Thursday, January 31, 2013

SELAMAT MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK YANG PERTAMA

Tahniah kepada Puan Nur Adilah binti Abdul Rahim kerana telah selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Muaz seberat 3.8 kg pada 22 Januari 2013 lalu di Hospital UKM, Kuala Lumpur. Pengarah dan warga Bahagian Khidmat Pengurusan, Kraftangan Malaysia mengucapkan tahniah kepada beliau dan semoga kehadiran cahaya mata yang pertama ini memberi sinar baru kepada Puan Nur Adilah binti Abdul Rahim sekeluarga. 

Adilah dan bayinya

Mereka yang hadir menziarah
Aksi si BUJANG hehehehe...


Tuesday, January 29, 2013

34 Minit Sehari



Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, kadang-kala kita terlalu sibuk sehinggakan kita jadikan ia alasan untuk melengah-lengahkan solat atau lebih teruk lagi, meninggalkannya terus. Jikadilakukan sedikit pengiraan, dalam sehari, kita perlu menunaikan solat:
  • Subuh: 2 rakaat
  • Zuhur: 4 rakaat
  • Asar: 4 rakaat
  • Maghrib: 3 rakaat
  • Isyak: 4 rakaat
Jadi jumlah keseluruhan adalah 17 rakaat sehari. Katakan seseorang itu mengerjakan solat lebih kurang 2 minit untuk setiap rakaat, maka jumlah masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari hanyalah selama 34 minit. Dalam sehari ada 24 jam bersamaan 1440 minit. Jika dikira peratusan masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari, hanyalah 2.36%.

Bagaimana pula dalam masa seminggu? 34 minit darab 7 bersamaan 238 minit. 238 minit bersamaan dengan 3.97 jam. Jika dikira dalam sebulan pula, katakan purata dalam sebulan ada 4 minggu.3.97 jam darab 4 bersamaan dengan 15.88 jam.

Dalam setahun pula, 15.88 jam sebulan darab dengan 12 sama dengan 190.56 jam. 190.56 jam ini jika ditukarkan kepada unit hari adalah bersamaan dengan 7.94 hari. Rupanya dalam setahun, masa kita untuk sembahyang hanyalah lebih kurang 8 hari.

Kita kira dari segi purata umur manusia pula. Katakan purata umur seseorang adalah sehingga 60 tahun. Umur 10 tahun merupakan umur seseorang mencapai akil baligh dan sudah mula wajib untuk menunaikan solat. Ini bermakna, seseorang yang berusia 60 tahun perlu bersolat selama 50 tahun. Jika dalam setahun, masa yang diambil untuk menunaikan solat hanyalah 7.94 hari, maka dalam tempoh waktu 50 tahun, masa yang diambil untuk menunai solat hanyalah 397 hari. 397 hari lebih kurang bersamaan 1 tahun 1 bulan.

Bayangkan dalam sepanjang umur kita, Allah hanya menyuruh kita menggunakan 1 tahun 1 bulan dari keseluruhan umur 60 tahun kita untuk menunai solat. Itupun kadangkala masa solat kita kurang kerana uzur, jama', kurang 2 rakaat untuk solat Jumaat. 

Jika difikirkan kembali, 34 minit sehari adalah sangat singkat. Tengok wayang 2 jam, shopping berjam-jam, 34 minit tu tak luak pun masa 24 jam kita untuk sehari. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita dan menghargai masa 34 minit itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk.

Tuesday, January 22, 2013

BERKATILAH UMUR DENGAN 4 PERKARA


Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”. Perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia? lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun, senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan, kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.

Monday, January 21, 2013

Biodata Rasulullah S.A.W














Biodata Nabi Muhammad S.A.W : 

Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama ‘Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib


Nama Ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah As-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun

Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma’ bt. al-Nu’man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).[anak tiri Rasulullah]

Pengalaman bekerja Rasulullah:

* Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
* Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
* Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
* Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
* Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
* Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.

Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

Sifat-sifat terpuji Rasulullah:
- Berkata benar (siddiq)
- Boleh dipercayai (amanah)
- Penyampai ajaran Islam (tabliq)
- Bijaksana (fatanah)

kepimpinan Rasulullah disebalik peristiwa banjir di kota Mekah ketika Rasulullah berusia 35thn: Kota Mekah telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan dinding kaabah pecah dan runtuh. Kaum Quraisy telah membina semula bahagian yang runtuh. Kemudian timbul perbalahan antara ketua kaum Quraisy yang berebut untuk mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad di penjuru sebelah timur bangunan kaabah. Perbalahan ini hampir menimbulkan peperangan. Rasulullah telah menjadi hakim bagi menentukan kedudukan Hajar Aswad dan secara tidak langsung Rasulullah telah meleraikan perbalahan antara ketua kaum Quraisy.

