menggeledah apa yang ada dalam ilmu Allah. Buatku hanya beramal dan mencari yang terbaik dalam amal.
Rasulullah SAW telah menjawab pertanyaan sahabat yang mempersoalkan ketetapan takdir azali ini dengan katanya:

اعملوا فكل ميسر لما خلق له
“Beramallah, setiap orang dipermudahkan untuk apa yang diciptakan (ditakdirkan) untuknya”.

Wahai Tuhan, permudahkan aku jalan ke syurga!
Nafsu ingin sekali pergi berdansa di kelab malam di malam-malam minggu. Di sana boleh minum arak sepuasnya. Ada gadis-gadis molek menjadi penghibur. Boleh melampiaskan segala gejolak kepemudaan. 
Siapa tidak segan dan malu, pergilah! Jika dia sanggup pergi, itulah yang dipermudahkan buatnya. Dia sendiri yang mencari rasa mudah berbuat durjana itu. Maka jalanilah takdir itu. 
Ada seorang pencuri di zaman Khalifah Umar al-Khattab telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman potong tangan. Sebelum tangannya dipotong dia mencabar Khalifah dengan katanya:
" Apakah anda akan memotong tanganku sedangkan aku menjadi pencuri kerana telah ditakdirkan menjadi pencuri?
Umar dengan kebijaksanaan yang tinggi menjawab:
"Kami telah ditakdir untuk memotong tanganmu!",

Wahai Tuhan! hari ini kami mampu mengangkat takbir untuk solat menyembahMu. Kami mampu ke masjid menegakkan sunnah Rasulmu.Kami menyatakan tekad untuk berjuang di jalanMu. Tetapkanlah pendirian kami dan berikan kami husnul khatimah.

اللهم يامقلب القلوب والابصار ثبت قلوبنا على دينك اللهم امين امين

Tuesday, February 19, 2013

BERSYUKUR UNTUK AKHIRAT


Allah Berfirman :

لئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد

“ Jika sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku tambahkan untuk kamu nikmatku dan jika sekiranya kamu kufur, maka ketahuilah azabku sangat pedih”
(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Bersyukur atas nikmat Allah, Allah janjikan tambahan. Nikmat Allah sangat banyak dan tidak mampu dihitung. Orang-orang selalu ditarghibkan supaya bersyukur kerana dia mendapat razeki harta benda, sihat tubuh badan, ada anak yang sihat, ada kereta dan rumah yang selesa, dapat pekerjaan yang baik dan bermacam-macam lagi nikmat dunia. 

Dengan semangat supaya segala nikmat itu ditambahkan lagi, seseorang sangat memerhati syukurnya. Lalu dia mengucapkan "Alhamdulillah!". Kemudian dia menggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah SWT. Itulah dua jalan bersyukur yang sering disyarahkan para asatizah dalam televisyen dan radio-radio menerusi slot motivasi dan kuliah.

Kuliah Subuh pagi ini di masjid Al-Fajr disampaikan oleh Sdr. Nurdin dengan mengubah dimensi kefahaman bersyukur atas nikmat tersebut kepada dimensi akhirat. Sebagaimana dinyatakan dalam surah Al-Fatihah, kita memohon agar Allah memberikan kita hidayah ke jalan lurus yang telah diikuti oleh orang diberikan nikmat ke atas mereka. Menerusi tafsiran dengan ayat Quran yang lain, golongan yang diberikan nikmat itu tidak lain tidak bukan adalah empat golongan iaitu:

a) Para Nabi
b) Para Siddiqin
c) Para Syuhada.
d) Orang-orang Soleh.

Nikmat apa yang dikurniakan kepada mereka sehingga kita disuruh minta supaya jadi seperti mereka? Sudah tentu ia bukan nikmat harta, anak-anak, tubuh badan, rumah, pakaian, negeri dan kekuasaan atau sebaginya urusan duniawi. Jika kita menelaah perolehan terbesar mereka yang disifatkan nikmat, ia adalah nikmat iman dan Islam. Inilah dua nikmat terbesar daripada Allah kepada kita yang jarang kita rasa mahu bersyukur mengenainya melebihi rasa syukur kita kepada pencapaian dunia kita.

Sepatutnya, rasa sykur itu patut dialirkan sebanyak-banyaknya buat menginsafi dua nikmat agung ini. 

Alhamdulillah aku dilahirkan Islam!
Alhamdulilah aku ditentukan jadi orang beriman!
Kekalkan Islam dan iimanku selama-selamanya wahai Allah!