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- Wahyu kedua, surah al-Muddasir (ayat 1-7) diturunkan di Bukit Nur berhampiran Makkah.
- Wahyu kedua ini menandakan pelantikan baginda sebagai Rasulullah atau pesuruh Allah.

Tokoh-tokoh awal memeluk Islam:
• Zaid bin Harithah (anak angkat nabi)
• Ali bin Abu Talib (sepupu nabi berusia 10 tahun)
• Khadijah binti Khuwailid (isteri nabi dan orang pertama memeluk Islam)
• Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib)

wahyu pertama yg diterima oleh Rasulullah, masanya dan usia Rasulullah:
- Wahyu pertama iaitu dari surah al-Alaq yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Berusia 40 tahun.

Keadaan Rasulullah ketika menerima wahyu:
Pada suatu ketika sedang dia bertafakkur itu datanglah malaikat kepadanya, lalu berkata: “Bacalah!” (Iqra’). Lalu Rasulullah menjawab; “Saya tidak pandai membaca.” Lalu kata beliau: “Maka diambilnya aku dan dipagutnya sampai habis tenagaku. Kemudian dilepaskan¬nya aku dan dia berkata pula: “Bacalah!” Tetapi aku jawab: “Aku tidak pandai membaca!” Lalu dipagutnya pula aku sampai habis pula tenagaku.

Kemudian ditegakkannya aku baik-baik dan dikatakannya pula: “Bacalah!”, yang ketiga kali, lalu berkatalah malaikat itu: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan,” sampai kepada ujung “Yang telah mengajarkan kepada manusia apa yang dia tidak tahu.” Setelah sampai pada ujung ayat tersebut malaikat itu pun ghaiblah dan tinggallah beliau seorang diri dalam rasa kengerian.

Lalu beliau segera pulang kepada isterinya Khadijah. Lalu beliau berkata: “Selimutilah aku, selimutilah aku.” (Zammiluuni, zammiluuni). Maka segeralah orang-orang dalam rumah menyelimuti beliau, sampai rasa dingin itu hilang. Lalu berkatalah beliau kepada Khadijah: “Hai Khadijah, apakah yang telah terjadi atas diriku ini?” Lalu beliau ceriterakan segala yang telah beliau alami itu, akhirnya beliau berkata: “Aku ngeri atas diriku.”

Thursday, January 17, 2013

KEMUDAHAN CUTI BERSALIN PEGAWAI PERKHIDMATAN AWAM

Assalamualaikum

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.     Dimaklumkan Pihak Pengurusan memandang serius terhadap kelewatan permohonan cuti bersalin di kalangan pegawai-pegawai wanita yang akan bercuti bersalin.Dengan ini,dimaklumkan kepada pegawai-pegawai yang berkenaan agar membuat permohonan Cuti Bersalin dalam tempoh dua (2) bulan lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin dan dihantar ke Unit Pengurusan Sumber Manusia untuk tindakan selanjutnya.

3.     Untuk makluman, dokumen yang perlu disertakan semasa permohonan cuti bersalin adalah seperti berikut:

       a. Borang Lampiran A (Seperti Dalam P.P Bil 14 Tahun 2010)
       b. Surat permohonan Cuti Bersalin dari Pemohon
       c. Surat Pengesahan Dari Doktor-tarikh jangkaan bersalin
       d. Borang Cuti (berwarna merah)
      
4.     Bersama-sama ini dilampirkan Borang Lampiran A dari Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2010 untuk makluman dan tindakan selanjutnya. Pihak Pengurusan berharap semua pentadbir cuti bekerjasama memastikan arahan ini dilaksanakan.

Sebarang masalah berhubung permohonan cuti bersalin bolehlah berhubung dengan Unit HRMIS iaitu En. Rosli Bin Talikun, Puan Siti Musarah dan Puan Nik Noorzilawani

Sekian,terima kasih.

Pusat Panggilan 1 Malaysia atau 1 Malaysia One Call Centre (1MOCC)


Pusat Panggilan 1 Malaysia atau 1 Malaysia One Call Centre (1MOCC) kini memasuki fasa dua dengan penglibatan kesemua 25 kementerian mulai 15 Januari 2013. Fasa satu 1MOCC telah dilaksanakan secara perintis sejak November 2012 merangkumi Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan
Pengangkutan Jalan, Perbadanan Putrajaya serta 21 agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pelancaran 1MOCC telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 12 November 2012. 1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS) bertujuan untuk memudah cara komunikasi orang awam dengan agensi Kerajaan melalui konsep pusat panggilan setempat. 1MOCC membolehkan orang awam untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi Kerajaan menggunakan satu nombor perhubungan tunggal, 03 8000 8000.