Marilah kita bersyukur untuk soal akhirat kita. Jangan hanya bersyukur untuk benda fatamorgana yang bakal sirna.

Renung-renungkan selamat beramal....

Wednesday, February 13, 2013

HARI KRAF KEBANGSAAN 2013



Orang ramai adalah dijemput untuk memeriahkan acara.
Banyak aktiviti yang akan dijalankan
Untuk Keterangan Lanjut sila layari www.kraftangan.gov.my 

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2013



PIHAK PENGURUSAN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT TAHUN CINA TAHUN 2013 KEPADA SEMUA WARGA KERJA KRAFTANGAN MALAYSIA DAN SELURUH RAKYAT MALAYSIA.

Thursday, February 07, 2013

Wudhu Zahir Dan Batin



"Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air". 

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:
  1. aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.


Bukan senang nak capai kekhusyukan, keenakan, keseronokan dan keikhlasan dalam ibadat. Walaupun susah, sekurang2nya kita kena ada usaha untuk mencapai tahap begitu.

Wednesday, February 06, 2013

Pelihara Percakapan Elak Dosa Mengumpat




LIDAH adalah alat komunikasi penting dalam menjalin hubungan mesra antara masyarakat manusia di dunia. Ia juga untuk menyebar ilmu dan banyak lagi manfaat lain. Sebaliknya, lidah boleh jadi bahaya, kerana boleh digunakan untuk memecah belahkan masyarakat, memfitnah, mencaci, mengumpat dan sebagainya.

Justeru, Islam memberi perhatian serius terhadap penjagaan lidah. Peri pentingnya penjagaan lidah itu sehingga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa diam dia berjaya (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Pada waktu lain Baginda SAW memberi jaminan kepada orang yang sanggup menjaga lidahnya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Sesiapa yang boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada antara misai dan janggutnya dan apa yang ada antara dua pahanya, aku jamin baginya syurga. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang tidak akan terlepas daripada catatan malaikat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. (Surah Qaf, ayat 18)

Antara keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah, tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina, membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak sepatutnya.

Mereka yang mengetahui nilai masa serta umur tidak akan membiarkan diri menggunakan lidah untuk berkata perkara tidak mendatangkan faedah, kemarahan orang lain atau menyebabkan perbalahan sesama manusia.

Diriwayatkan bahawa Luqmanul Hakim pernah ditanya: Apa rahsia kebijaksanaanmu? Jawabnya: Aku tidak bercakap perkara yang tidak memberi faedah kepadaku. Kata Luqman lagi: Diam itu bijaksana, tetapi sedikit pelakunya.

Sewajarnya lidah digunakan untuk memberitahu atau mengajak orang lain kepada kebaikan dengan memberi nasihat serta menegur sahabat jika mereka melakukan perkara mungkar supaya segera kembali ke pangkal jalan.

Sebaliknya, mengeji, mencaci dan mencarut adalah perkara yang dilarang Islam dan mereka yang melakukan perkara itu dengan lidahnya wajib bertaubat serta memohon maaf kepada mereka yang disakitinya.

Selain itu, menghina orang lain termasuk keburukan lidah yang patut dijauhi, kerana ia boleh merosakkan hubungan mesra dan harmoni antara anggota masyarakat. Paling buruk tindakan lidah ini dalam konteks Islam ialah mengumpat.

Allah Taala mengumpamakan pengumpat itu sebagai pemakan daging saudaranya yang sudah mati. Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Mengumpat ialah menyebut di belakang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya, sama ada kekurangan itu pada fizikalnya, keturunannya, peri lakunya, pakaiannya atau sebagainya.

Berdasarkan pengertian ini, jika kita tidak menjaga betul-betul lidah, maka rata-rata kita tidak terlepas daripada dosa mengumpat. Pada hal dosa itu tidak akan diampun Allah jika tuannya tidak memaafkannya lebih dulu.

Umumnya masyarakat kita kurang memberi perhatian serius terhadap amalan mengumpat yang kesannya akan menyebabkan berlaku pergaduhan, saling tuduh menuduh dan memburukkan orang lain dengan perkara mengaibkan.

Namun, ulama menyenaraikan beberapa kelonggaran yang mengizinkan kita menyebut kekurangan orang lain di belakangnya iaitu tidak dikira dosa. Ia termasuk beberapa keadaan berikut:

  • Apabila seseorang itu dizalimi, maka dia dibolehkan menceritakan kezaliman ke atasnya kepada pihak yang bertanggungjawab;
  • Apabila hendak mendapat fatwa atau mengetahui hukum sesuatu;
  • Apabila ingin memberi peringatan kepada orang lain;
  • Apabila seseorang itu dikenali dengan gelaran itu secara menyeluruh; dan
  • Apabila ia terkenal dengan jahatnya.


Tuesday, February 05, 2013

PROGRAM CERAMAH AGAMA BULANAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1434H



Makluman kepada semua warga Kraftangan Malaysia 

PROGRAM CERAMAH AGAMA BULANAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1434H

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. 

2. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak pengurusan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Program Ceramah Agama Bulanan sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H seperti mana berikut : 


Tarikh : 6 Februari 2013 (Rabu) 

Masa : 8.30 pagi hingga 11.00 pagi* 

Penceramah 
Jemputan : Y.Bhg. Ustaz Zulramli bin Mohamed Razali
"Indahnya Hidup Bersyariat" 

Tempat : Dewan Seri Utama 
Bangunan Seri Utama 
Kompleks Kraf Kuala Lumpur 


Tentatif Program*

8.15 pagi : Pegawai dan anggota kerja mengambil tempat

8.30 pagi : Majlis selawat dan Ceramah Agama Solat Hajat/ Tahlil/ Doa Selamat

10.45 pagi : Jamuan ringan

Program Wakaf Al-Quran

Bersurai

3. Sehubungan itu, semua pegawai dan anggota kerja adalah dijemput hadir dan kehadiran
tuan/puan dalam menjayakan majlis ini sangatlah dialu-alukan dan dihargai.  

3 Yang Menghancurkan Manusia



Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma, di dalam himpunan nasihat dan kata – kata hikmah yang terakam di dalam sejarah ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata;
“Kehancuran manusia adalah pada 3 perkara: 1) Sifat takabbur. 2) Sifat Tamak. 3) Sifat dengki. Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan ugama dan kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah. Sifat tamak pula, ia adalah musuh kepada diri sendiri dan kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Manakala sifat dengki adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh Habil.” ( Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al nabi. ms 30 )
Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun jiwa untuk menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah merahmati Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma dan menempatkan kita bersamanya dan para sahabat radhiaLlahu anhum di syurgaNya.

Inilah 3 sifat buruk yang disebut di dalam al Quran sebagai punca awal maksiat sang makhluk kepada tuhannya. Sebelumnya tiada satupun makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada tuhan sang pencipta yang maha agung.
Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong Iblis yang enggan sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran dan kekufuran, lalu iblis dilaknat Allah.
Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan tipudaya iblis daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati ‘pokok sambung nyawa’ di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk kekal hidup tanpa mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan daripada pokok itu, lalu baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga disebalik taubatnya yang diterima Allah.
Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di muka bumi yang dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri, Habil kerana sifat dengki yang meluat – luat sehingga membutakannya daripada mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.
Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa ketiga – tiga sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan manusia selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita – cerita awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat – sifat tersebut di dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.
Sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud membesar diri dan membangga – banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat – sifat buruk yang lain. Ini kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata – mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda – tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin.
Selain itu, antara tanda – tanda takabbur lagi adalah suka menyucikan diri sendiri dan memuji – mujinya, berbangga dengan keturunannya dan menunjuk – nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya, kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain – lain lagi.
Sifat tamak pula adalah keinginan melampau untuk menikmati harta dan kedudukan. Tamak terhadap harta ada 2 peringkat;
Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh – sungguh menperolehinya melalui jalannya yang harus dan dibenarkan. Ini tetap tercela kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan masa itu adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya.
Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui had yang dibenarkan syara’. Ia memasuki jalan – jalan haram tanpa lagi menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit ‘asy syuhh’ ( terlalu bakhil ) yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam: ” Berhati – hatilah kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhh itu telah menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.” ( Riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)
Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah lebih buruk daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;
Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta. Ini cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.
Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara – perkara ugama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk – buruk ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.
Manakala sifat dengki pula, maka ia adalah lawan sifat suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah penyakit yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Allah menyuruh nabiNya berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang berdengki. ( Surah al ‘alaq; 5 )
Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara; permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain – lain penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di kalangan sendiri, kawan – kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.
Itulah gambaran ringkas keburukan 3 penyakit utama yang menghancurkan manusia sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali radhiaLlahu anhu.
Semoga Allah memudahkan kita untuk menjauhi diri daripada berakhlak dengan akhlak – akhlak yang buruk dan terhina. Bersamalah menghias diri dengan sifat – sifat ugama yang mulia.

Monday, February 04, 2013

Tenanglah Duhai Hati




Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak.
Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?
Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.