Contoh etika pakaian ke pejabat


Ini adalah sebahagian daripada contoh etika berpakaian yang perlu di ikuti...

Muhasabah Pejuang


Bismillah....Salam dakwah buat semua.Semoga Allah sentiasa memberkati usia yang telah kita lalui, mahupun yang akan datang.
Terkesan dengan ayat di atas. Rasa macam kena berdas-das meriam menembak ruang jiwa saya yang kononnya mengaku pejuang agama-Nya.
Takut satu hari nanti, kalah memperjuangkan agama sendiri kerana dosa yang terlalu banyak pada diri, bukan kerana kelemahan strategi perjuangan.
Kekalahan yang diberikan-Nya kerana  mempunyai jiwa pejuang yang tidak suci dan haprak !
Seru itu dan ini, pelbagai benda didakwahkan, namun terlupa akan diri sendiri.Ingin saya mengimbas kembali tentang Perang Badar kepada anda.
Tentera Muslimin yang hanya seramai 313, namun mereka berjaya berlawan dengan 1000 tentera Musyrikin Mekah. Jika difikirkan secara logik, orang Islam memang tidak akan menang. Tentera yang sedikit dan peralatan untuk berperang yang tidak mencukupi seperti tentera lawan.
Namun, mereka berperang dengan menggunakan kekentalan iman yang berada dalam jiwa-jiwa mereka. Dan kerana iman yang berharga itulah, Allah mengurniakan bantuan para Malaikat dan kemenangan kepada tentera muslimin.
Tentera Muslimin bukan sekadar mempertaruhkan nyawa, tetapi juga iman mereka dan semangat mereka untuk berjihad !
Bila iman yang menjadi pertaruhan, hanya Allah yang tahu betapa kuatnya seorang pejuang.
Pada saya, jika dibandingkan antara kuasa iman dan keinginan untuk mendapatkan syahid, itu lebih tinggi daripada  berapa ramai atau secanggih manapun alatan perang.
Kekuatan yang datang dari Allah itu lebih berharga !Kekuatan yang datang dari yang Maha Kuasa !
Agaknya inilah kekuatan pejuang-pejuang kita di Palestin sana, walaupun kanak-kanak hanya berbekalkan batu, namun jiwa berbekalkan satu senjata yang amat padu. Iman mereka ! Semangat mereka untuk berjihad !
Meskipun sehingga sekarang tidak mengecapi kemenangan untuk mengambil semula tanah tercinta mereka, inshaAllah kemenangan itu akan pasti menjelang juga waktunya.Allah masih ingin memberi peluang kepada mereka di sana untuk merebutkan gelaran syuhada’. Allah ingin memberikan peluang kepada mereka untuk mengumpul sebanyak pahala yang mungkin.
Malang sekali bagi kita, peluang itu seakan tidak pernah datang menjengah. Mungkin kerana kita tidak mengikhlaskan diri kita untuk menjadi pejuang agama-Nya  seikhlas yang mungkin.
Renung-renungkan Lah...
p/s : kata-kata di atas merupakan antara seruan Abu Bakar As-Siddiq dalam surat beliau menjelang Perang Yarmuk

Friday, January 11, 2013

Program Santai@Dataran Gemilang


Program Santai@Dataran Gemilang pada hujung minggu ini akan menampilkan perlbagai aktiviti termasuk gerai jualan dan persembahan pentas yang menampilkan penyanyi jemputan iaitu Mama Rina Akademi Fantasia 6, Syair persembahan dengan gitar Gaza, penampilan watak utama dan eponim siri animasi TV BoboiBoy, Persembahan tarian dan kebudayaan, persembahan dari Universiti Lim Kok Wing, Kuiz SKMM KLIK dengan Bijak dan senamseni

Para Ibubapa juga boleh membawa anak-anak mandi di wadding pool yang bersih & selamat untuk digunakan.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk berhibur bersama keluarga di Dataran Gemilang, Presint 4 pada 13 Januari 2013, mulai 4.30 petang hingga 7.00 petang.



Wednesday, January 09, 2013

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Tahun Baru 2013




Selamat Tahun Baru 2013


Bismillahirahmanirrahim...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,

1. Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun 2012.

2. Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, “Doing Business 2013” misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,

3. Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.

4. Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

5. Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.

6. Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

7. Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.

Rakyat Malaysia Yang DiHormati,

8. Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan yang berterusan.

9. Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.

10. Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.

Rakyat Malaysia Sekalian,

11. Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.

12. Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.

13. Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Tahun Baru 2013.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Citarasa Malaysia




Kepelbagaian makanan di Malaysia menggambarkan budaya kita yang pelbagai.

Saya masih ingat apabila saya berpeluang menikmati sarapan pagi di Village Park, Damansara Utama. Saya telah banyak kali mendengar tentang nasi lemak di situ yang sangat terkenal dengan kelazatannya. Selepas menikmatinya sendiri, kelazatannya terbukti tidak mengecewakan!

Kita sangat bertuah kerana negara mempunyai masyarakat pelbagai kaum yang hidup aman dan damai dalam semangat 1Malaysia. Antara kelebihannya adalah apabila kita dapat menikmati beberapa makanan paling lazat di dunia yang terdapat di negara kita. Sudah pasti semua kenal dengan kelazatan kuay teow goreng Penang dan Laksa Johor. Setiap bangsa di negara kita mempunyai makanan istimewa tersendiri yang menepati citarasa kita semua. Saya masih ingat, semasa di United Kingdom satu ketika dulu, ada kalanya saya merindui makanan tempatan yang tidak mungkin boleh kita dapati di mana-mana negara di dunia ini.

Kelazatan makanan tempatan cukup dikenali di seluruh dunia. Kepelbagaiannya cukup unik malah ia sering kali diceritakan di platform antarabangsa termasuk CNN. Masyarakat seluruh dunia seringkali memuji makanan kita setiap kali mereka melawat negara ini dengan menggunakan pengaruh media sosial. Ini sekali gus memberi impak yang baik kepada industri pelancongan negara.

Selain kelazatan serta kepelbagaian jenis makanan, negara kita juga dikenali sebagai pendahulu hab halal di seluruh dunia. Halal Industry Development Corporation (HDC), sentiasa memastikan agar kita dapat mengekalkan standard pada tahap paling tinggi dalam pengeluaran makanan halal. Secara keseluruhannya, ia telah menyumbang kepada kita sebanyak RM16 bilion untuk aktiviti eksport selain menarik lebih RM1 bilion Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini. Bajet 2013 lalu juga turut memastikan agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan dengan menyediakan modal kerja kira-kira RM200 juta kepada usahawan kecil dan sederhana yang mengeluarkan produk makanan halal.

Kepelbagaian jenis makanan itu sekali gus menggambarkan kepada semua betapa negara kita ini kaya dengan budaya yang pelbagai. Setiap makanan yang terdapat di negara kita ini semuanya adalah kerana kepelbagaian cara hidup dan selera setiap bangsa di Malaysia. Ia sedikit sebanyak merupakan asas kepada kejayaan negara hari ini. Jadi, apakah makanan kegemaran anda?

Tuesday, January 08, 2013

PERJUMPAAN YANG BERBAHAGIA DATO' PENGERUSI BERSAMA PEGAWAI DAN ANGGOTA KERJA IBU PEJABAT KRAFTANGAN MALAYSIA


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia

Tuan / Puan

Sukacita dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi
Kraftangan Malaysia akan mengadakan perjumpaan bersama semua pegawai dan anggota
kerja Ibu Pejabat sepertimana berikut :-

Tarikh      :   10 Januari 2013 (Khamis)

Masa        :   10.30 pagi

Tempat      :  Dewan Seri Utama
                    Bangunan Seri Utama                    
                    Kompleks Kraf Kuala Lumpur

Sehubungan itu, tuan/puan adalah dijemput dan DIWAJIBKAN untuk menghadiri sesi
perjumpaan tersebut.

Sekian, terima kasih.

Selamat Datang 2013


Selamat Tinggal 2012 dan Selamat Datang 2013.


Semoga tahun 2013 ini juga menyaksikan lebih banyak kemajuan dan peningkatan dalam memartabatkan industri kraf tempatan. Sokongan dan kerjasama amat diperlukan dari anggota kerja bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan Kraftangan Malaysia.

Semoga Tahun baru ini kita semua mendapat lebih kerberkatan dan dilimpahi rezeki serta kesihatan yang baik dari Ilahi serta mendapat kejayaan yang cemerlang pada tahun ini. Amin.

Pihak pengurusan Kraftangan Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua warja Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta semua warga Malaysia dan khususnya anggota kerja Kraftangan Malaysia.

Semoga semua azam tahun 2013 akan tercapai dengan jayanya. Insya Allah...

Penafian

Kraftangan Malaysia dan Bahagian Khidmat Pengurusan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kehilangan yang di alami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Maklumat yang terdapat di dalam blog ini hanya lah pandangan dan pendapat peribadi pengarang.